![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/parkamabb1n_1736204442.jpg)
KEADAAN tempat letak kenderaan di Jalan Geroda 2/1, Larkin Jaya yang sentiasa penuh dipercayai berpunca kerana petak parkir didominasi mereka yang bekerja di Singapura.
Tindakan itu diyakini dapat menyelesaikan isu parkir di jalan berkenaan yang didakwa orang ramai sentiasa penuh sehingga terpaksa membuat parkir berlapis, meletakkan kenderaan di tepi jalan atau jauh dari premis yang hendak dituju.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUK) Kerajaan Tempatan, 20 November lalu.
Katanya, ia bagi mewartakan petak parkir di jalan terbabit sebagai petak parkir berbayar.
"Bagi isu parkir di jalan berkenaan, MBJB sudah mengemukakan surat kepada pihak SUK Kerajaan Tempatan untuk diangkat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor bagi cadangan pewartaan jalan berkenaan di bawah perintah lalu lintas jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBJB.
"Ini bermakna MBJB sedang dalam proses mewartakan petak parkir kenderaan di kawasan berkenaan sebagai petak parkir berbayar," katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan luahan orang ramai yang tidak berpuas hati apabila tempat letak kereta di Jalan Geroda 2/1, Larkin Jaya di sini, sentiasa penuh dipercayai didominasi mereka yang bekerja di Singapura.
Difahamkan, mereka yang meletakkan kenderaan di kawasan itu rata-ratanya adalah yang bekerja di Singapura dengan masuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau teksi untuk masuk ke republik itu melalui Larkin Sentral yang terletak di seberang jalan.
Ia dipercayai kerana parkir di kawasan berkenaan adalah percuma.
Mohd Noorazam berkata, pada masa sama, tindakan penguatkuasaan dijalankan MBJB terhadap mana-mana kenderaan yang meletakkan kenderaan di luar petak parkir.
"Mereka yang meletakkan kenderaan di luar petak parkir sekali gus menghalang lalu lintas atau menimbulkan kesesakan jalan raya di kawasan terbabit, tindakan penguatkuasaan akan diambil," tegasnya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di [email protected]
Disiarkan pada: Januari 7, 2025
|