(Dari kiri) Nur Hanisah, Nur Intan, Lau dan Kho pada sidang media di Sibu, hari ini.
SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menggesa pengguna agar memahami Akta Jualan Langsung dan Anti Skim Piramid 1993 (Akta 500) susulan aduan seorang pengguna yang dipaksa membeli korset bernilai hampir RM9,000.
Pada sidang media di sini hari ini, Pengerusi MTPN Cawangan Sibu Lucas Lau berkata, beliau menerima aduan tersebut melalui Facebook Messenger pada 13 Disember lalu kira-kira jam 9.40 pagi.
Menurut beliau, pengadu pada mulanya tertarik dengan satu hantaran di media sosial oleh seorang pempengaruh di Sibu atau model sambilan yang mempromosikan korset dengan dakwaan memberikan hasil segera selepas sekali pemakaian.
Tertarik dengan tawaran itu, pengadu membuat janji temu dengan ejen untuk mencuba secara percuma.
"Bagaimanapun, pengadu mendapati ia sebenarnya adalah taktik jualan.
"Selepas percubaan tersebut, pengadu dipaksa membeli korset itu tanpa mengetahui harganya.
"Pengadu hanya mengetahui harga korset tersebut selepas menerima invois hampir RM9,000 pada hari sama, tanpa sebarang persetujuan atau kontrak jualan," katanya.
Tidak berpuas hati dengan situasi tersebut, pengadu membuat aduan kepada MTPN untuk tindakan lanjut.
"Dengan invois dan bukti lain, kami merujuk perkara ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
"Pada 24 Disember, MTPN membantu pengadu mengemukakan aduan rasmi melalui platform e-KPDN.
"Kami ingin menggesa orang awam untuk memahami Akta Jualan Langsung dan Anti Skim Piramid 1993.
"Kami juga ingin mengingatkan semua penjual agar menjadi penjual yang bertanggungjawab dan menghormati hak pengguna," katanya.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Pengerusi MTPN Cawangan Sibu Nur Intan Asmida Busmandi serta Pegawai Biro Maklumat Nur Hanisah Busmandi dan Alex Kho Kim Hock.
|