|
Kepuasan penuhi hasrat bapa\rAMANAT arwah bapa yang mahu dia melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan, tidak pernah sekali dikesali gadis ini. \r\n\n\n\n\rMalahan Nur Amalina Faisal, 24, merasa bertuah kerana patuh dengan nasihat bapanya, meskipun hasrat sebenarnya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perundangan tidak kesampaian. \r\r\n\n\n\n\nMengorbankan cita-cita asal dalam bidang undang-undang semata-mata untuk memenuhi hasrat arwah bapanya memang memberi tuah. Barangkali inilah perkara yang tersirat di sebalik amanat orang tuanya itu. \rDia bukan sahaja sudah menunaikan tanggungjawab seorang anak dalam memenuhi keinginan bapanya, tetapi pada masa perjalanan rezekinya bagaikan dipermudahkan. \rMalahan gadis ini juga tidak menjangka boleh terbabit dalam dunia penyiaran yang pada awalnya sangat kekok untuk dilakukan. \rPengacara program Majalah Islam yang bersiaran di TV Alhijrah ini mengaku, dia membuat pilihan melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk, Jordan hanya untuk memenuhi kehendak bapa tanpa didorong oleh sebarang minat mendalam pada waktu itu.\r\n\n\n\n\rMungkin kerana tiadanya minat itu, Amalina atau senang membahasakan dirinya sebagai Amna berkata, pernah dia hampir membuat keputusan untuk kembali ke tanah air dan meninggalkan saja pengajian dalam bidang Ijazah Bahasa dan Kesusasteraan Arab.\rBagaimanapun, berkat dorongan dan nasihat daripada rakan-rakan, anak sulung dari empat beradik itu semakin meminati bidang yang dipilih. Malah berkat kesabaran itu juga, dia dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. \rNamun dia juga terpaksa melalui saat-saat getir yang memberikan banyak pengetahuan dan pengalaman dalam kehidupannya. \r“Dugaan pertama menimpa pada hari pertama saya tiba di Jordan. Beg bagasi saya tidak sampai, sebaliknya beg itu dihantar ke New York. Jadi saya terpaksa meminta bantuan senior untuk menemani saya membeli pakaian.\r“Bagaimanapun apabila tiba di pasar, mereka biarkan saya berkomunikasi sendiri dengan peniaga di situ. Sedangkan saya tidak tahu bahasa Arab pasar. Apa yang saya pelajari ketika di sekolah langsung tidak boleh digunakan di sana kerana mereka tak faham. \r“Akibatnya saya diketawakan peniaga di situ kerana salah menggunakan perkataan. Cerita itu sampai ke pengetahuan pelajar Malaysia yang lain. Tapi saya tidak kisah sebab kalau saya malu, sampai bila-bila pun saya tidak belajar,” katanya yang pernah mengajar bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama satu semester.\rMenurut Amalina, dia mengambil keputusan meninggalkan kerjaya itu kerana jarak antara kampus dan tempat tinggal yang jauh. \rNamun pada waktu sama, dia turut menaburkan khidmatnya sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11, Shah Alam.\rHampir setahun mencurahkan ilmu, Amna membuat keputusan meninggalkan tugas sebagai tenaga pengajar setelah menerima tawaran daripada TV Alhijrah.\r“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir langsung hendak bekerja di depan kamera. Saya sendiri tidak tahu menahu mengenai uji bakat yang diadakan TV Alhijrah, saya tahu mengenai perkara itu melalui seorang rakan. Dia yang beriya-iya sangat suruh saya cuba.\r“Walhal pada hari itu saya tak sihat, saya sedang demam jadi tiada hati hendak pergi. Tetapi kawan saya beriya-iya benar hendak saya pergi juga hingga dia sanggup datang ke rumah dan gosokkan baju saya.\r“Bila sampai di tempat uji bakat, pada mulanya saya terkejut, betul ke ada uji bakat? Atau maklumat itu sebenarnya tidak benar. Tapi bila masuk ke dalam bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang lama, memang ada uji bakat dijalankan tetapi saya tidak menaruh sebarang harapan pun. \r“Cuma saya memang tidak sangka akan terpilih. Sehingga saya buntu sama ada mahu terima tawaran itu atau tidak, atas nasihat guru besar dan keluarga, saya akhirnya membuat keputusan untuk terima saja tawaran itu,” katanya.\rGadis kelahiran Perak ini mengaku dia sedikit janggal dengan dunia penyiaran. Namun berkat latihan selama sebulan yang dijalani bersama bekas personaliti TV terkenal, Nizal Mohamad, dia semakin mengenal skop tugas dalam dunia penyiaran.\r“Selepas menjalani latihan selama sebulan, saya ditempatkan di bahagian berita. Saya mula menyukai bidang ini, malah tak sangka sudah setahun saya bersama TV Alhijrah.\r“Tugas saya bukan saja perlu duduk di depan kamera, tetapi pada waktu sama, saya juga kena keluar membuat tugasan di luar,” katanya.\rSebelum mengakhiri perbualan, Amna berkata dia berasa amat bersyukur kerana dipilih menyertai TV Alhijrah apabila masih dapat mempraktikkan bahasa Arab yang dipelajari dengan beberapa pekerja di situ.\rSekurang-kurangnya kata Amna, dia tidak akan lupa dengan apa yang dipelajari selama ini, walaupun ada ketika dia terlupa beberapa perkataan hingga pernah ditegur ibu angkatnya yang menetap di Jordan, kerana lenggok Arabnya semakin hilang.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|