CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3468|Reply: 3

Suka kentang McD.

[Copy link]
Post time 17-8-2014 05:03 PM | Show all posts |Read mode

Faisal Tehrani
     
McDonald's membuka cawangan pertamanya di Malaysia pada 29 Mei 1982. Restoran McDonald's's yang pertama berada di persimpangan antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang. Sepuluh tahun kemudian, McDonald's membuka cawangan pertamanya di Israel iaitu pada bulan Oktober 1993 di Ayalon Mall.

Aku tidak ingat bilakah kali pertama aku mengecap McDonald's. Kemungkinan aku menjamahnya buat kali pertama ketika berada di alam persekolahan. Ketika itu McDonald's dibuka di pasar raya Fajar, tidak jauh dari rumahku di Pringgit, Melaka. Memang, burger Ramly pada waktu itu terasa lebih mengenyangkan, dan sedap.

Akan tetapi McDonald's memberi semacam ‘status’. Kedainya berhawa dingin, aku boleh bertemu rakan di situ dan duduk melabun berjam-jam. Dan aku menyukai Milo aisnya.

Terdapat beberapa negara yang tidak mempunyai McDonald's.

Antara lain, pertama; Iceland, yang mana McDonald's menutup bisnesnya di situ pada tahun 2009 kerana ternyata penduduk Iceland menolak McDonald's. Ia perniagaan yang tidak menguntungkan sama sekali. Mungkin sahaja kerana penduduk Iceland, sebuah negeri yang sangat sejuk merasakan McDonald's tidak mengenyangkan.

Kedua; McDonald's terpaksa meninggalkan Bolivia. Taraf hidup yang rendah di negara itu menjadikan McDonald's sejenis makanan mewah dan diasosiasikan dengan dunia kelas pertama. Pada 2005, apabila Evo Morales berkuasa, dua organisasi meninggalkan Bolivia secara sukarela iaitu Kedutaan Israel, dan keduanya McDonald's.

Ketiga; Macedonia mengenal McDonald's pada tahun 90an tetapi kehadiran mereka tidak berpanjangan. Berlaku krisis kontrak antara ibu pejabat McDonald's dan SJ Company, rakan niaganya di Macedonia. Akibatnya McDonald's tidak dapat beroperasi.

Keempat; Bermuda mempunyai akta untuk melindungi perniagaan penduduk lokal. Nama undang-undang tersebut adalah ‘Prohibited Restaurants Act 1977’, ia bertujuan menghalang ‘foreign franchises’ mengambil alih dan mendominasi ekonomi Bermuda. Pada tahun 1985, McDonald's menyelinap masuk dan membuka cawangan di sebuah pangkalan tentera US. Masyarakat setempat belajar-belajar makan McDonald's. Apabila pangkalan tentera itu ditutup sepuluh tahun kemudian. McDonald's juga dipaksa pergi.

Kelima; McDonald's tidak pernah sempat bertapak di Iran. Kita semua mengetahui sebabnya. Slogan ‘Syaitan Besar’ yang dipelopori Imam Khomeini untuk Amerika Syarikat tidak memungkinkan sama sekali kewujudan McDonald's di negara Parsi tersebut. Malahan, orang Iran terlalu ego untuk menjamah makanan selain makanan Parsi yang menurut mereka makanan paling lazat dan paling munasabah di dunia.

Keenam; Korea Utara tidak mengizinkan McDonald's bertapak di situ. Walaupun terdapat khabar angin Kim Jong-il pernah memesan McDonald's yang dibawa dengan pesawat khas.

Ketujuh; Zimbabwe, jika anda ke Zimbabwe, McDonald's tidak ada di sana. Pada tahun 2010, terdapat ura-ura McDonald's membuka cawangan pertamanya di sana. Akan tetapi ibu pejabat McDonald's khabarnya enggan membuka bisnes di Zimbabwe kerana rakan niaga mereka di negara itu mempunyai hubungan dengan diktator, Robert Mugabe. Kononnya tangan Mugabe penuh darah. Kelapan; McDonald's tidak mempunyai cawangan di Palestina. Nyaris ada, tetapi tiada.

Selain di atas, McDonald's juga tidak beroperasi di Seychelles, Syria, Cuba, Vatican, Nepal, Kazakhstan, dan Barbados atas sebab-sebab yang hampir sama (tiada potensi niaga, atau kerana polisi politik).

Apabila McDonald's membuka cawangannya di Israel pada bulan Oktober 1993 di Ayalon Mall, terlalu banyak masalah timbul. Warga Israel menyukai burger yang besar; McDonald's terpaksa menjual ‘giant burgers’. Penduduk Israel menggemari kopi (siapa yang tidak?); McDonald's terpaksa memperkenalkan ‘premium coffee’.

