(Dari atas kiri) Ricky, Amin, Manjeet, Sim, Roziah dan Methodius.
KUCHING: Kestabilan ekonomi, politik, lebih banyak peluang pekerjaan dan penstrukturan sistem pendidikan adalah antara harapan yang disuarakan rakyat dalam menempuh tahun baharu 2025. Selain itu, turut menjadi harapan rakyat ialah kuota Bumiputera lain-lain bangsa diberikan sama rata dalam sektor awam Sarawak dan perjuangan hak kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati, rata-rata rakyat mahukan yang terbaik buat negara lebih-lebih lagi pelbagai cabaran hidup telah ditempuh sepanjang tahun inisekali gus berharap dapat menggapai impian yang disasarkan.
Seorang pesara pendidik, Methodius Macdonald Segie, 60, berkata, beliau mahu rombakan dan penstrukturan semula dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan.
Ia berikutan cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik terhadap sistem pendidikan yang sering berubah dan turut memberi tekanan kepada para pelajar.
“Bayangkan, sekolah rendah sekarang dibahagikan kepada tiga tahap yakni Tahap 1 adalah untuk murid tahun 1 dan 2, sementara Tahap 2 untuk murid tahun 3 dan 4 dan seterusnya Tahap 3 untuk murid tahun 5 dan 6.
“Kemudian pengajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu kepada murid Darjah 1 hingga 4 dan bukan lagi dalam Bahasa Inggeris.
“Justeru, perkara ini sebenarnya membantutkan usaha kerajaan Sarawak untuk memartabatkan pengajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam Bahasa Inggeris,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut meminta agar kerajaan negeri meneliti semula kuota agar diberikan sama rata kepada semua golongan Bumiputera dalam sektor awam Sarawak.
Perkara itu termasuk mengenakan sistem meritokrasi kepada semua bangsa dalam kategori ‘Bumiputera’ yang layak dalam lantikan jawatan untuk memacu pembangunan negara yang lebih jitu, ujarnya.
Beliau turut menyuarakan rasa senang menjalani kehidupan sosial sebagai seorang pesara dan kini banyak menyertai program-program yang dianjurkan oleh badan beruniform, Pengakap.
Sementara itu, Roziah Lwai, 41, seorang pengurus bengkel jentera berat di sini turut menyatakan harapan yang sama agar silibus pendidikan negara dikaji semula terutama untuk murid di peringkat sekolah rendah.
“Kalau boleh, tidak perlu murid yang masih di peringkat sekolah rendah d tekan dengan benda-benda yang di luar jangkaan fikirannya,” katanya selepas membuat pemerhatian terhadap anak-anak buahnya yang masih bersekolah.
“Kanak-kanak ini berasa tertekan. Apa yang penting adalah untuk mereka diajar nilai-nilai hidup untuk bersopan-santun dan sebagainya, asas pengiraan matematik, agama dan lain-lain sudah mencukupi.
“Ini penting kerana semakin mereka membesar, nilai-nilai yang baik ini akan menjadi pembawaan diri mereka masing-masing di kemudian hari,” tegasnya.
Selain itu, beliau berharap agar Kerajaan Sarawak sentiasa stabil tanpa berlakunya pergolakan dalam kalangan ahli politik seperti yang sering berlaku di negeri-negeri lain, sekali gus menjejaskan perjalanan kemajuan yang bakal dilaksanakan.
"Tidak dilupakan agar lebih ramai wanita diberi peluang untuk mendapat pekerjaan di dalam sektor jentera berat yang kini masih lagi dimonopoli oleh kaum lelaki," katanya.
Bagi Manjeet Kaur Sidhu, 55, presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di sini, kerajaan perlu menyelesaikan segera isu kanak-kanak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan.
“Mesej saya kepada kerajaan adalah biarkan kanak-kanak yang tidak berwarganegara ini keluar. Beri mereka peluang. Selesaikan masalah mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
“Dan kemudian, menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak ini termasuk perkhidmatan kesihatan, walaupun ada di antara mereka yang masih dalam proses menunggu keputusan permohonan dokumentasi.
“Kanak-kanak biasanya akan jatuh sakit dan sudah tentu memerlukan perkhidmatan perubatan... mereka juga memerlukan pendidikan dari usia muda yang amat penting kerana ia akan mencorak kehidupan mereka.
“Kita (masyarakat dan kerajaan) sebenarnya mencipta mereka. Mereka tidak mencipta diri mereka sendiri. Jadi, sebab itu penting pendidikan dan kesihatan diberikan kepada semua kanak-kanak ini.
“Untuk 2025, semua harus dilayan sama rata. Sudah tentu, jika saya melihat rakyat di negeri ini gembira, saya pasti gembira termasuk jika masalah kanak-kanak tanpa status kewarganegaraan dapat diselesaikan segera,” tambahnya.
Masih berkaitan pendidikan, seorang bapa tunggal Ricky Sut, 40, berharap bantuan persekolahan pelajar bernilai RM150 ditambah RM100 lagi menjadi RM250 bagi meringankan bebanan keluarga yang mempunyai anak ramai.
"RM150 hanya cukup untuk menampung pendaftaran masuk anak ke sekolah sahaja, belum lagi pembelian buku latihan, buku kerja dan lain-lain,” ujarnya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini.
Beliau yang mempunyai tanggungan seramai lima orang anak yang masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah berharap dapat menyekolahkan anak-anaknya sehingga ke insitusi pengajian tinggi.
Dalam pada itu, golongan usahawan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak memberi peluang untuk pengembangan perniagaan.
Amin Aznizan, 35, Pengarah Urusan Kumpulan SOCC Holdings Sdn Bhd berkata, 2024 merupakan tahun yang menakjubkan di bawah kepimpinan Kerajaan Sarawak. “Saya fikir kerajaan telah melakukan kerja yang hebat dari segi menetapkan persekitaran untuk perniagaan, swasta, awam dan kerajaan untuk berkembang maju.
“Tetapi, kini terpulang kepada kita rakyat Sarawak untuk mengambil peluang ini untuk benar-benar mengembangkan perniagaan kita.
“Jadi, saya berharap pada tahun 2025, hasil daripada segala inisiatif yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga perniagaan di Sarawak
“Di samping itu, menarik semula lebih ramai bakat Sarawak untuk kembali ke negeri asal dan menyumbang kepada Sarawak.
“Asas telah ditetapkan untuk kita berkembang. Dan 2025 akan menjadi tahun untuk perniagaan Sarawak berkembang dan mengharumkan nama Sarawak dalam kalanganmasyarakat antarabangsa, insya-Allah,” ujarnya.
Dato Sim Kiang Chiok , 62, seorang pemaju hartanah pula berharap agar Sarawak akan terus maju dalam membangunkan rancangan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang bertujuan untuk menggandakan pendapatan negeri menjelang 2030.
“Saya juga berharap kerajaan negeri kita juga akan diberikan semula semua hak autonomi di bawah MA63 pada tahun 2025.
“Kita harus terus hidup dalam aman dan harmoni, membolehkan ekonomi kita berkembang dan membawa lebih banyak kemakmuran kepada semua rakyat Sarawak dan Malaysia.
“Sebagai pemaju hartanah, saya percaya bahawa usaha kerajaan untuk mengekalkan bakat di Sarawak, bersama-sama dengan peningkatan pendapatan, akan mendorong peningkatan permintaan untuk perumahan dan hartanah,” katanya.
|