CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 154|Reply: 0

Sanggar Kreatif: Yang bernama guru

[Copy link]
Post time 22-6-2011 01:06 PM | Show all posts |Read mode
1\r“... Jika hari ini sesiapa pun menjadi dewasaIa bermula daripada seorang guru biasaYang dengan lembut mengajar tulis-baca”\rBAIT puisi indah tulisan Sasterawan Negara, Usman Awang itu kubaca sekilas, entah buat kali yang ke berapa pada jeda ini dengan perasaan sebak yang bermaharajalela. Tulisan tangan cakar ayam Yap Siew Hwa pada sehelai kertas berwarna biru muda itu masih dapat kubaca, meski herot dengan runcingan aksara yang cacamarba.\r\r“Sebagai guru, kita merupakan idola dan arkitek yang bertanggungjawab melukiskan sahsiah generasi pada hari ini untuk kegemilangan bangsa masa hadapan, Kamarul.” Kata-kata Puan Halijah, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) yang mempunyai lima anak tidak sedikit pun menjentik tangkai hatiku yang masih terluka seperti dicaras. Curi-curi, kucuba merenung siling yang seakan terbelah pantas dek bilah-bilah kipas dalam kamar yang kurasakan semakin panas.\r\n\n\n\n\n\r“Kalaulah guru itu seorang arkitek, maka saya bukanlah arkitek yang mampu membina sahsiah anak-anak ini, puan. Saya perlukan pelajar-pelajar yang bermotivasi tinggi. Saya perlukan pelajar yang bisa mengerti betapa pelajaran itulah yang akan menjadi bekalan diri meski berbondong rintangan yang melintangi ....”\r“Kerana itu, guru itu perlu berperanan sebagai motivator yang kurator kepada pelajar dengan kebijaksanaan menggabungkan psikomotor. Bukan menjadi seorang diktator. Anak-anak pada hari ini perlu dididik dengan acuan kasih dan sayang. Mereka generasi yang cepat matang, namun cepat juga memendam rasa di lubuk hati yang tidak berkalang.” Belum pun sempat aku menghabiskan jela bicara, Puan Halijah pantas mencantas kata dengan fakta pedas berlada.\rAku menghela nafas panjang yang tersekat di trakea yang kontang.\r“Saya mahu berpindah sekolah kerana selagi saya mengajar di sini saya mendidik mereka dengan jiwa yang lara. Naluri saya merana. Sekolah ini barangkali tidak sesuai dengan cara dan falsafah pengajaran saya. Saya perlukan persekitaran baru yang lebih baik dan pelajar yang lebih baik.” Tukasku sebelum memilih mengheret kerusi selepas menyatakan ada temujanji dengan ibu bapa pelajar sebagai dalih dan berlalu dengan pandangan yang sengaja kualih.\r\n\n\n\n\rBilik makan khas untuk para guru di kantin terasa lengang, meski ada beberapa orang guru baru asyik menikmati sarapan pagi yang sedia terhidang. Cangkir kopi O yang dipesan oleh ku masih penuh, tanpa sekali pun kuhirup lantaran emosi ligat berputar dihambat jenuh. Di hadapan, Latifah memandangku dengan kerut wajah seribu pertanyaan, tanda perhatian seratus peratus terhadap permasalahan yang menuntut penjelasan jawapan.\r“Perkataan apa lagi yang dia tulis?” soal Latifah sambil menggaul bubur ayam yang masih meruap panas. Keenakan aroma menusuk ke hidung, namun untuk memesan menu yang sama, aku perlu kembali menghitung. Seleraku sejak semalaman ini diracuni pelbagai mainan emosi.\r2\r“I LOVE U CIKGU KAMARUL. Sebesar-besarnya di bahagian pintu depan.”\rLatifah menggeleng, sedang hatinya cukup kupasti terbangking dengan rasa kesal dan kecewa menyelinap seiring.\r“Kau sudah laporkan kepada En Kumar? Perkara ni bukan perkara kecil, Arul. Ini sudah termasuk dalam kes vandalisme, lebih-lebih lagi pula kereta guru yang menjadi sasaran. Kau bayangkanlah, kalau perkara ini dibiarkan mesti masalah disiplin di sekolah kita akan semakin menjadi-jadi. Kalau hari ini mereka berani mencalarkan kereta guru, esok lusa mungkin mereka akan apa-apakan pula guru,” Tukas Latifah tegas dengan tunak matanya yang membulat, berkongsi rasa kemarahan yang tersemat.