Gambar Pejabat Daerah Subis yang dikongsi Lukanisman.
MIRI: Pejabat Daerah Subis dijangka siap Februari tahun depan sekali gus menyediakan ruang pejabat pentadbiran yang lebih besar.
Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
"Moga perpindahan ke pejabat baharu tidak lama lagi akan memberi perkhidmatan yang lebih baik," jelas beliau.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia itu berkata, sejarah pembentukan Daerah Subis bermula sepuluh tahun lalu.
Beliau memberitahu, pada 2014 bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) bersetuju terhadap cadangan pembentukan Daerah Subis ketika Majlis Melanggar Meja Sibuti.
Menurutnya, Allahyarham Tok Nan telah membawa perkara tersebut ke Kabinet Sarawak dan seterusnya digazetkan.
Lukanisman berkata, masih banyak pembangunan infrastruktur diperlukan di Subis.
Beliau berharap agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan lebih banyak kemudahan untuk rakyat di kawasan Sibuti diluluskan.
Tentang projek, pejabat tersebut dibina di Bekenu di seberang sungai berdekatan jambatan.
Beliau memberitahu, projek mula dibangunkan pada tahun 2020.
"Projek sepatutnya siap pada bulan Mac 2024 tetapi tertangguh kerana penularan wabak COVID-19," jelasnya.
|