View: 174|Reply: 0
|
Cerpen: Al-Kisah Sebuah Perkumpulan Elit
[Copy link]
|
|
WANG ringgit tidak akan pernah melahirkan apa-apa idea. Sebaliknya idealah yang selalunya menjana kekayaan. Patah kata Owen Laughlin, \"Money never starts an idea. It is always the idea that starts the money.\"\rJusteru ini adalah sebuah kisah. Alahailah ceritera tentang dua orang rakan. Sahabat karib yang memusatkan idea, konon untuk menjana wang ringgit berjuta-juta banyaknya. Menurut sesetengah orang, katanya ini cerita bohong semata-mata; sedang menurut sesetengah yang lain pula, kononnya ini cerita didasarkan kepada kisah nyata. Tidaklah diketahui yang mana betul dan yang mana tidak.\r\n\n\n\n\rSegalanya bermula ketika Pian, seorang pekerja bank dan Adam, seorang peguam, tiba-tiba meletak jawatan daripada pekerjaan masing-masing, lantas menjadi penganggur sepenuh masa. Maka pada suatu petang yang damai, mereka berdua pun duduklah di rangkaian sebuah kedai kopi berjenama antarabangsa di tengah-tengah ibu kota. Mereka berborak, berborak panjang; mereka mengadu, mengadu nasib. Tentang ekonomi yang semakin menghimpit, tentang kehidupan yang semakin sempit, tentang pekerjaan yang penuh tekanan, tentang gaji yang tidak berbaloi dan tentang harga barangan yang mencanak naik.\r\r\n\n\n\n\n“Pada zaman ini,” begitu kata Pian setelah menghirup Cappuccinonya barang secicip, “graduan universiti yang masuk bekerja sebagai eksekutif diperlakukan semacam kuli buruh murahan. Disuruh bekerja tanpa mengira siang dan malam – kalau tidak, nanti dituduh pemalas dan konon tak giat berusaha cari pengalaman – sedangkan gaji yang diberikan hanya seciput!”\r“Dengan RM2,000 - RM2,500 sebulan,” begitu keluh Adam pula, “manakan cukup nak bayar kereta, perlu bayar rumah, kena bayar api air lagi dan tak lupa juga kewajipan hantar wang pulang ke kampung setiap bulan. Alahai, kos hidup sekarang bukannya murah. Manakan lagi nak cari duit kalau kereta tiba-tiba rosak atau diri tiba-tiba jatuh sakit dan perlu ke hospital atau kalau tiba-tiba ada kemalangan di luar duga? Manakan lagi nak beli pakai dan makan? Manakan pula nak buat simpanan untuk hari-hari mendung?”\rKerana itulah mereka berdua akhirnya memutuskan untuk berhenti bekerja.\rDan kini, mereka cuba memusatkan idea: “Kita perlu lakukan sesuatu,” kata Pian agak menegaskan, “cari jalan dengan kemahiran yang ada, dengan pengalaman yang terkumpul, kita mesti cipta peluang untuk buat duit. Kita tak boleh selamanya menyerah pada sistem yang tak adil. Belajar tinggi-tinggi sampai ke menara gading, tapi bila keluar, disuruh kerja macam abdi. Kehidupan tambah menghimpit setiap hari. Tak ada waktu bahkan untuk mengurus diri sendiri, kerana jadual yang sendat – keluar rumah sebelum matahari terbit dan balik ke rumah ketika tengah-tengah malam buta,” kata Pian kembali.\r\n\n\n\n\rMereka terus berbual, sesekali borak kosong, sesekali bicara berisi dan minuman dalam cawan masing-masing yang pada asalnya penuh, surut menjadi separuh, kemudian susut lagi sampai menjadi kosong sepenuhnya. Kedai kopi itu pula yang tadinya agak lengang kini mulai diisi orang, semuanya baru pulang dari pejabat. Jam sudah menunjukkan enam petang. Ketika itulah mereka tiba-tiba mendapat suatu idea untuk menubuhkan sebuah grup elit.\r“Tapi bukan grup sebarangan,” begitu kata Adam menekankan, “sebaliknya grup rompakan.”\rPian kelihatan mengerutkan dahi, barangkali masih tidak mengerti. “Rompakan?”\r“Ya, tapi bukan grup rompakan sebarangan,” lanjut Adam lagi, “sebaliknya grup rompakan elit yang profesional. Katakan kita namakan ia Perkumpulan Perompak Seantero Malaysia yang Inteligen – atau singkatannya PPSMI.\r“Hah?” Pian melopongkan mulut, tercengang alangkah tercengang, tentunya dia tak percaya.\rJusteru, Adam pun menerangkan dengan lebih rinci. Dalam grup PPSMI itu nanti, begitu terang Adam, rompakan tidak akan dijalankan dengan cara yang sama seperti perompak-perompak lain. Sebaliknya akan menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan setiap daripada ahli grup. Setiap orang dalam bidangnya yang masing-masing akan menyumbangkan kepakaran untuk melicinkan aktiviti merompak harta kekayaan orang lain.\r“Lantas apa yang ingin kita rompak?”