\r“Sudah aku laporkan tadi. Tapi biasalah, kita tak ada bukti. Tanpa saksi. Yang kita boleh buat hanyalah melilau menunding jari, menuduh tanpa premis. Ah, aku tak mahu fikirkan sangat hal ni. Aku dah lengkapkan borang permohonan pertukaran sekolah. Kalau diluluskan, aku mahu pergi dari sekolah ini. Mengharap agar aku ditempatkan di sekolah yang lebih baik untuk aku mencurah bakti. Sakit jiwa aku kalau aku terus mengajar di sini.” Balasku mengakhiri perbualan, kebetulan pada detik yang sama loceng berbunyi menandakan aku perlu bersiap untuk memulakan pengajaran.\r“Saya tidak ada masalah untuk meluluskan permohonan ini, cikgu. Sememangnya sudah menjadi hak cikgu untuk mengemukakan permohonan pertukaran jika cikgu rasa cikgu tidak gembira di sini. Tugas saya hanya menyokong tanpa cuba mengongkong. Dan proses pertukaran ini juga terserah kepada pegawai berkenaan di kementerian untuk mempertimbangkan permohonan cikgu. Setiap sesi, pihak kementerian menerima beribu-ribu permohonan pertukaran. Dan kelulusan hanya diberi atas sebab-sebab tertentu seperti berkahwin, mengikut suami atau isteri, cukup tempoh perkhidmatan dan ada beberapa kes khas seperti ingin memberikan perkhidmatan yang lebih baik atau sakit kronik.” \rJela penerangan Hajah Norhayati kutangkap butirannya sekilas. Apa yang diperkatakan olehnya itu ternyata sudah awal-awal lagi aku fahami. Namun, kerana menghormatinya sebagai pengetua sekolah merangkap majikanku, aku cuba berlagak seperti memberikan perhatian dan minat yang penuh.\r“Cikgu tidak gembira mengajar di sekolah ini?” soalnya setelah melihat aku terhenyak kaku dan membisu di kerusi empuk berwarna biru.\r“Saya perlukan persekitaran yang baharu. Setelah mengajar selama setahun di sini, saya rasa saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini. Budayanya terlalu berbeza dengan sekolah saya dulu. Mereka lemah dalam serba serbi yang berkaitan dengan pelajaran. Ketika saya mengajar KOMSAS di dalam kelas, mereka bersikap acuh tidak acuh. Mereka seolah-olah tidak sukakan saya. Mereka bersikap kurang ajar, tidak mendengar arahan dan tidak mempedulikan saya ketika saya mengajar di kelas. Saya sedih, kerana sikap saya ketika zaman persekolahan saya dulu berbeza dengan sikap pelajar pada zaman sekarang.” Habis, segala perasaan yang terbuku di dada kuluahkan semahunya. Antara sedar dengan tidak, Hajah Norhayati rupa-rupanya mendengar luahanku dengan minat yang berdetak.\r“Cikgu, personaliti anak-anak zaman pascamoden ini memang berbeza dengan personaliti pelajar-pelajar terdahulu. Jauh bezanya dengan zaman kita dulu. Mereka perlu dididik dengan cara yang mereka rasakan mereka selesa menerimanya. Guru pula perlu memahami ungkal jiwa muda remaja mereka. Kita perlu mengurangkan protokol ketika berhadapan dengan anak-anak ini. Cuba dekati mereka dengan cara yang lebih mesra dan mengamalkan sikap bertolak ansur. Anak-anak gerasi Y ini sememangnya sukakan perhatian.” Lembut saja sulaman nasihat Hajah Norhayati, tanpa sedar menjentik dan menyusup ke dalam hati. Namun, aku cuba menegak pendirian diri. Apa pun berlaku, aku tekad mengangkat kaki meninggalkan sekolah ini.\r3\rJEDA hening yang membabakkan situasi genting diakhiri dengan satu noktah di meja runding.\r“Sebagai seorang majikan yang profesional, saya menyokong permohonan cikgu untuk berpindah. Saya tidak berhak untuk memaksa cikgu untuk terus berkhidmat di sini, kerana saya fikir jika cikgu memberikan perkhidmatan tanpa jiwa dan raga, kelak sangat buruk akibatnya. Jika ini jalan yang cikgu percaya, saya juga percaya cikgu tidak akan rasa kecewa. Baiklah, serahkan borang permohonan ini kepada kerani sekolah supaya dapat dipanjangkan kepada pihak jabatan pelajaran negeri dan kementerian. Saya doakan cikgu akan menemui apa yang cikgu cari.”