Kawasan kediaman tersebut dinaiki air pada awal pagi tadi. - Gambar JBPM
KANOWIT: Sembilan mangsa banjir daripada dua keluarga di Jalan Simpang 3, Ranan, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Kanowit selepas kediaman mereka dinaiki air pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.39 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 9.07 pagi, pasukan bomba mendapati air banjir telah menjejaskan rumah mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Salah seorang mangsa yang diselamatkan pagi tadi. - Gambar JBPM
Dua keluarga yang terlibat adalah dari Rumah Goretti Jekulas, membabitkan lima individu, termasuk empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.
Sementara itu, empat lagi mangsa dari Rumah Patricia Lanting terdiri daripada seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan, seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang bayi.
Operasi pemindahan melibatkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dengan lima anggota dari BBP Kanowit.
|