Johor Bahru: Polis menahan lelaki dan wanita bagi membantu siasatan kematian wanita warga emas di sebuah rumah dekat Taman Sri Skudai, Skudai di sini, semalam.
Tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian mangsa berusia 79 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung penemuan wanita terbabit pada 7.08 malam.
Beliau berkata, warga tempatan itu ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah dan bertutup dengan kain batik.
"Siasatan awal mendapati beberapa barang milik mangsa telah hilang dan dipercayai diambil oleh suspek.
"Pemeriksaan pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas waris mangsa mendapati keterangan diberikan meragukan dan polis menahan lelaki, 51, dan wanita, 58, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kita turut merampas dua telefon bimbit beserta sim kad, pakaian suspek, bantal dan dua cebisan resit pajak gadai.
"Semakan rekod jenayah mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan bersabit kes dadah dan seorang lagi tiada rekod lampau," katanya yang memaklumkan kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 12 Februari.
|