CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4969|Reply: 1

Kaji selidik karektor & keterampilan seorang lelaki

[Copy link]
Post time 11-4-2013 11:43 AM | Show all posts |Read mode
SEBAGAI lelaki, pernahkah anda terfikir soal keupayaan diri,  potensi, kecenderungan atau kelebihan yang dimiliki? Bagaimana pula anda  melihat soal gaya atau penampilan diri? Pernahkah anda merenung apa  agaknya persepsi orang terutama wanita terhadap diri anda?Persoalan ini membuka andaian apakah rupa paras dan penampilan menjadi  faktor X dalam memikat gadis? Atau mungkinkah ada elemen lain yang  berkait rapat dengan daya intelek, kebolehan berjenaka atau sifat  selamba lelaki yang menjadi daya penarik si pemilik kromosom XX?


Lelaki sering kali bingung atau mungkin bagi segelintir pihak, memilih  untuk tidak mahu memahami apa sebenarnya yang diinginkan wanita. Mungkin  soal ego lelaki yang tinggi menyebabkan kaum Adam tidak ambil peduli  kriteria ditetapkan wanita. Bagi segelintir lelaki, sifat dominan dan  menguasai perlu dipertahankan kerana secara fitrah lelaki lebih berkuasa  daripada wanita.


Pada zaman moden ini, masih ada lelaki terikat dengan kepercayaan kuno  atau konvensional dalam menentukan corak pemikiran dan gaya hidup. Ada  juga lelaki bersifat lebih terbuka dan fleksibel hingga melakukan apa  yang mungkin tidak dibuat lelaki era terdahulu. Tidak hairanlah istilah  lelaki metroseksual yang lebih mementingkan rupa paras dan penampilan  tercipta bagi menggambarkan kelompok lelaki sebegitu sejak beberapa  tahun lalu.


Organisasi penyelidikan antarabangsa, Synovate baru-baru ini mengumumkan  hasil kajian sejagat mengenai lelaki dan bagaimana pemilik kromosom XY  ini melihat soal kepentingan dalam penampilan diri. Pandangan bukan saja  diperoleh dari lelaki, malah wanita juga memberi reaksi terhadap  pelbagai situasi dunia lelaki.


Kajian ini membabitkan 10,000 responden dari 12 negara di seluruh dunia.  Selain Malaysia, negara yang terpilih dalam kajian persepsi lelaki itu  ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Sepanyol, Afrika  Selatan, Russia, Greece, Perancis, China, Kanada, Brazil dan Australia.


Di Malaysia, seramai 1,000 responden lelaki dan wanita dipilih secara  rambang untuk ditemuramah. Soal selidik itu mengambil kira sifat sebenar  lelaki termasuk cita rasa mereka dalam memilih produk berasaskan  kecantikan dan keinginan tampil lebih menarik.
Jangan terperanjat, ada hasil kaji selidik menunjukkan lelaki Malaysia  mempunyai selera tinggi menyamai lelaki di AS, Greece dan Perancis. Ini  merangkumi soal pemilihan gaya, produk kecantikan serta disiplin diri.


Kajian membabitkan responden dari Malaysia yang dikendalikan Synovate  Sdn Bhd antara lain menyelami hubungan kepentingan paras rupa serta  penampilan diri seorang lelaki. Biarpun rejim penjagaan diri dan  kecantikan baru disuntik dalam pasaran produk lelaki di Malaysia,  sambutan kaum lelaki terhadap pelbagai produk seumpama itu cukup  positif. Ini adalah antara hasil kajian yang dikendalikan syarikat itu.


Antara ruang lingkup kajian lelaki di Malaysia termasuk inisiatif lelaki  tempatan menjaga keperibadian serta kecenderungan bergaya.


Biar apapun, nilai timur masyarakat Asia masih menebal dalam diri lelaki  Malaysia. Ini dapat dilihat apabila soal cita rasa, seksi dan wajah  komersial atau tampan diajukan. Jelas dilihat rasa rendah diri menjadi  punca ramai lelaki tempatan menganggap jejaka Barat jauh lebih tampan.


Dalam siri pertamanya, XY – Ikon Lelaki minggu ini berkongsi keputusan  kaji selidik karektor jejaka di Malaysia.
Bersedia melihat keputusannya?


Apakah soal penampilan diri itu penting bagi anda?
Keputusan menunjukkan 43 peratus lelaki Malaysia mengakui penampilan  menarik amat penting. Ini jauh berbeza dengan kadar peratusan yang  dicatatkan di beberapa negara maju seperti Australia, AS dan Kanada yang  rata-rata mencapai kadar purata 15 peratus.


Faktor daya penarik
Suku daripada lelaki di seluruh dunia menganggap lelaki terampil adalah  mereka yang sihat, tidak berbau mulut dan yakin diri.
Lelaki Perancis mengkelaskan jejaka terampil adalah individu yang  mempunyai tubuh badan tegap, berotot dan senyuman menarik.
Lelaki AS dan Kanada berpendapat lelaki yang yakin dalam hala tuju hidup  sebagai individu terampil.

