KAKITANGAN syarikat gas melakukan kerja di premis yang terbakar susulan kebakaran Palisades di Malibu, California. FOTO AFP.
Los Angeles: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam, menuduh pihak berkuasa California tidak cekap dalam menangani kebakaran hutan yang meragut nyawa sekitar Los Angeles.
"Kebakaran masih marak di LA (Los Angeles). Ahli politik yang tidak cekap ini langsung tidak tahu bagaimana untuk memadamkannya," kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Katanya, bencana itu terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat, namun pihak berkuasa itu didakwa langsung tidak dapat memadamkan kebakaran.
"Apa masalah mereka?" tulisnya.
Kebakaran yang marak cepat itu benar-benar menguji keupayaan infrastruktur pemadaman kebakaran dan menimbulkan persoalan serta kritikan mengenai tahap kesiapsiagaan negeri terbabit.
Pili bomba di kejiranan Pacific Palisades kering selepas terjejas dengan satu daripada lima kebakaran di rantau itu, manakala kekurangan air menyukarkan lagi usaha pemadaman di tempat lain.
Dengan hanya lebih seminggu sebelum kembali ke Rumah Putih, Trump melancarkan serangan tanpa bukti terhadap Gabenor Demokrat California, Gavin Newsom yang dituduh gagal menangani kebakaran itu.
Sementara itu, Newsom menjemput Trump untuk melawat Los Angeles dan meninjau kemusnahan itu bersamanya.
Setakat ini, kebakaran mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, memaksa 150,000 lagi berpindah serta kemusnahan lebih 12,000 struktur termasuk kediaman, menurut pegawai negeri.
"Beribu-ribu rumah yang tersergam indah telah musnah dan lebih banyak lagi akan hilang tidak lama lagi. Kematian ada di mana-mana," kata Trump dalam hantarannya.
Walaupun usaha berterusan anggota bomba termasuk kru udara, kebakaran Palisades terus merebak ke arah timur menuju koleksi seni bernilai tinggi di Muzium Seni Getty Centre dan ke utara menuju Lembah San Fernando yang padat dengan penduduk.
Disiarkan pada: Januari 13, 2025
|