Anggota bomba berusaha memadam kebakaran rumah di Kampung Seri Petanak, Jalan Petanak di Mukah malam tadi.
SIBU: Sebuah rumah di Kampung Seri Petanak, Jalan Petanak di Mukah dilaporkan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.08 malam.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah dan pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan sumber air sungai berhampuran,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
“Setelah memastikan api padam sepenuhnya dan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak, katanya.
|