Lebih 7,000 pelancong masuk Langkawi hari pertama TMK 2025
Oleh Hamzah Osman - Januari 2, 2025 @ 4:27pm [email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/langkawiii_1735806427.jpg)
Ketibaan pelancong di Terminal Penumpang Jeti Kuah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Seramai 7,361 pelancong mengunjungi pulau ini pada hari pertama pelaksanaan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, semalam.
Daripada jumlah itu, seramai masing-masing 1,056 pelancong tiba di pulau itu menerusi perkhidmatan feri penumpang dan feri penumpang/kenderaan (RoRo) serta selebihnya 4,486 (penerbangan).
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata seramai 763 penumpang masuk menerusi lima trip feri dari Kuala Kedah dengan pelepasan pertama jam 11.30 pagi, hari ini.
"Pada masa sama, sejumlah 1,056 penumpang lagi masuk ke pulau ini juga menerusi lima trip perjalanan feri dari Kuala Perlis yang bermula seawal 11 pagi.
"Tiada trip perjalanan pada waktu malam bagi kedua-dua laluan itu, semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pengurus Besar Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), Muhd Nasir Abdul Aziz, sejumlah 1,056 penumpang telah tiba menerusi perkhidmatan feri RoRo di Dermaga Tanjung Lembung di sini, semalam.
"Sebanyak lima trip feri RoRo beroperasi semalam dengan kesemuanya dari Kuala Perlis, iaitu Langkawi Auto Exspress, Langkawi RoRo, My RoRo, Wantas RoRo dan Dibuk.
Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Che Sulaiman Che Pa, berkata seramai 4,486 pelancong tiba di LTAL, semalam, dengan penerbangan terawal tiba AirAsia AK6326 jam 8.06 pagi.
"Semalam, secara keseluruhannya LTAL menerima 23 penerbangan masuk iaitu dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Subang untuk domestik, selain Bengaluru, India dan Singapura bagi antarabangsa," katanya.
Semalam media melaporkan kerajaan negeri mensasar enam juta pelancong melawat Kedah menerusi kempen TMK 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipetik sebagai berkata, lebih 150 acara pelancongan juga disusun sepanjang tahun ini bagi menarik kedatangan pelancong.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1344076/lebih-7000-pelancong-masuk-langkawi-hari-pertama-tmk-2025
|