Nibong Tebal: Polis mengesahkan punca kematian kanak-kanak perempuan yang maut akibat tersepit di besi kaki meja lipat adalah disebabkan pembengkakan otak berikutan kekurangan oksigen dan tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Chong Boo Khim berkata, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Parit Buntar, Perak, tengah hari tadi.
Menurutnya, mangsa ditemui abang sulungnya dalam keadaan tersepit pada jam 4.15 petang semalam dan dibawa ke hospital untuk rawatan oleh ibunya.
"Namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam tadi.
"Bedah siasat dilakukan pada pagi ini dan laporan mendapati punca kematiannya adalah sebagai 'celebral edema due to asphyxia' iaitu pembengkakan otak disebabkan kekurangan oksigen' dan tiada unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya polis menasihatkan supaya ibu bapa dan penjaga untuk memastikan tahap keselamatan kanak-kanak di rumah atau tempat awam terjamin.
"Polis telah menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,"katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Aqifah Humaira Abdullah maut selepas tersepit di celah besi kaki meja lipat di kediamannya di Taman Seri Putera, di sini, petang semalam.
Insiden itu berlaku ketika mangsa berusia enam tahun, sedang bermain sendirian di belakang rumah yang disewa ibunya.