Alor Setar: "Syukur Alhamdulillah selepas kisah saya disiarkan Harian Metro kelmarin, ramai yang menghulurkan sumbangan sehingga mencecah lebih RM8,000," kata
Nor Aza Hamzah, 43.
Menurutnya, wang itu akan digunakan bagi membeli kereta terpakai manakala bakinya untuk membesarkan empat anak yang masih kecil.
Katanya, dia tidak menyangka rakyat Malaysia sangat prihatin dengan masalah yang dialaminya selepas kehilangan suaminya, Mohd Asri Zakaria yang meninggal dunia akibat kanser buah pinggang kira-kira dua tahun lalu.
"Sebelum ini dalam akaun bank saya cuma ada RM60 dan terpaksa saya jimat tetapi saya terkejut apabila ramai yang membantu menyalurkan sumbangan dalam akaun bank saya.
"Syukur alhamdulillah, mungkin rezeki tahun 2025, kami sekeluarga dapat pakai kereta baharu walaupun hanya kereta terpakai dan saya akan beli dalam tempoh dua atau tiga hari lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, selain empat anaknya yang berusia 11 hingga tiga tahun termasuk seorang daripadanya autisme, dia juga turut menjaga ibu mentuanya, Aisyah Salleh, 75, serta ibu saudaranya yang mengalami masalah jiwa.
Katanya, dia yang juga anak yatim piatu akan terus berusaha menjual telur masin hasil itik peliharaan demi membesarkan anak-anaknya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Nor Aza terpaksa menggunakan Perodua Kancil uzur untuk membawa anak-anaknya ke sekolah selepas kematian suaminya, dua tahun lalu.
Kereta buruk itu sudah beberapa kali rosak di tengah jalan namun tetap digunakannya malah membaikinya sekadar termampu dengan menggunakan wang hasil jualan telur masin serta menyiang ikan keli yang diperolehinya RM100 seminggu.
Kisah kesusahan Nor Aza turut tular di media sosial oleh Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang kasihan melihat wanita itu terpaksa menggunakan kereta 'buruk' untuk kegunaan harian.