KUMAR menunjukkan barang rampasan dan siasatan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Izz Laily Hussien
Johor Bahru: Bukan sahaja bungkus semula dan edar dadah, sindiket pengedaran dadah turut menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen seperti kad pengenalan, lesen memandu dan wang.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu terbongkar selepas polis berjaya membuat empat serbuan di sekitar bandar raya itu antara 1.15 tengah hari, 13 Januari hingga 7.50 pagi 14 Januari lalu.
Menurutnya, serbuan itu dibuat di dua premis iaitu kondominium dan rumah teres selain dua kereta sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 33 tahun yang dipercayai ahli sindiket.
"Kondominium yang berpagar dan berpengawal itu adalah 'homestay', manakala rumah teres itu disewa sindiket terbabit.
"Kita turut memeriksa sebuah Honda City yang disewa suspek untuk kegunaan mereka, manakala sebuah Proton Waja adalah kereta curi yang dilaporkan hilang pada 2023 di Kajang, Selangor.
"Sindiket ini menjadikan premis dan kenderaan sebagai 'stor' menyimpan dadah dan untuk pembungkusan semula sebelum diedarkan ke pasaran sekitar daerah ini.
"Selain itu, kita menemui pelbagai dokumen palsu dan kita masih menunggu hasil siasatan dan semakan agensi terbabit bagi memastikan identiti yang tercatat dalam dokumen palsu yang ditemui," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, dalam semua serbuan itu, pihaknya turut merampas 21.811 kilogram disyaki serbuk ekstasi; 1.40 gram disyaki syabu dan 40.28 liter disyaki cecair semuanya dianggar bernilai lebih RM3.68 juta dan boleh digunakan oleh 206,973 penagih jika terlepas ke pasaran.
"Kita turut merampas 13 keping kad pengenalan dan lesen memandu disyaki palsu; 18 kertas mata wang tempatan dengan not 20, 50 dan 100 disyaki palsu, 10 kad bank disyaki palsu, satu geran kenderaan disyaki palsu serta peralatan untuk mencetak kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai palsu.
"Selain itu, kita turut menyita wang tunai sebanyak RM400, wang tunai asing Kemboja riel berjumlah RM247.40 dan seutas jam tangan," katanya.
Menurut beliau, semua suspek kini masih direman selama 12 hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 489B serta Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
"Hasil semakan rekod pula mendapati mereka mempunyai rekod lampau dalam kes dadah serta jenayah.
"Seorang daripada suspek pula mempunyai rekod dikehendaki untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah pada tahun lalu yang dilaporkan di Alor Gajah pada tahun lalu," katanya.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|