Edited by sfhzuraz at 16-1-2025 05:57 PM
ASEAN perkukuh hubungan serantau di tengah ketidaktentuan ekonomi global
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
16 Januari 2025 03:02pm
Nazir (tengah) bersama kumpulan kerjasama ASEAN-BAC Malaysia yang hadir dalam sidang akhbar di sebuah hotel pada Khamis.
GEORGE TOWN - Ketidaktentuan perdagangan global dan perubahan dasar ekonomi telah mendorong ASEAN untuk memperkukuh hubungan serantau sebagai langkah mengukuhkan kestabilan ekonomi di rantau ini.
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin berpecah, ASEAN perlu meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan sesama negara anggota.
“Dalam situasi pemisahan dan pemecahan ekonomi global ini, ia adalah peluang untuk ASEAN kerana kita kekal neutral dan diharap terus kekal neutral,” katanya.
Sebelum itu, Nazir merasmikan sidang akhbar mengenai 102nd Asean-BAC Counsil Meeting and 25th Joint Counsil Meeting di sini pada Khamis.
Sidang akhbar itu turut disertai wakil dari negara anggota Asean serta rakan ekonomi utama seperti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun, Kanada, Australia dan New Zealand.
Nazir berkata, ketidaktentuan ekonomi global seperti kesan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) memberi impak besar kepada negara-negara yang bergantung kepada perdagangan luar, termasuk yang berkait rapat dengan ekonomi China.
“Ekonomi ASEAN yang lebih terbuka dan bergantung pada perdagangan amat prihatin terhadap ketidaktentuan ini.
"Oleh itu, adalah lebih penting untuk kita meningkatkan kerjasama dan bergantung kepada kekuatan serantau,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada pelantikan semula Donald Trump sebagai Presiden AS, yang merancang untuk memperkenalkan tarif baharu serta menubuhkan agensi khas, External Revenue Service untuk memungut hasil dari sumber luar.
“Langkah Trump dijangka memberi kesan terhadap perdagangan global secara keseluruhan, termasuk di ASEAN,” tambahnya.
Nazir berkata, data menunjukkan ASEAN mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) pada paras tertinggi pada 2023, mencerminkan daya tarikannya sebagai blok ekonomi yang kukuh.
“Fokus ASEAN kini adalah memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama dalam kalangan negara anggota untuk menghadapi perubahan ekonomi global menjelang 2025,” katanya.
Sebelum ini, Trump dilaporkan telah mengumumkan hasratnya untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu yang dinamakan 'External Revenue Service' yang bertujuan untuk memungut tarif, duti dan semua hasil daripada sumber asing.
Dalam satu hantaran di platformnya, Truth Social, Trump menyatakan bahawa beliau akan menubuhkan jabatan baharu itu sebaik sahaja memegang jawatan pada 20 Januari ini.
Trump membandingkan jabatan yang dicadangkan itu dengan Internal Revenue Service (IRS), iaitu badan pemungut cukai domestik di Amerika Syarikat.
Penubuhan agensi baharu tersebut memerlukan kelulusan Kongres AS, namun Trump mendapat sokongan kuat di Kongres AS kerana parti Republikan menguasai majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat.
https://www.sinarharian.com.my/article/707530/berita/nasional/asean-perkukuh-hubungan-serantau-di-tengah-ketidaktentuan-ekonomi-global
|