CCTV: Rakaman CCTV menunjukkan dua individu berada di luar rumah sebelum membaling bom Molotov ke kawasan hadapan rumah terbabit.
KOTA KINABALU: Pemilik sebuah rumah yang turut digunakan sebagai pejabat guaman meminta pihak polis menjalankan siasatan terperinci selepas premis yang terletak di kawasan Penampang dilapor diserang menggunakan bahan dipercayai bom Molotov.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pemilik, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah menunjukkan dua individu tidak dikenali menaiki motosikal berhenti di hadapan pintu pagar rumah pada jam 8 malam 14 Januari lalu.
Rakaman terbabit menunjukkan salah seorang daripada individu itu membaling dua bahan disyaki bom Molotov ke kawasan hadapan rumah yang menyebabkan api meletus.
Keesokan paginya, kira-kira jam 8 pagi, pemilik mendapati serpihan kaca dan kesan terbakar di kawasan luar berhampiran pintu pagar rumah.
Pemilik terbabit menjelaskan bahawa rumah berkenaan adalah milik peribadi tetapi digunakan sebagai pejabat guaman.
Katanya, laporan polis dibuat untuk memastikan keselamatan diri dan harta benda selain membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Kejadian ini juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jiran yang turut menggesa pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis memaklumkan sudah menerima laporan polis dan menyatakan bahawa siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek terlibat serta motif serangan terbabit.
|