ILUSTRASI TikTok dan bendera AS dan China. FOTO Reuters
Sacramento, Amerika Syarikat: Ketika potensi pengharaman TikTok di Amerika Syarikat (AS) semakin hampir, aplikasi media sosial China bernama RedNote secara tidak dijangka melonjak ke kedudukan teratas di Apple App Store dan Google Play Store pada Isnin.
RedNote yang dikenali sebagai Xiaohongshu di China, menyaksikan lonjakan populariti mendadak dalam kalangan pengguna AS apabila TikTok berdepan kemungkinan diharamkan pada 19 Januari 2025, lapor agensi berita Xinhua.
Aplikasi itu menjadi alternatif bagi pencipta kandungan dan pengguna AS yang mencari platform selain TikTok.
Peningkatan mendadak RedNote di AS ketika Mahkamah Agung dijadual membuat keputusan sama ada melaksanakan undang-undang yang boleh melarang TikTok atau memaksa syarikat induk China, ByteDance, menjualnya kepada firma Amerika.
Ketidaktentuan undang-undang ini mendorong ramai pengguna TikTok beralih ke platform lain, dengan RedNote muncul sebagai pilihan popular.
Diasaskan pada 2013, RedNote pada mulanya memfokuskan kepada nasihat membeli-belah di luar negara tetapi berkembang menjadi platform gaya hidup yang menyeluruh.
Aplikasi ini membolehkan pengguna berkongsi ulasan produk, tip gaya hidup dan pengalaman peribadi melalui teks, imej dan video pendek.
Pada Disember 2024, RedNote mencatatkan kira-kira 300 juta pengguna aktif bulanan di peringkat global.
Menurut Xinhua, pengguna RedNote kebanyakannya terdiri daripada wanita muda bandar di China, dengan 70 peratus penggunanya dilaporkan lahir selepas 1990. Bagaimanapun, kemasukan pengguna AS baru-baru ini mula mempelbagaikan demografi pengguna platform itu.
Kejayaan platform ini dikaitkan dengan gabungan unik ciri media sosial dan e-dagang. Pengguna boleh berkongsi kandungan dan membeli produk secara langsung melalui aplikasi, mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lancar.
Ketika pengguna 'mengerumuni' RedNote, sebahagian daripada mereka turut menerima sifat antarabangsa platform itu. Video daripada pengguna AS yang menggelar diri mereka sebagai "pelarian TikTok" mula muncul, dengan sebahagian daripadanya berhubung dengan pengguna China untuk mempelajari meme yang sedang tular di negara itu.
Disiarkan pada: Januari 15, 2025
|