RUMAH Andrew McNally House, bangunan bersejarah di Altadena, California terbakar akibat api Eaton. FOTO AFP.
California: Ketika penduduk Los Angeles tertekan dengan kemusnahan rumah mereka akibat kebakaran yang masih belum reda, ada pemilik hartanah dikatakan sengaja mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa.
Bintang Netflix bagi siri Selling Sunset, Jason Oppenheim mendakwa pemilik hartanah di Los Angeles menaikkan kadar sewa secara haram di tengah-tengah bencana melanda.
Dalam temu bual dengan BBC yang dilapor Business Insider pada Ahad, Oppenheim yang menguruskan The Oppenheim Group bersama saudara kembarnya menyeru agar amalan eksploitasi itu didedahkan.
"Kami melihat pemilik hartanah mengambil kesempatan daripada situasi ini," katanya.
Kebakaran di Los Angeles yang bermula hampir seminggu lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang, menyebabkan berpuluh-puluh orang hilang dan memusnahkan ribuan struktur termasuk rumah.
Jumlah kawasan yang terbakar kini lebih besar daripada Paris.
Oppenheim turut berkongsi kisah seorang pelanggannya melihat hartanah untuk disewa yang pada harga AS$13,000 (RM58,524) sebulan.
Pelanggannya kemudian menawarkan untuk menyewa pada AS$20,000 (RM90,035) sebulan bersama enam bulan sewa dibayar terlebih dahulu, tetapi tuan tanah tiba-tiba meminta sewa AS$23,000 (RM103,543) sebulan.
"Terdapat undang-undang kawalan harga di California yang sedang diabaikan ketika ini.
"Ini bukan masanya untuk mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku dan ia satu kesalahan mengambil kesempatan semasa bencana alam," katanya.
Apabila Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat pada 7 Januari lalu, ia secara automatik mengaktifkan undang-undang California yang mengehadkan lonjakan harga untuk perumahan, bekalan kecemasan dan keperluan lain sehingga 180 hari.
Undang-undang kawalan harga di California melarang kenaikan kadar sewa yang diiklankan, ditawarkan atau dikenakan bagi perumahan yang melebihi 10 peratus selepas darurat diisytiharkan.
Newsom juga menandatangani perintah eksekutif pada Ahad yang melarang kenaikan harga semasa kecemasan yang akan kekal berkuat kuasa sehingga 7 Januari 2026.
Pelanggaran peraturan kawalan harga ini boleh dihukum penjara daerah sehingga setahun, denda sehingga AS$10,000 (RM45,000) atau kedua-duanya sekali.
Penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Los Angeles kini bergelut mencari rumah sewa yang berhampiran sekolah dan tempat kerja mereka, menyebabkan permintaan meningkat serta dalam beberapa kes, harga naik jauh melebihi had dibenarkan undang-undang.
Penerbit tempatan The LAist mendapati satu iklan di Zillow untuk sebuah rumah di Bel Air mengalami kenaikan sewa sehingga 86 peratus, dengan kebakaran yang masih marak, situasi itu mungkin menjadi lebih buruk.
Walaupun bomba telah menunjukkan kemajuan dalam mengawal kebakaran, pihak berkuasa memberi amaran angin kering yang semakin kuat boleh merumitkan usaha itu.
Pacific Palisades, kawasan yang menempatkan beberapa hartanah paling mahal di negara itu antara kawasan teruk terjejas.
Selebriti seperti Paris Hilton, Billy Crystal dan Milo Ventimiglia juga telah kehilangan rumah mereka.
Disiarkan pada: Januari 14, 2025sumber
|