TINJAU: Mustapha ketika melakukan tinjauan ke lokasi.
KOTA KINABALU: Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memulakan kerja-kerja naik taraf jalan raya di Tebobon menghala ke Tuaran yang melibatkan jarak sejauh dua kilometer.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerja-kerja naik taraf itu akan dimulakan pada Isnin dan laluan bersebelahan menghala ke Kota Kinabalu yang sebelum ini diselenggara awal bulan ini hampir siap 98 peratus.
“Saya telah melawat jalan Tebobon...selepas hanya 13 hari kita lawat bermula daripada Petronas ke Sinaway (menghala ke Kota Kinabalu) sejauh dua kilometer...sudah 98 peratus siap dan lampu jalan juga sudah dinaikkan.
“Jadi saya telah dimaklumkan oleh pihak JKR tadi dan juga pihak kontraktor, hari Isnin ini bermula pula daripada Sinaway ke Petronas sepanjang dua kilometer akan mula dilaksanakan penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Madani KPT @ Sepanggar di Kampung Sepakat Jaya di sini, semalam.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian sebagai maklum balas kepada perkembangan penyelenggaraan laluan Tebobon ke Tuaran sejauh dua kilometer yang sebelum ini rosak dan tular dalam media sosial.
Katanya, beliau akan terus melawat laluan berkenaan dan turut mengulangi mahu laluan berkenaan siap dalam tempoh sebulan sehingga hujung bulan ini.
“Kalau ada ruang saya akan melawat juga. Sebab saya mahu sebulan itu siap dua kilometer di kedua-dua arah dan lampu jalan siap dalam masa satu bulan. Saya akan pastikan bahawa ini akan dilaksanakan.
“Saya ucapkan tahniah kepada pihak JKR dan juga pihak kontraktor yang telah menjalankan tugas dengan amat baik. Jadi ini akan melegakan sedikit aduan-aduan daripada pihak pengguna jalan raya," katanya.
|