\rTutur nada Hajah Norhayati, mesti segar dalam ranting-ranting bicara, namun tetap berbaur antara keluh jiwa dan sindir nuansa yang masih bersisa. Aku mencapai dokumen yang kemas berkokot, menyeret perlahan kerusi empuk yang menggetarkan keriut, bingkas memberi tunduk hormat sebelum memulas tombol pintu dengan cermat.\rSeisi kelas 3 Cekal dicekik kesepian, jauh daripada kelaziman mereka yang sememangnya telah dicap sebagai kelas yang terkenal dengan kebisingan. Aku masih terpancang di hadapan kelas di sisi meja, memerhati setiap rona wajah para pelajar yang kebanyakannya berbangsa Cina yang sukar kumengertikan maksudnya.\r“Cikgu tak sukakan kami?” soal Jeevan Rajandran, anak seorang pesara polis yang bertubuh kecil. Serta-merta, pangkal ingatku diterpa peristiwa ketika dia lekatkan gula getah di laci meja.\r“Kenapa cikgu mahu berpindah? Kami teruk sangatkah cikgu?” soalan Raja Reen Mahsuri pula menyusul lantas menambah bilangan wajah teman-temannya yang sugul.\r“Kami tahu kami nakal kan cikgu. Kami selalu buat bising. Tak dengar arahan cikgu, selalu tak bawa buku, tak siapkan kerja rumah cikgu, bila cikgu mengajar kami selalu tak beri perhatian kepada cikgu. Tapi tolonglah cikgu. Janganlah berpindah. Kami sukakan cikgu. Cuma kadangkala kami kurang gemar dengan cara cikgu yang selalu marah-marahkan kami.” Sesuai dengan statusnya sebagai ketua kelas, Lieow Xuan Ning dengan berani bingkas meluah apa yang terpendam dalam diri. Aku percaya, perkara itu jugalah yang terbenam di benak teman-temannya yang lain.\r“Cikgu, saya mewakili pelajar-pelajar kelas 3 Cekal yang lain ingin memohon maaf kepada cikgu sekiranya kami selalu menyakitkan hati cikgu. Kami berjanji, kami akan mengubah sikap kami selepas ini, kerana barulah kami sedar bahawa selama kami jarang menghargai cikgu di kelas kami.” Kata-kata Yap Siew Hwa, seorang pengawas sekolah seolah mematahkan ranting pertimbanganku.\r“Tetapi, kalau cikgu sudah nekad untuk berpindah, kami ingin memohon maaf dan kami ingin mengucapkan selamat berjaya kepada cikgu. Nampaknya selepas ini, takkan ada lagi seorang guru yang akan mengajar kami dengan sabar dan lembut seperti cikgu. Kehadiran cikgu umpama air yang mengalir. Sentiasa dingin dan mendamaikan walau apa juga rintangan yang menanti di hadapan.” \rKata-kata Lim Sook Fong sepantasnya menambah hiba di benakku. Tuhan, betapa sukar pertimbanganku saat ini! Aku dibauri bancuhan rasa yang marba. Perlu memilih sama ada terus mengejar sesuatu yang belum pasti, tetapi masih tetap mahu dicari atau mendakap saja apa yang sudah ada di hadapan mata sendiri. Aku mencapai dokumen permohonan pertukaran yang akan aku serahkan kepada Puan Ruhana sebelum waktu balik nanti, sambil fikiranku ligat mentafsir dan memuhasabah diri dengan sebenar-benar takwa dan istiqamah di hati dan sanubari.\r4\r“CIKGU sudah bersedia? Sebentar lagi giliran kita untuk membuat persembahan.” Sapaan Lee Kah Wai menghentikan lamunanku. Ya, sebentar lagi aku dan beberapa orang pelajar yang dahulunya menjadi musabab untuk aku bertukar sekolah akan membuat persembahan bersama-sama sempena majlis sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah pada 16 Mei. Kami akan mempersembahkan puisidra dengan sajak, Guru O Guru, nukilan Sasterawan Negara, Usman Awang akan menjadi tunjang pementasan di samping beberapa puisi tentang guru ciptaanku sendiri.\rYang bernama guru, kitalah sebenarnya arkitek pembina generasi berilmu. Yang perlu dengan lembut, tabah dan sabar mendidik tanpa jemu. Kerana sebagai insan yang telah diamanahkan untuk menyebarkan ilmu kepada anak bangsa, kitalah sang nakhoda yang akan melayarkan bahtera peradaban nusa di segara tepu cabarannya meski bergulung ombak rintangan yang mendesir di dermaga pertimbangan kita.\r

[Posting Asal]                [Kembali ke Berita Rakyat]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 05:33 AM GMT+8 , Processed in 0.586610 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list