Georgetown: Premis makanan di Bukit Jambul di sini, diberi notis penutupan selama 14 hari berkuat kuasa semalam, susulan penemuan lipas di ruang dapurnya.
Ketika diperiksa menerusi Operasi Kebersihan Establisymen Makanan, ruang dapur premis berkenaan berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi yang dikendali oleh Jabatan Pelesenan dan Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan Zon Selatan itu berlangsung selama hampir lima jam.
"Sebanyak lapan premis di kawasan itu diperiksa, namun satu daripadanya diberi notis penutupan.
"Arahan penutupan premis itu adalah berdasarkan penemuan urungan lipas dan ruang dapur yang tidak memuaskan," menurut MBPP dalam satu kenyataan di Facebook sini, hari ini.
Menurut MBPP, sebanyak lima notis tawaran kompaun (NTK) turut dikeluarkan berdasarkan pelbagai kesalahan.
Antaranya adalah meletak bahan makanan kurang 20 sentimeter dari paras lantai, kondisi tandas yang tidak bersih dan tidak mengambil langkah sesuai bagi elak makanan tercemar.
"Pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke semua premis makanan di bahagian pulau negeri ini diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihannya dan mencapai piawaian pemarkahan yang sudah ditetapkan.
"Selain daripada memberi khidmat nasihat mengenai aspek kebersihan, peringatan juga diberi kepada peniaga mengenai larangan penggunaan penyedut minuman plastik di premis makanan dan minuman yang berkuatkuasa sejak 1 Oktober lalu," menurut MBPP.