Port Dickson: Faktor usia yang hampir setengah abad bukan penghalang buat seorang bapa mendaftar diri bagi melanjutkan pengajian di Politeknik Port Dickson (PPD), di sini, semalam.
Pelajar baru itu, Mohd Safuan Nadin, 47, dari Seremban yang ditawarkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) adalah satu-satunya pelajar yang agak berusia berbanding penuntut lain.
"Saya bercita-cita menjalankan perniagaan pusat servis kenderaan suatu masa nanti.
"Saya pernah bertugas sebagai Pengurus Agensi Kumpulan (Unit Trus & Takaful) di sebuah syarikat dan memiliki Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar pada 1998 dan selepas itu melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pada mulanya ramai pihak pentadbir di PPD bertanyakan adakah dia serius untuk mendaftar belajar berikutan memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari UTM dan sudah berusia.
"Isteri, Norhafiza Awang Idris, 47, dan dua anak, Muhammad Zaim Zarfan, 22, dan Nur Marissa Batrisya, 16, juga pada mulanya agak terkejut selepas saya maklumkan mahu sambung belajar tetapi akhirnya memberi galakan selepas melihat kesungguhan saya," katanya.
Mohd Safuan berkata, dia yakin mampu belajar biarpun kini agak berusia berbanding rakan sekuliah yang hampir sebaya anaknya.
"Saya ada pengalaman belajar di Politeknik Ungku Omar dan juga di UTM. Ini memudahkan saya menyesuaikan diri untuk bergaul dengan rakan sekuliah yang jauh lebih muda.
"Bagi saya, tidak ada yang pelik jika kita ada kemahuan dan minat mendalam dalam apa jua bidang yang kita terokai malah saya yakin mampu melakukannya dengan sokongan keluarga," katanya.