CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24746|Reply: 0

[Johor] Pengurus projek syarikat konsesi lebuh raya tak mengaku terima rasuah

[Copy link]
Post time 23-1-2025 09:34 PM | Show all posts |Read mode


Johor Bahru: Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan projek pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zairulnizam Rohani, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan rasuah bernilai RM50,000 masing-masing menerusi tiga pemindahan atas talian ke dalam akaun milik isterinya.

Ia sebagai upah buat tertuduh yang juga pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya membantu sebuah syarikat pembinaan, mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Taman Universiti, di sini, pada 7, 12 dan 13 Disember 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Tugimin.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dengan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.

Bagaimanapun peguam tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan rendah dan tidak membebankan.

"Ini kerana anak guam saya digantung tugas sejak Julai tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan dengan akaun peribadi dibekukan, walaupun ketika bekerja menerima gaji sebanyak RM11,000 sebulan sebelum ini.

"Tertuduh juga disahkan doktor pakar mengalami darah beku di otak sejak April 2023, menyebabkan beliau sukar bertutur dengan jelas selain tidak dapat mengingati fakta.

"Beliau juga perlu menanggung empat anak yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi dan bersekolah selain ibunya yang menderita sakit tulang belakang," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Februari depan, bagi penyerahan dokumen.

Pada 21 Januari lalu media melaporkan, dua individu termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat, susulan kes rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata COO syarikat konsesi itu dijangka didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 manakala seorang lagi individu yang didakwa ialah pengurus projek sebuah syarikat swasta yang dijangka didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut seksyen sama.

Kes berkenaan berhubung dengan Op Lintas membabitkan unsur rasuah Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang bernilai RM1.05 bilion dan Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.

Sebelum ini, media melaporkan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.


Disiarkan pada: Januari 23, 2025



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-2-2025 11:46 PM GMT+8 , Processed in 0.431152 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list