Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa selepas ditemui.
KUCHING: Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang apabila terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kelaoh, Lundu, pada pagi 25 Disember 2024 ditemui meninggal dunia, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mayat mangsa, Jokepli Hamidi, dijumpai oleh orang kampung pada jarak anggaran 300 meter ke hilir sungai dari Pos Kawalan Bomba (PKB) sekitar jam 8.27 pagi.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke jeti Haji Mahyan sebelum diperiksa oleh pihak PDRM di lokasi.
“Mayat mangsa seterusnya dibawa oleh pihak PDRM ke Hospital Lundu sekitar jam 8.45 pagi untuk tujuan proses bedah siasat.
“Dengan penemuan itu, operasi SAR yang telah dijalankan sejak Rabu itu (25 Disember 2024) ditamatkan sekitar jam 10.10 pagi tadi,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, menurut saksi yang berada tidak jauh dari lokasi, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika dia sedang mengemas bot di jeti.
Mangsa juga katanya, yang kelihatan memakai baju berwarna biru muda berlengan panjang dan berseluar 'tracksuit' hitam dilaporkan sempat meminta bantuan dan berusaha untuk berenang ke tebing sungai.
Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa selepas ditemui.
Jelasnya, saksi menyiapkan bot dan terus menuju ke arah mangsa untuk menghulurkan bantuan bagaimanapun mangsa telah hilang dihanyutkan harus deras.
|