Edited by sfhzuraz at 17-12-2024 07:06 PM
Dua pekerja syarikat telekomunikasi, enam subkontraktor ditahan curi kabel
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
17 Disember 2024 06:38pm
Sebanyak 242 batang kabel dirampas dalam tangkapan pada awal pagi Selasa.
GEORGE TOWN - Tindakan dua pekerja syarikat telekomunikasi yang mencuri kabel milik syarikat tempat mereka bekerja terbongkar apabila ditahan sepasukan polis di tepi jalan Tanjung Bungah di sini, pada jam 6 pagi Selasa.
Kedua-dua lelaki tersebut ditahan bersama enam rakan mereka yang bekerja sebagai subkontraktor penyelenggaraan kepada syarikat telekomunikasi yang sama.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua ditahan berusia lingkungan 31 hingga 42 tahun ditahan ketika sedang memasukkan kabel yang dipotong ke dalam sebuah lori dipercayai untuk dibawa ke lokasi lain.
]
Abdul Rozak menceritakan modus operandi sindiket curi kabel berkenaan dalam sidang media pada Selasa.
Menurutnya, kesemua suspek dipercayai ahli sindiket turut menggunakan aset syarikat telekomunikasi tersebut seperti van dan peralatan memotong kabel untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Bertindak di atas maklumat yang diperolehi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut mendapati sekumpulan lelaki sedang memotong kabel di tepi jalan di Tanjung Bungah.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek telah menunjukkan borang pesanan kerja yang dikeluarkan oleh pihak syarikat telekomunikasi berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut di sini pada Selasa.
Tambah beliau, curiga dengan kesahihan borang itu, polis telah membuat pengesahan dengan wakil daripada pihak syarikat telekomunikasi tersebut.
]
Lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes curi kabel di tepi jalan di Tanjung Bungah.
"Apabila kita merujuk kepada pihak syarikat tersebut, mereka mengesahkan tiada kebenaran melakukan kerja-kerja pemotongan kabel dikeluarkan oleh syarikat di kawasan berkenaan.
Susulan daripada itu, kita menahan kelapan-lapan suspek dan merampas 242 batang kabel yang telah dipotong, dua buah lori, sebuah pacuan empat roda, sebuah van dan pelbagai peralatan mencuri kabel," katanya.
Abdul Rozak berkata, kesemua kabel tersebut mempunyai 4 meter panjang, berdiameter 5 meter dan seberat 3 tan.
"Kesemua kabel yang dicuri bernilai lebih RM100,000 dan kita percaya, sindiket ini mempunyai tempat untuk menyimpan kabel-kabel berkenaan sebelum dijual kepada pelanggan mereka.
]
Suspek turut menggunakan aset syarikat telekomunikasi untuk menjalankan kegiatan haram mereka.
"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan selain kita juga sedang menyiasat sama ada masih ada ahli sindiket yang masih bebas atau sebaliknya," tambahnya.
Ujar beliau, tangkapan itu adalah yang terbesar di Pulau Pinang setakat ini.
"Empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketum manakala empat lagi tiada rekod jenayah.
"Kesemua mereka direman tiga hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," tambahnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/702718/berita/semasa/dua-pekerja-syarikat-telekomunikasi-enam-subkontraktor-ditahan-curi-kabel
|