Penduduk Israel menyayangi tentera mereka; McDonald's perlu menderma kepada yayasan IDF dan hospital kanak-kanak. Penduduk Israel menggilai falafel; McDonald's memperkenalkan McFalafel pada awal tahun 2010.

Di situlah masalah bermula. McFalafel.

Warga Israel merasakan Amerikanisasi terhadap falafel versi Israel sebagai keterlaluan. Tentu, Palestina ada di situ sebagai puncanya. Sedikit ‘kesilapan’ dilakukan oleh McDonald's apabila ia memperkenalkan McFalafel. McDonald's menggunakan daun selada dalam produk tersebut. Daun selada adalah ciri penting dalam salad versi Palestina. Untuk berbeza, lama dahulu Israel telah menggantikan daun selada dengan timun dalam salad mereka.

McDonald's dituduh sengaja melakukan provokasi. McDonald's dituduh anti-Yahudi dan pro-Palestina. McFalafel menimpa kontroversi. Pada bulan Julai 2010, McFalafel dihentikan pengeluarannya dari restoran McDonald's di Israel. Daun selada dianggap melampaui batas.

Pada Jun 2013, ahli perniagaan terkenal Israel, Rami Levy mengumumkan akan membuka McDonald's dengan kerjasama syarikat Mega-Or di sebuah ‘shopping mall’ di Ariel. Sejak 2010, Benjamin Netayahu telah memberi wilayah Ariel status bandar raya iaitu bandar raya Samaria. Isunya besar. Di atas peta tiada wilayah Ariel. Ia adalah wilayah Palestina di Bukit Golan yang dirampas Israel, diduduki dan dibina tembok tinggi untuk memisahkan pekan-pekan Palestina dari Israel. Penduduk Israel merujuk Tebing Barat, Palestina sebagai Judea dan Samaria.

Terdapat 500,000 penduduk haram Israel di Ariel, dengan penambahan 200,000 lagi penduduk asal Palestina yang diusir terdapat 700, 000 pelanggan McDonald's yang berpotensi.

Dr Omri Padan pemegang hak McDonald's di Israel membuat satu keputusan. Dia menyekat usaha Rami Levy dan Mega-Or. Dr Padan bertegas tidak membuka cawangan McDonald's di Ariel. Kerana status wilayah tersebut yang kabur (sebenarnya haram!). Pilihan Omri Padan ini memang ‘padan dan serasi’ dengan peribadi beliau.

Padan adalah pengasas NGO Peace Now, yang sering memilih untuk memihak kepada rakyat Palestina dan sentiasa menyuarakan solusi ‘two-state solution within secure borders’ (solusi dua negara iaitu Palestina dan Israel sebagai dua entiti rasmi).

Malah Omri Padan mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan mengapa McDonald's tidak akan dibuka di Ariel; “referring to the decision not to open restaurants in Ariel, the Golan Heights, which Israel captured from Syria in 1967, or even East Jerusalem, which Israel has annexed” (tidak membuka restoran di Ariel, Bukit Golan yang ditawan Israel dalam tahun 1967, atau Timur Baitul Maqdis yang diserobot Israel).

Keputusan tersebut membuka gelombang anti-McDonald's yang kedua. Sebanyak 170 cawangan McDonald's di Israel diserbu dengan stiker ‘Kosher tapi busuk’ dan ditampal khususnya di cawangan McDonald's di Hertzeliya Pituach, Utara Israel. Pemilik McDonald's di Israel, Omri Padan dituduh sebagai puak kiri.

Ahli Knesset (Parlimen Israel), Miriam Regev, yang merupakan jurucakap tentera Israel sebelum menyertai parti Likud mengisytiharkan Omri Padan ‘golongan yang rugi’. Dan Margalit, tokoh kewartawanan Israel mengesan McDonald's diboikot.

Keadaan menjadi lebih buruk. Ahli Knesset, Shula Mu’alem-Rafaeli dari ‘The Jewish Home’, mengarahkan anggota Bnei Akiva, gabungan ‘Religious-Zionist Youth Movement’ untuk memboikot McDonald's. Hana Golan, salah seorang ahli politik di Ariel melancarkan slogan “Kita Pernah Lepas Dari Firaun, Kita Akan Lepas Dari McDonald's”.

McDonald's di Israel dilontar batu, dipulau dan menjadi mangsa kemarahan. Pekerja McDonald's Israel dikasari dan kontroversi McFalafel kembali dibuka orang dan dijaja sebagai cerita; McDonald's dianggap anti semitik.

