Pendaki terbabit dibantu anggota bomba keluar dari hutan Bukit Kanada. - Gambar JBPM
MIRI: Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya membawa keluar seorang lelaki yang terkandas di hutan kerana kelelahan ketika mendaki di Bukit Kanada di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam laporannya memberitahu, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Miri Sentral menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi.
Operasi diteruskan dengan mencari mangsa di lokasi yang telah dikongsikan melalui GoogleMap dan mangsa telah dijumpai dalam jarak 300 meter dari jalan utama. Lelaki berusia 25 tahun itu ditemui dalam keadaan lelah disebabkan penyakit asma yang dihidapinya.
"Keadaan mangsa stabil dan pasukan bomba mengiringi mangsa ke tempat selamat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelas laporan itu.
Seramai empat anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut.
|