PTT dapat pembiayaan RM498.6 juta bina gudang pintar di Pulau Pinang
Oleh Nur Amira Mohd Hedzer - Januari 3, 2025 @ 2:22pm [email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/AMBANK_AND_PTT_SYNERGY_GROUP_MOU_CEREMONY_1735885327.jpg)
Sim (tiga dari kanan) hadir menyaksikan majlis pecah tanah pembinaan gudang PTT Semicon Logistics Hub di Shah Alam, hari ini -NSTP/GENES GULITAH
SHAH ALAM: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) memberikan kemudahan pembiayaan RM498.6 juta kepada Projek Tetap Teguh Sdn Bhd (ProTT), anak syarikat PTT Synergy Group Bhd (PTT) untuk memulakan pembinaan PTT Semicon Logistics Hub, sebuah gudang pintar berteknologi tinggi, di Val d'Or, Pulau Pinang.
Kemudahan itu akan digunakan untuk membiayai kos tanah, pembinaan dan peralatan bagi sistem perolehan semula dan penyimpanan automatik (ASRS).
Manakala, gudang yang dilengkapi dengan teknologi internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) itu akan disewakan kepada sebuah syarikat multinasional pembuat semikonduktor yang berpusat di Pulau Pinang.
Projek itu dijangka siap pada separuh pertama 2026 dan merupakan projek kedua kumpulan yang apabila siap akan mempunyai ruang gudang melebihi 400,000 kaki persegi serta kapasiti sebanyak 47,320 posisi pallet.
Gudang itu akan dilengkapi dengan teknologi canggih ASRS bagi menawarkan penyelesaian kos efektif yang meningkatkan penggunaan mesin dan kecekapan proses.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Group, Christopher Yap, berkata pembiayaan menunjukkan kemampuan bank itu untuk memberikan penyelesaian industri hujung ke hujung yang disesuaikan kepada pelanggan, sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kemampanan.
"Ini juga mencerminkan komitmen AmBank Group dalam memajukan inovasi teknologi dalam landskap pembuatan Malaysia dan menyokong perniagaan untuk mencapai kecemerlangan operasi secara mampan.
"Permintaan ruang logistik semakin meningkat, terutamanya disebabkan oleh pengilang yang menjadi pemacu utama dalam pengembangan ruang logistik," katanya berucap pada majlis pecah tanah pembinaan gudang PTT Semicon Logistics Hub di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Yap berkata, penyewa utama ruang kemudahan itu terdiri daripada pemain logistik dan logistik pihak ketiga (45.2 peratus), diikuti oleh sektor pembuatan (31.5 peratus), peruncitan (14.6 peratus), e-dagang (6.2 peratus), pengangkutan (2.1 peratus) dan penyimpanan maklumat (0.4 peratus), data yang menunjukkan bahawa permintaan untuk gudang logistik masih tinggi.
"Dengan fokus penuh ke arah digitalisasi, sektor rantaian bekalan dan logistik Malaysia kini berada dalam tempoh transformasi, memacu perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan landskap yang berubah pantas," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan PTT, Teo Swee Phin, berkata majlis pecah tanah itu menandakan lebih daripada sekadar permulaan kemudahan baharu dan mencerminkan komitmen PTT yang teguh terhadap inovasi, kemampanan dan kecemerlangan.
"Projek ini akan menjadi asas kepada visi kami untuk memacu sektor industri dan logistik Malaysia ke arah masa depan dan kami yakin bahawa projek ini akan menjadi penanda aras untuk pembangunan hartanah industri di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kepimpinan dalam penyelesaian logistik pintar.
"PTT Semicon Logistics Hub bukan sahaja akan menjadi penanda aras bagi pembangunan hartanah industri, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor semikonduktor.
"Projek ini turut mencerminkan aspirasi PTT untuk meningkatkan keupayaan pergudangan automatik dan terus menyumbang kepada kemajuan industri negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2025/01/1344437/ptt-dapat-pembiayaan-rm4986-juta-bina-gudang-pintar-di-pulau-pinang
|