Ternyata tidak ada kewarasan pada Bnei Akiva (kaum belia Zionis yang ekstrim) apabila McDonald's diserang. Ternyata tidak ada bezanya pemboikot dari Bnei Akiva dengan pemboikot dari gabungan NGO Islam di McDonald's Dungun, Terengganu apabila cawangan itu dilempari batu dan objek. Nasib Omri Padan di Israel menimpa Syed Hussain Tuan Embong di Dungun.

Kedua-duanya kerugian besar. Laporan akhbar menyatakan 67 cawangan restoran McDonald's di Malaysia diuruskan oleh 27 penfrancais tempatan, separuhnya adalah orang Islam.

McDonald's ternyata sentiasa berada di tengah krisis politik. Sukar untuk McDonald's membuang imej Amerikanya. Amerika, seperti pernah dinyatakan Imam Khomeini adalah ‘Syaitan Besar’ dan pendukung kuat Zionis. McDonald's perlu berpolitik di Israel untuk mempertahankan perniagaannya.

Di Timur Tengah, di Indonesia, dan di Malaysia McDonald's juga perlu berpolitik. Politik dan perniagaan sentiasa bergandingan. Oleh kerana McDonald's ada bau Amerika, McDonald's juga akan sentiasa dihidu sebagai berbau Zionis. Meskipun perhitungan ini tidak semestinya benar akan tetapi demikianlah McDonald's akan dilihat buat selama-lamanya.

Anakku menggemari McDonald's. Memang ia bukan pilihan pertama saya kerana saya amat prihatin pada soal kesihatan. Akan tetapi saya tidak akan melecut batu, meludah staf McDonald's atau bertindak semberono.

Adalah menjadi hak pelanggan atau pembeli untuk ke McDonald's atau tidak. Itu adalah hak masing-masing.

Duta Palestina di Malaysia, Dr Anwar Al Agha menggesa supaya pulau atau boikot dihalakan kepada Amerika, dan ‘tidak semestinya’ McDonald's kerana Amerika baru sahaja menderma sebanyak $225 juta US (RM718.8 juta) untuk pembelian ‘Iron Dome missile defence system’ buat Israel. Bolehkah Malaysia memboikot Amerika? Firma Amerika di Malaysia menyumbang sebanyak $1.9 bilion US dan hubungan dagang bernilai $35 bilion US secara tahunan antara 2010 ke 2013. Panggilan boikot adalah untuk ditertawakan.

Jika memboikot Amerika harus dijadikan pilihan, makanya pendukung dan penyokong Palestina di Malaysia harus waras. Mereka telah terlepas peluang. Sayang sekali. Yang harus diboikot adalah polisi Malaysia yang sangat cenderung kepada Amerika Syarikat. Kasih sayang pentadbiran yang ada sekarang kepada Amerika tidak berbelah bahagi. Juga, kasih sayang Ketua Pembangkang kepada Amerika Syarikat juga tidak ternafi lagi.

Di manakah pembantah dari NGO Islam ketika Obama melawat Malaysia dan tersenyum simpul berselfie di bumi ini? Di manakah pembantah dan pemboikot ketika Obama berada di Universiti Malaya? Di manakah slogan anti Israel dan Zionis ketika Obama singgah dengan penuh gaya di sini.

Obama malah menjejakkan kaki ke Masjid Negara, apakah yang anda lakukan ketika itu?

Anda terlepas peluang, ‘Syaitan Besar’ itu pernah mampir; anda terlepas peluang. Cinta anda kepada Palestina bermusim.

Keprihatinan anda kepada Palestina sekali-sekala. Tatkala Gaza dibedil Israel, anda mencanak berdiri. Boikot diseru. Tabung derma diedar. Kita telah melihat itu berlaku, pada 2008-2009 lalu. Ia terjadi sekali lagi. Malaysia, tidak lebih baik dari negara Arab. Seperti negara Islam yang lain, tidak ada sikap yang konsisten terhadap masalah Palestina.

Yang benar-benar mengajar Amerika Syarikat dan bersolidariti bersama Palestina ada beberapa cuma; Iran, Syria, Cuba, Bolivia, dan beberapa lagi negara Amerika Latin. Apakah persamaan negara-negara tersebut? Mereka semua adalah ‘axis of evil’ (rangkaian Syiah dan Sosialis).

Tanyailah mereka; McDonald's mereka tidak ingin, Amerika pun mereka tidak pandang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-8-2014 09:38 PM | Show all posts
fakta atau auta

share sumber pls
Reply

Use magic Report

Post time 24-8-2014 03:01 PM | Show all posts
apapun kentang mekdi mmg sedap..huhuu
Reply

Use magic Report

Post time 31-3-2022 07:11 PM | Show all posts

Hmmm...

[AceHand SPECTaceLAR]

Jadi sekarang nak sokong Ukraine ke Rusia...?


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 09:09 AM GMT+8 , Processed in 0.236229 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list