CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17143|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Negeri Sembilan salur inisiatif RM7.5 juta kepada 37,537 warga emas

[Copy link]
Post time 8-1-2025 09:41 PM | Show all posts |Read mode

Aminuddin (dua dari kiri) menyampaikan insentif tambahan kepada atlet Yee Zhi Xin yang mencatat rekod baharu kejohanan Sukma di Seremban. Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.



SEREMBAN: Seramai 37,537 warga emas di Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan Inisiatif Keceriaan Warga Emas (IKWE) yang disediakan kerajaan negeri menerusi pemberian insentif sekali beri sebanyak RM200 setiap seorang, tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebanyak RM7.5 juta disediakan kepada penerima terbabit menerusi inisiatif itu yang mula diperkenalkan tahun lalu.

"Saya boleh kata ini di antara inisiatif yang paling berjaya dan sumbangan kewangan ini diberikan bagi menghargai golongan warga emas.

"Justeru itu, bermula tahun ini (2025), sumbangan RM200 ini akan diserahkan kepada penerima semasa musim perayaan agama masing-masing.

"Kalau warga emas itu kaum Tionghua, maka sumbangan akan diberikan sebelum atau semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan sekiranya warga emas beragama Islam, sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan begitu juga bagi yang beragama Hindu, sebelum sambutan Deepavali.

"Adalah diharapkan dengan kaedah baru ini, ia akan memberi lebih keceriaan kepada golongan warga emas di Negeri Sembilan semasa menyambut perayaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan insentif tambahan RM1,000 setiap seorang kepada tiga atlet Negeri Sembilan yang berjaya memecahkan rekod baharu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Aminuddin berkata, warga emas yang telah berdaftar pada tahun lalu dan yang telah menerima sumbangan kewangan RM200, tidak perlu membuat permohonan baharu untuk mendapatkan sumbangan pada tahun ini.

"Sumbangan ini akan diselaraskan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mereka akan menghubungi setiap penerima terbabit," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang menawarkan pelbagai barangan asas pada harga lebih rendah akan diteruskan selepas memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 orang.

Menurutnya, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan kerana barangan keperluan asas dijual pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

"Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM2.2 juta bagi menjayakan program terbabit tahun lalu bagi tujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Program ini yang mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diteruskan tahun ini," katanya.

Januari 8, 2025  sumber

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2025 03:31 AM GMT+8 , Processed in 0.053688 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list