\r“Bank,” jawab Adam pantas sebelum menyambung lagi, “dan apa-apa saja institusi kewangan lain. Pokoknya semuanya yang boleh memberikan kekayaan. Apa saja yang ada nilai wang ringgit di dalamnya.”\r“Dan kalau tertangkap, bagaimana?” Jelas sekali Pian masih belum pasti. Soalnya, merompak adalah suatu jenayah berat. Betapapun sukar keadaan dan betapapun menekan kehidupan, Pian belum sampai sebegitu terdesak untuk memilih jalan sedemikian. Melainkan – ya, melainkan – kalau dia dapat diberi kepastian dan keyakinan.\rMaka itulah yang dilakukan oleh Adam, cuba meyakinkan Pian: “Kau adalah bekas pekerja bank. Justeru kau ada kepakaran, atau sekurang-kurangnya pengetahuan tentang selok-belok keselamatan dalam bank. Aku pula bekas peguam. Justeru kalau ada di kalangan kita yang tertangkap, aku tahu selok-belok kelompongan dalam undang-undang yang boleh kita manfaatkan untuk lepaskan diri; malah kalau perlu, tak ada masalah untuk aku putar belitkan sebarang peruntukan perundangan untuk kepentingan grup PPSMI. Justeru kau tak perlu risau tentang itu.” Diam yang agak panjang sebelum Adam menyambung lagi, “Inilah yang aku maksudkan dengan PPSMI yang profesional. Kita gemblengkan kemahiran untuk merompak dan mengayakan diri dan juak-juak kita.”\rSegarit kecil kelihatan tertarik pada bibir Pian. Mereka berdua memesan lagi minuman tambahan. “Idea yang menarik,” kata Pian, “tapi memerlukan perancangan yang benar-benar teliti. Sebab ini soal besar. Ini soal bahaya. Tak boleh dibuat main-main.”\r“Indeed,” balas Adam dengan telor dibuat-buat, “it is a very dangerous plan. Tapi semuanya akan berbaloi bila kita menjadi kaya-raya nanti.”\rMereka berdua tertawa. Azan berkumandang dari masjid berhampiran. Sedikit sayup beralunan. Suasana kedai kopi itu semakin ramai, tampaknya kebanyakannya eksekutif muda yang pulang dari pejabat – sebelum pulang ke rumah, singgah bersantai di kedai kopi. Lagu instrumental terus dimainkan menerusi corong suara kedai tersebut. Tingkah meningkah alunannya dengan merdu suara azan di luar. Latar pencahayaan kekuningan yang malap memberikan suasana nyaman dan cosy. Kontras dengan remang senja di luar. Minuman mereka sampai. Adam dan Pian mencicipnya perlahan.\r“Selain aku bekas pekerja bank,” kata Pian, “dan kau bekas peguam, siapa lagi agaknya yang kita perlukan? Kalau menurut perancangan kau, berapa ramai semuanya yang harus kita rekrut untuk grup PPSMI itu nanti?”\rAdam kelihatan berkira-kira barang sebentar, sebelum kemudiannya bersuara: “Kalau menurut kau bagaimana? Kau tentu lebih tahu selok-belok sistem keselamatan dalam Bank. Individu-individu dengan kepakaran apa saja yang kita perlukan?”\r“Kita perlukan sekurang-kurangnya seorang Pakar IT,” kata Pian.\r“Seorang jurutera juga.”\r“Untuk apa, jurutera?”\r“Untuk memecah masuk pintu kebal.”\r“Itu mekanik atau tukang pun sudah memadai.”\r“Tapi kita kan mahu sebuah grup yang profesional. Jadi biarlah yang ada kelayakan tinggi. Bukan sekadar kepakaran vokasional.”\r“Oh, betul juga.”\r“Lagi?”\r“Arkitek”\r“Untuk apa arkitek?”\r“Pelan keselamatan dalam bangunan bank biasanya sangat rumit. Justeru kita perlukan seseorang yang boleh membaca pelan dengan teliti dan kemudian merancang pergerakan berdasarkan struktur bangunan bank yang ingin dirompak.”\r“Oh, betul juga.”\rMereka terus berkira-kira mencongak perencanaan.\r“Akauntan.”\r“Untuk apa?”\r“Mahu berkira-kira hasil yang dirompak itu nanti.”\r“Lagi?”\r“Pakar CSI”\r“Apa tu?”\r“Crime Scene Investigation – siasatan lokasi jenayah.”\r“Untuk apa pula? Kita bukan hendak jadi polis dan siasat kes apa-apa.”\r“Ya, tapi kita perlukan pengetahuan dalam teknologi CSI terkini, supaya kita boleh hapuskan sebarang jejak bukti setelah selesai melakukan setiap rompakan nanti.”\r“Oh, betul juga. Lagi?”\r“Kalau boleh,” cadang Pian dengan serius, “biarlah kesemua ahli grup PPSMI itu nanti daripada kalangan mereka yang pandai berbahasa Inggeris.”\r“Hah,” Adam sedikit tercengang, “kenapa pula?”\r“Ya lah, kalau tak pandai berbahasa Inggeris, nanti macam mana nak buat kerja secara profesional. Macam mana nak jadi perompak yang profesional.”\r“Tapi apa kena-mengena bahasa Inggeris dengan perancangan untuk merompak secara profesional?”