Dr Sim bersama Dr Liew memotong kek sebagai simbolik majlis Makan Malam Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Pertubuhan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak sambil disaksikan yang lain.
KUCHING: Sarawak sedang merangka pelan induk penjagaan kesihatannya bagi meningkatkan sektor tersebut dalam beberapa tahun akan datang, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk merangka pelan tersebut.
Pelan induk ini katanya, akan merangkumi tenaga kerja penjagaan kesihatan, pendaftaran, dan pembiayaan negeri yang akan meningkatkan kapasiti sektor berkenaaan di Sarawak.
"Justeru, saya ingin semua pihak di sini, menyumbang untuk melihat apa lagi yang perlu kita lakukan.
"Usaha ini selaras dengan autonomi penjagaan kesihatan kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Pelan induk ini akan menjadi pelan hala tuju kita dan kerana itu, ia tidak boleh disiapkan dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) di sebuah hotel di sini, malam Jumaat.
Sementara itu, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melahirkan keyakinan bahawa penggamal perubatan di Sarawak mampu mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan pada masa akan datang.
Sebagai contoh, katanya, Hospital Umum Sarawak (HUS) kini menjadi pusat pertama di Malaysia yang menjalankan ujian klinikal "First-in-Human" (FIH).
"Melihat ini, saya optimis kita boleh mencapai kejayaan besar dalam sektor kesihatan pada pada masa hadapan.
Malah, saya yakin kebanyakan penyakit yang dianggap tidak boleh diubati sebelum ini, akan mempunyai penawar," tambahnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni dan Presiden SPMPS Dr Liew Shan Fap.
|