![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250205/fw1283182kl4817012023azalinaothman-scr.jpg)
KUCHING: Sarawak telah menerima Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 (Akta 144) sebagai undang-undang yang mengawal industri petroleum negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar).
Pada masa sama, beliau dalam laporan The Edge, berkata syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), mengiktiraf Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai agregator gas Sarawak, tidak termasuk gas asli cecair (LNG).
Memetik jawapan bertulis Parlimen kepada Chong Chieng Jen (Pakatan Harapan–Stampin), portal berita itu berkata Azalina menyatakan bahawa itu adalah perjanjian utama yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pertemuan mereka pada 7 Januari, 2025.
Beliau menambah, PETRONAS dan anak-anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen atau mematuhi sebarang prosedur tambahan untuk menjalankan operasi petroleum di Sarawak melebihi yang digariskan dalam Akta 144.
"PETRONAS menerima peranan PETROS sebagai agregator gas (bukan LNG) di Sarawak, dan bersedia untuk bekerjasama dengan PETROS di negeri," katanya dalam laporan itu.
Semua perjanjian sedia ada antara PETRONAS dan pihak ketiga, termasuk PETROS, berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak akan kekal sah dan mesti diteruskan tanpa perubahan, kata The Edge.
Azalina seterusnya menyatakan bahawa kerajaan persekutuan, PETRONAS, kerajaan Sarawak dan PETROS kini sedang memperhalusi beberapa aspek perjanjian itu, termasuk implikasi undang-undangnya.
|