Muar: "Saya takut, sebab itu saya lari," kata seorang wanita warga Myanmar yang ditahan dalam Ops Mahir di sekitar Bakri, di sini, hari ini.
Wanita berusia 30-an itu didapati melarikan diri dan bersembunyi dalam stor sebaik menyedari kehadiran pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan operasi di tiga lokasi kilang membuat perabot.
Dalam serbuan 11 pagi itu, terdapat beberapa pekerja warga asing cuba melarikan diri, namun gagal sebelum diberkas.
Ketika serbuan, mereka didapati sedang bekerja di kilang perabot sebelum diarah memberhentikan kerja oleh anggota dan pegawai penguat kuasa imigresen.
Serbuan juga mendapati tempat penginapan pekerja asing di tingkat atas bangunan dua tingkat seakan-akan reban ayam dengan bau busuk serta menjijikkan selain dicemari sampah sarap.
Sementara itu, Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 244 pekerja asing diperiksa dengan 49 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka terdiri warga Myanmar, Bangladesh dan Pakistan. Daripada jumlah itu, lapan ditahan adalah wanita kerana didapati tinggal lebih masa serta tiada dokumen sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63," katanya.