\r“Banyak kaitannya,” balas Pian. “Berdasarkan pengalaman bertugas selama lebih tiga tahun di bank, aku lihat kebanyakan rompakan yang gagal adalah kerana para perompak tidak faham – atau tidak fasih – berbahasa Inggeris. Mereka biasanya terdiri daripada individu-individu yang tidak begitu terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris. Kebanyakannya datang dari kampung-kampung atau pinggir-pinggir bandar kecil. Apabila datang ke bandar besar, mereka begitu sukar hendak mencari pekerjaan. Lantas, sebagai jalan terdesak, rompakan bank menjadi jalan pilihan. Tapi sayang sekali, kerana tak fasih berbahasa Inggeris, akhirnya mereka tertangkap dan merengkok di penjara.\r“Kau tahu, untuk kita merompak sesebuah bank, kita perlu pecah masuk kawalan pintu besi bank. Sistem kawalan pintu besi ini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan jejaring pentadbiran keselamatan, semuanya adalah dalam bahasa Inggeris. Kalau ahli-ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menjalankan rompakan secara profesional dan efisen. Terutamanya untuk pakar IT dan jurutera grup kita nanti, mereka perlu benar-benar menghayati bidang tersebut dalam bahasa Orang Putih agar dapat menjadi perompak yang berwibawa. Kalau tidak, tentu sekali kita akan begitu mudah terdedah kepada risiko tertangkap. Kita akan hanya menjadi perompak murahan, andai begitu.\r“Selain itu,” Pian tampaknya belum habis memberikan hujahnya yang panjang lebar, “kalau ahli grup PPSMI itu nanti tidak pandai – atau lemah – dalam bahasa Inggeris, bagaimana mereka hendak menghitung hasil rompakan dengan tepat?”\r“Ah,” pintas Adam, “tak ada perkaitan apa-apa antara menghitung hasil rompakan, dengan kebolehan berbahasa Inggeris.”\r“Banyak kaitannya,” tegas Pian pula, “untuk menghitung-kira dengan baik, kita perlu berbahasa Inggeris. Kalau sekadar berbahasa Melayu saja, tentu sekali nanti hasil hitungan menjadi tidak tepat. Lalu pembahagian kekayaan hasil rompakan antara sesama kita pula akan menjadi tidak seimbang. Justeru kalau benar kita hendak menjalankan operasi secara besar-besaran melalui sebuah sistem yang efisen dan berkesan, maka kita perlukan mereka yang mengira dan berfikir dalam bahasa Orang Putih, bukan menghitung dan berfikir dalam bahasa Melayu.”\rAdam mengerutkan dahi. Tetapi hanya diam. Berfikir panjang barangkali. Lagu instrumental terus turun naik. Haruman kafeina daripada minuman mengapung-apung merangsang perasaan yang mujarad. Keadaan di luar, seperti yang terlihat dari jendela kaca kedai kopi itu, semakin remang. Langit diwarnai kemerah-merahan yang memukau bagai sebuah catan karyawan impresionis.\r“Hmmmh,” keluh Adam akhirnya, “kalau begitu nampaknya kita hanya boleh merekrut ahli untuk grup PPSMI dari kalangan yang tinggal di kawasan-kawasan bandar saja. Kerana individu-individu di bandar lebih terdedah kepada persekitaran berbahasa Inggeris berbanding mereka yang di pedalaman. Masyarakat kosmopolitanlah katakan.”\rNah, akhirnya, setelah perbincangan yang panjang itu, kata sepakat pun mereka capai: bahawa mereka akan merekrut pakar-pakar IT, jurutera, arkitek dan akauntan untuk bersama-sama dalam grup PPSMI. Misi mereka hanya satu: yakni untuk jalankan rompakan secara bersistematis dan mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Untuk mencapai matlamat itu, penekanan diberikan kepada hakikat bahawa bahasa rasmi untuk merompak adalah bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Melayu dilarang sama sekali.\rMereka bangun, bersalaman, membayar hasil minuman mereka tadi, lalu beredar pergi dengan semangat kuat untuk menjadi perompak.\rINFO Penulis\rAIDIL KHALID yang menulis dalam genre cerpen, sajak, novel dan skrip drama radio adalah peserta Minggu Penulis Remaja tahun 2007. Karyanya mendapat tempat di media cetak arus perdana selain turut menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pengarang yang kini bertugas di Tetuan Azlan Shah Sukhdev & Co ini diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing dengan tajuk, Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Novel keduanya, Dengan Tintayang disirikan di akhbar Berita Minggu dari 6 September 2009 sehingga 21 Februari 2010 masih sedang dalam proses penyusunan semula untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@ gmail.com atau layari http://aidilkhalid.\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|