THIAN Ming Chuan dituduh merogol remaja perempuan hingga hamil. FOTO Alias Abd Rani.
Muar: Tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur hingga hamil di sebuah hotel, bulan lalu.
Tertuduh, Thian Ming Chuan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Lelaki itu yang masih bujang dituduh merogol remaja berusia 16 tahun di hotel di Yong Peng, Batu Pahat pada 4.30 petang, 13 Disember lalu, dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Gan Hsien Yang dan Ishvinderjeet Singh Ranjit Sigh.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.
Disiarkan pada: Januari 21, 2025
|