CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 53115|Reply: 0

[Pulau Pinang] Ribuan pelancong, masyarakat pelbagai kaum meriahkan Perarakan Chingay Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 29-12-2024 01:58 AM | Show all posts |Read mode
Ribuan pelancong, masyarakat pelbagai kaum meriahkan Perarakan Chingay Pulau Pinang

BERNAMA




PERARAKAN Chingay dari Padang Brown ke Padang Kota Lama. FOTO Bernama




Georgetown: Ribuan orang termasuk pelancong tempatan dan asing memeriahkan Perarakan Chingay Pulau Pinang 2024 hari ini yang menyajikan persembahan memukau yang penuh warna-warni serta pertunjukan seni budaya pelbagai kaum.

Perarakan Chingay tahun ini bermula 6 petang di Jalan Johor di Padang Brown di sini menuju ke Jalan Datuk Keramat, Jalan Penang, Lebuh Chulia dan Jalan Masjid Kapitan Keling sebelum berakhir di Padang Kota kira-kira tiga jam kemudian, meliputi jarak 4.5 kilometer.

Acara berkenaan disertai 41 pasukan Chingay dari Pulau Pinang dan yang menarik perhatian ialah persembahan Chingay, iaitu mengimbang tiang bendera setinggi hampir 12 meter dengan bendera besar mencapai 7.6 meter lebar dan seberat 10 kilogram, disifatkan sebagai "sesuatu yang bukan mudah."

Para peserta yang terdiri daripada warga tempatan serta pelbagai kaum turut mempersembahkan tarian singa, tarian naga dan seni mempertahankan diri yang turut diselangi dengan sorakan gembira daripada penonton di sepanjang laluan perarakan.

Menariknya, walaupun Chingay amat sinonim dengan kaum Cina, namun pesona seni itu turut menarik penyertaan pelbagai kaum termasuk orang Melayu dan India di Pulau Mutiara itu.

Mohamed Azizul Abu Bakar Sitiz, 29, berkata minatnya terhadap Chingay timbul apabila sering mengikuti Perarakan Chingay Pulau Pinang setiap tahun dan mula mempelajari aksi permainan terbabit sejak berusia tujuh tahun dan mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk mahir mengendalikan hantaran tiang buluh itu.

"Chingay ini kena ada kemahiran dalam mengendalikan tiang buluh dan kena tahu arah tiupan angin supaya lebih mudah untuk mengimbangi, tetapi sebenarnya ia bukan mudah dan jika tersalah langkah boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada saya, tetapi juga ahli pasukan yang lain.

"Namun, selepas lapan tahun berlatih dengan sifu-sifu dalam bidang Chingay, saya mampu menyambut hantaran tiang bendera menggunakan beberapa anggota tubuh lain seperti belakang badan dan dada," katanya ketika ditemui Bernama malam ini.

Peniaga itu berkata dia kini menyertai Persatuan Chingay Sungai Pinang yang dianggotai lebih 20 orang berusia 18 hingga 40 tahun terdiri daripada peserta Melayu dan juga India.

Sementara itu, pelancong dari Shanghai, China yang ingin dikenali sebagai Lin, 29, berkata dia tiba pagi ini untuk merasai kemeriahan dan keseronokan perarakan Chingay buat kali pertama.

"Pengalaman ini sangat menarik, tiada persembahan Chingay di Shanghai mungkin ada di bahagian lain di China," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata 41 pasukan termasuk senamrobik, tarian singa pancaragam, persatuan silambam, kelab Muay Thai dan kereta berhias mengambil bahagian pada perarakan malam ini.

"Chingay di Pulau Pinang bukan sekadar acara hiburan, tetapi simbol kerjasama dan penghargaan terhadap kekayaan warisan budaya yang dikongsi bersama oleh pelbagai bangsa selain perarakan ini juga dapat menyatukan serta mengukuhkan masyarakat sebagai sebuah komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang berucap merasmikan acara itu berkata kini misi kerajaan negeri adalah untuk mempromosikan budaya Chingay ke peringkat global pada Mac tahun depan bersama Johor dan Singapura dengan mengemukakan permohonan untuk dimasukkan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).

Beliau berkata ia untuk memastikan Chingay tidak ditelan zaman, dan pada Februari 2025 Persatuan Chingay Pulau Pinang juga akan menjadi sebahagian daripada delegasi yang akan berentap di Festival Chingay Singapura bertaraf antarabangsa.

"Kerajaan negeri yakin Pulau Pinang dapat menjadi negeri contoh Inspires the Nation bukan sahaja dalam bidang ekonomi, malah juga dalam pemuliharaan dan pemeliharaan budaya, pembangunan sosial dan aspek lain yang menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara serta tamadun bangsa," katanya.

Chingay berasal daripada dialek Cina Hokkien tempatan iaitu chin yi yang bermaksud seni asli, dan sejak 100 tahun lepas ia menjadi seni serta budaya tarikan di Pulau Pinang.



Disiarkan pada: Disember 28, 2024 @ 11:45pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1170588/ribuan-pelancong-masyarakat-pelbagai-kaum-meriahkan-perarakan-chingay-pulau




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-1-2025 09:48 AM GMT+8 , Processed in 0.037441 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list