Lau (tujuh kiri) bersama penganjur mempromosikan sambutan Hari Diabetes Sedunia dan Hari Kanak-Kanak Sedunia merangkap Hari Kesedaran Alam Sekitar di Sibu hari ini.
SIBU: Kelab Lion Antarabangsa Daerah 308-A2 Wilayah 2 dan Wilayah 3 menyambut Hari Diabetes Sedunia dan Hari Kanak-Kanak Sedunia merangkap Hari Kesedaran Alam Sekitar pada 16 November ini.
Pengerusi Kelab Lion Wilayah 2 Priscilla Lau berkata program itu dianjurkan bersama Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Sibu, Persatuan Paliatif Sibu dan Kelab Leo Universiti SEGi.
"Program ini berlangsung di sini dengan semua ahli Lions akan menyertai Program Lions Antarabangsa dipanggil STRIDES di mana masing-masing berjalan kaki untuk kesedaran diabetes jam 8 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kira-kira jam 10 pagi, Lau berkata semua ahli Kelab Lions dan Kelab Leo mengambil bahagian bersama penganjur membuat persediaan di Orange Zone bagi pemeriksaan kesihatan oleh pensyarah serta pelajar perubatan Universiti SEGi dan ujian glukosa oleh Persatuan Diabetes Malaysia.
"Kita juga menganjurkan pertandingan Pertunjukan Fesyen Kanak-Kanak di mana kanak-kanak digalakkan menggunakan bahan kitar semula membuat pakaian untuk pertunjukan fesyen itu.
"Di samping itu, terdapat juga aktiviti untuk kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang alam sekitar," jelasnya sambil menjemput orang ramai menyertai sambutan itu.
Bagi mereka yang berminat menyertai pertandingan Pertunjukan Fesyen Kanak-Kanak boleh menghubungi penganjur di talian 019-6758618.
|