CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9606|Reply: 0

Fatah-Hamas bersetuju berdamai

[Copy link]
Post time 14-1-2025 08:19 AM | Show all posts |Read mode

Potret besar Presiden Palestin, Mahmoud Abbas diletakkan di bangunan ketika penyokong pergerakan Fatah berkumpul semasa sambutan ulang tahun kumpulan itu di kem Jenin. Foto AFP

GAZA - Dua kumpulan politik utama Palestin yang telah lama berselisih, Fatah dan Hamas telah mencapai persetujuan awal pada awal Disember untuk membentuk jawatankuasa bersama bagi mentadbir Gaza selepas perang.

Rundingan yang berlangsung selama beberapa minggu di Kaherah, Mesir, berjaya menghasilkan draf dokumen untuk membentuk Jawatankuasa Sokongan Masyarakat (CSC), sebuah badan teknokrat yang bertujuan memulihkan kestabilan Gaza.

CSC dijangka terdiri daripada 10 hingga 15 anggota bebas, kebanyakannya dari Gaza dan akan melapor kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah di Tebing Barat.

Tugas utama jawatankuasa itu meliputi sektor penting seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula.

Ia turut bertanggungjawab mengurus lintasan sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir, yang merupakan pintu masuk utama untuk bantuan ke Gaza.

Menurut dokumen tersebut, jawatankuasa itu hanya akan mula berfungsi selepas gencatan senjata dengan Israel dimeterai dan lintasan sempadan kembali beroperasi seperti sebelum Oktober 2023.

Ia juga akan terus beroperasi sehingga pilihan raya umum diadakan atau formula baharu disepakati di peringkat nasional.

Kesepakatan itu adalah perkembangan positif dalam konteks 17 tahun perpecahan politik antara Fatah dengan Hamas.

Sejak 2007, Gaza berada di bawah pemerintahan Hamas manakala Fatah mengawal Tebing Barat.

Konflik antara kedua-dua kumpulan itu telah melemahkan usaha untuk mencapai matlamat nasional Palestin.

Kumpulan bersenjata Fatah mengadakan perarakan di bandar Ramallah. Foto AFP
Namun, kerjasama terkini memberikan harapan baru.

“Persetujuan ini adalah hasil rundingan mendalam dan mendapat sokongan negara Arab,” kata penganalisis dasar daripada kumpulan pemikir Rangkaian Dasar Palestin, Al-Shabaka, Hanna Alshaikh.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak menganggap CSC sebagai pendekatan pragmatik yang boleh diterima.

Walaupun terdapat kemajuan, pelbagai cabaran besar masih menanti. Salah satu isu utama adalah peranan Hamas dalam pascakonflik.

Hamas tidak bersedia untuk melepaskan sayap ketenteraannya dan ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana peranan keselamatan akan diuruskan selepas perang.

Tambahan pula, kelulusan akhir bagi pelaksanaan jawatankuasa itu memerlukan persetujuan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Sejak Fatah diusir keluar dari Gaza pada 2007, Abbas sering dilapor bersikap dingin terhadap usaha perdamaian dengan Hamas.

PA juga kerap menuduh Hamas gagal mematuhi perjanjian terdahulu, termasuk Perjanjian Oslo yang mengiktiraf Israel dan menyeru penolakan keganasan.

Tindak balas Israel dan peranan antarabangsa

Israel telah menolak secara tegas sebarang peranan untuk Hamas atau PA dalam pascaperang Gaza

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah berikrar untuk terus berperang sehingga Hamas ditewaskan sepenuhnya dan tebusan Israel dibebaskan.

Selain itu, Israel juga tidak menyokong usaha untuk menyatukan Gaza dan Tebing Barat di bawah satu pentadbiran Palestin.

Pada masa yang sama, Israel telah mengemukakan rancangan untuk masa depan Gaza, termasuk kawalan keselamatan jangka panjang di kawasan sempadan dan penempatan semula penduduk Palestin ke wilayah selatan Gaza.

Kumpulan bersenjata Hamas yang kini berusaha menentang pencerobohan Israel di Genting Gaza. Foto Agensi
Tindakan itu menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan pendudukan kekal.

AS, yang secara tradisional menyokong PA, melihat cadangan tersebut sebagai peluang untuk menghidupkan semula PA sebagai langkah menuju penubuhan sebuah negara Palestin.

Namun, pentadbiran Netanyahu dan gabungan sayap kanannya secara tegas menentang usul tersebut.

Negara Arab seperti Mesir dan Qatar memainkan peranan penting dalam rundingan ini.

Mesir telah menjadi tuan rumah rundingan, manakala Qatar mungkin akan menjadi wadah bagi rundingan terakhir antara Israel, AS dengan Hamas.

Rakyat Gaza, yang telah menderita akibat perang berlarutan, mengharapkan perubahan nyata daripada persetujuan itu.

Konflik terkini telah mengorbankan hampir 45,000 nyawa Palestin, menghancurkan prasarana Gaza selain menyebabkan lebih 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. - Agensi

Januari 14, 2025  sumber


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 05:02 AM GMT+8 , Processed in 0.769465 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list