Gambar hiasan
SYDNEY: Seorang paderi maut selepas diserang seekor jerung ketika sedang memancing bersama keluarga di perairan Great Barrier Reef di Australia, petang semalam.
Perkhidmatan kecemasan berkata, jerung terbabit menggigit leher lelaki berusia 40 tahun itu di luar Pulau Humpy di pantai timur negara berkenaan.
Polis negeri Queensland dalam kenyataan, berkata ketika kejadian, mangsa sedang memancing bersama ahli keluarganya.
Katanya, mangsa mengalami 'kecederaan serius' dan mati kira-kira satu setengah jam kemudian, selain menjelaskan laporan akan disediakan untuk koroner.
Bercakap kepada AFP hari ini, jurucakap ambulans Queensland berkata, mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami 'luka serius di lehernya'.
Pulau Humpy terletak di Taman Negara Kepulauan Teluk Keppel di Great Barrier Reef, menjadi kawasan perkhemahan popular yang memberikan akses mudah untuk aktiviti menyelam dan selam snorkel.
Pemimpin komuniti menyuarakan kesedihan atas kehilangan Luke Walford, seorang pendeta belia di gereja Cathedral of Praise di Rockhampton, pusat bandar Queensland.
Walford sebelum ini, pernah memuat naik gambarnya memakai pakaian selam ketika memancing, dipercayai sedang melakukan aktiviti itu menggunakan tombak ketika serangan berlaku.
Wakil Rockhampton di parlimen Queensland, Donna Kirkland, dalam kenyataan mengakui masih terkejut insiden menimpa rakannya yang disifatkan sebagai pemimpin memberi inspirasi kepada pendeta muda dan kanak-kanak.
Serangan maut terakhir di negara itu berlaku pada Disember 2023, apabila pemangsa, dipercayai jerung putih bersaiz besar membunuh remaja lelaki berusia 15 tahun di lokasi luncur ombak terpencil di Australia Selatan.
Berdasarkan pangkalan data negara, lebih 1,200 insiden jerung direkodkan di Australia sejak 1791, dengan lebih 250 daripadanya mengakibatkan kematian.
Kebanyakan gigitan serius adalah daripada jerung putih, jerung banteng, dan jerung harimau. - AFP Disember 29, 2024
|