BIDEN timang cicit pertama. FOTO First Lady Dr Jill Biden/ Instagram
Washington: Presiden Joe Biden, menimang cicit selepas cucu sulungnya melahirkan bayi lelaki, di California, Rabu lalu.
Lapor New York Times, khabar gembira itu disampaikan Biden sendiri kepada media selepas melawat balai bomba di Santa Monica, California, dalam rangka lawatan dua hari bagi meninjau keadaan kebakaran hutan di wilayah itu.
Katanya, cucunya, Naomi Biden Neal melahirkan bayi lelaki seberat 4.53 kilogram.
"Berita baiknya ialah saya sudah bergelar moyang pada hari ini," katanya kepada pemberita.
Berita baik itu turut dikongsikan wanita pertama, Jill Biden yang memperkenalkan bayi itu dalam catatan di Instagram.
Beliau turut mendedahkan nama bayi itu ialah William Brannon Neal IV.
Sementara itu, menerusi foto yang dirakam di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles, Biden memangku bayi lelaki itu, yang dibalut dengan selimut berjalur biru, manakala isterinya dilihat menarik topi ke atas rambut gelapnya.
Hunter Biden, datuk bayi itu, isterinya Melissa dan anak lelaki mereka, Beau, turut hadir, menurut pemberita.
Bayi yang baharu lahir itu adalah anak pertama Biden Neal dan Peter Neal yang berkahwin pada November 2022 di Rumah Putih.
Biden Neal, seperti yang sering dikatakan Presiden, dinamakan sempena anak sulungnya yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta bersama isteri pertama Joe Biden, Neilia, pada 1972.
Biden dilaporkan mempunyai tujuh cucu.
Disiarkan pada: Januari 12, 2025
|