CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25709|Reply: 0

[Johor] Isu Batu Puteh: Johor tuntut individu terbabit didakwa di mahkamah

[Copy link]
Post time 4-1-2025 05:50 PM | Show all posts |Read mode

ONN Hafiz Ghazi. FOTO NSTP.

Johor Bahru: Kerajaan Johor menuntut setiap individu terbabit dalam menarik balik permohonan semakan tuntutan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan supaya diheret ke muka pengadilan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya memandang serius intipati petisyen yang diserahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor semalam, selain mengikuti perdebatan awam susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan tiga pulau berkenaan.

Beliau berkata, laporan RCI itu mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018, meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia.

Katanya, penarikan semula permohonan semakan itu dibuat meskipun wujud bukti yang kukuh untuk menyokong tuntutan Malaysia.

"Kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor menzahirkan rasa penuh dukacita di atas pengkhianatan yang telah berlaku ini.

"Mereka (yang terbabit) perlu dihakimi oleh perundangan negara di atas pengkhianatan ini. Kerajaan Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor mahupun negara.

"Kerajaan negeri juga berharap supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa NGO Johor dilapor menyerahkan petisyen kepada kerajaan Johor mendesak pihak berkaitan untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu kedaulatan Batu Puteh sehingga menyebabkan negara kehilangan aset berharga itu.

Penyerahan petisyen itu diadakan pada Himpunan Solidariti Bangsa Johor Terhadap Batu Puteh di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, yang dihadiri 400 orang.

Pada 5 Disember lalu, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dilapor mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Berikutan itu, RCI berkenaan mencadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.

Laporan ditandatangani tujuh anggota suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara, menyatakan dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan ialah Dr Mahathir menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan berkenaan dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran terhadap membatalkan keputusan ICJ dilakukan tanpa asas munasabah yang bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, malah membelakangi Jemaah Menteri dengan membuat keputusan secara sepihak.

"Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah suatu titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor, di mana kita telah kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.

"Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya," katanya.


Disiarkan pada: Januari 4, 2025



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-2-2025 02:59 AM GMT+8 , Processed in 0.054511 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list