Lelaki bagaimana menarik mata wanita di Malaysia?
23 peratus wanita berpendapat lelaki kelihatan lebih menarik andai  mereka yakin dengan kemampuan diri.
26 peratus wanita teruja melihat lelaki yang mempunyai nafas segar dan  sihat tubuh badan.
16 belas peratus wanita tertarik jika lelaki bijak mencorak penampilan  diri.
Wanita Malaysia tidak menggariskan senyuman menarik sebagai ciri utama  memilih lelaki idaman.
Lelaki berkulit bersih tidak semestinya dapat memikat wanita.
Anda merasakan diri anda seksi?
78 peratus jejaka Malaysia mengakui mereka tidak seksi. Pandangan ini  turut dikongsi lelaki China dan Perancis (masing-masing 66 peratus).
Secara keseluruhan, kurang daripada separuh (49 peratus responden)  menyatakan diri mereka seksi.
Lelaki Greece begitu yakin mengakui mereka seksi dengan kadar peratusan  tertinggi 81 peratus, diikuti Russia (80 peratus) dan Afrika Selatan (78  peratus).


Lelaki paling terampil di dunia
1. Itali (11 peratus)
2. Russia (lapan peratus)
3. Amerika Syarikat (lapan peratus)
4. Brazil (lapan peratus)
5. China (tujuh peratus)


Lelaki dan keyakinan diri
65 peratus rakyat Russia serta 55 peratus warga AS berpendapat lelaki  yang memiliki penampilan menarik berada di negara mereka sendiri.
Wanita Brazil berpendapat 57 peratus lelaki menarik ada di negara  mereka.
Rakyat Greece begitu mengagumi lelaki Itali yang dirasakan memiliki  penampilan menarik.
Peratusan tinggi membabitkan responden dari China yang mengatakan lelaki  dari United Kingdom paling menarik.


Cita rasa jejaka pilihan wanita tempatan
39 peratus daripada 506 responden wanita tempatan menganggap lelaki  Malaysia adalah calon teman hidup terbaik.
Lima peratus responden wanita memilih jejaka dari Amerika Syarikat,  India dan Korea Selatan sebagai teman hidup.


Info
Satu daripada tiga wanita mengakui soal penampilan pasangan amat penting  kepada mereka.
Tujuh daripada 10 lelaki menyatakan penampilan menarik bermula dalam  diri sendiri.
Sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia berpendapat penampilan lelaki  semakin menarik mengikut perkembangan usia.
Lelaki berani berubah
MAKLUM balas diterima sepanjang kaji selidik dua minggu yang  dikendalikan Synovate Sdn Bhd nampaknya memberi hasil positif berhubung  perubahan personaliti dan gaya hidup jejaka di Malaysia.
Hasil kaji selidik itu menggambarkan persepsi keseluruhan lelaki di  Malaysia kerana kajian tidak hanya tertumpu di Lembah Kelang sebaliknya  bandar utama di seluruh negara.
Mengulas keputusan kaji selidik itu, Pengarah Urusan Synovate Sdn Bhd,  Steve Murphy berkata, soal selidik persepsi lelaki yang dikendalikan  bukan saja berkisar soal karektor lelaki sebaliknya kesedaran kaum Adam  menjaga keterampilan dan penjagaan diri.
“Dalam kaji selidik itu, kita mengemukakan pelbagai bentuk soalan.  Antaranya soal cita rasa, daya penarik dan penggunaan produk penjagaan  diri.
“Biarpun kajian seumpama ini masih dianggap baru di Malaysia, analisa  yang dibuat agak memberangsangkan. Ia menunjukkan lelaki Malaysia juga  mempunyai cita rasa baik,” katanya mengulas kajian yang dikendalikan  Oktober lalu itu.
Murphy berkata, lelaki Malaysia menyedari pentingnya soal penampilan  terutama jika berada di khalayak. Meskipun banyak pendapat berbeza,  namun rata-rata lelaki Malaysia mementingkan soal dandanan untuk  kelihatan lebih menarik.
Namun, apabila menyentuh mengenai soal seksi, lelaki Malaysia agak malu  untuk mengakui diri mereka seksi.
“Tidak seperti lelaki Greece, mereka secara terbuka mengakui mereka  lelaki. Responden dari negara itu mencatatkan undian tertinggi dengan 81  peratus lelaki negara itu mengakui jejaka Greece sebenarnya seksi. Ini  menunjukkan keyakinan mereka cukup tinggi dan mereka berbangga dengan  faktor itu.
“Sedangkan di Malaysia, hanya 23 peratus lelaki tempatan mengakui diri  mereka seksi,” katanya.
Ditanya rasional kajian yang dikendalikan organisasi itu, Murphy  berkata, kajian itu menunjukkan persepsi sebenar lelaki berhubung soal  sejauh mana pembawaan diri penting dalam kehidupan selain persepsi  wanita itu sendiri.
Pada masa sama, beliau berkata, kaji selidik itu meninjau sejauh mana  produk kecantikan lelaki mendapat maklum balas positif pengguna di  Malaysia mahupun seluruh dunia.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 11-4-2013 10:02 PM | Show all posts
apa yang ko nk tanya sebenarnye ni?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 05:44 AM GMT+8 , Processed in 0.377586 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list