CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4056|Reply: 1

Lapan jalan feudal

[Copy link]
Post time 27-11-2014 12:03 AM | Show all posts |Read mode


Nama jalan memberi ‘pesan tertentu’ jika dibaca oleh orang luar. Aku ingin membawa misalan, bahawa sebelum Revolusi Islam Iran pada tahun 1979, terdapat tiga batang jalan di tengah Tehran yang dinamakan dengan nama-nama Presiden Amerika Syarikat.

Terdapat Jalan Dwight Eisenhower, Jalan John F Kennedy dan Jalan Franklin Roosevelt. Demikianlah Iran, sebelum 1979 yang menjadi ‘hamba’ kepada Amerika Syarikat.

Ketiga-tiga mereka tidak pernah berjasa apa-apa, tidak pernah membuat apa-apa sumbangan, malah sama sekali tidak membawa apa-apa erti kepada rakyat Iran. Tetapi nama-nama itu diabadikan di tengah Tehran kerana akur dengan kehendak Shah atau raja Iran.

Setelah berlakunya Revolusi Islam Iran, nama-nama jalan ini tentu sahaja ditukar. Akan tetapi terdapat juga nama-nama jalan yang diberi nama ‘Barat’.

Jalan-jalan tersebut adalah Jalan Bobby Sands, salah seorang ahli IRA yang meninggal dunia kerana mogok lapar dalam penjara British ketika era Margaret Thatcher pada tahun 1981. Lebih menarik ialah Jalan Bobby Sands tersebut sebelumnya adalah Jalan Winston Churchill.

Malah beberapa blok tidak jauh dari Jalan Bobby Sands terdapatnya Suruhanjaya Tinggi Britain. Jelas, niat untuk menukar nama jalan itu bukan sahaja kerana ingin merakam pengorbanan Bobby Sands tetapi juga untuk memalukan Britain.

Terdapat juga Jalan Edward Brown, seorang Orientalis dari Britain yang banyak mengkaji sejarah Parsi dan dianggap peneroka bidang ilmu Iranologi di Barat. Pada tahun 2011, Majlis Bandaran Tehran memutuskan untuk menukar nama sebatang jalan kepada Jalan Rachel Aliene Corrie.

Beliau, adalah aktivis hak asasi manusia dari Amerika Syarikat yang terkorban di Palestina dalam usaha mempertahankan penempatan dan kampung penduduk Palestin sebelum digilis buldozer milik Zionis. Selain itu, pada jalan tersebut dipasang tanda pemberitahuan atau penjelasan siapakah Rachel Corrie untuk membolehkan mereka yang kurang arif latar dan sejarah hidup beliau menghargai peranan dan sumbangan besarnya.

Selebihnya nama-nama jalan di Iran banyak disandarkan kepada tokoh-tokoh sejarah dan budaya mereka seperti Jalan Ibnu Sina, Jalan Ali Shariati, bahkan Jalan Syed Qutb seorang Sunni yang merupakan tokoh Ikhwanul Muslimin.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana pemimpin besar Iran, Ayatullah Sayyid Ali Khamenei (kiri) adalah pembaca berat dan penterjemah beberapa buah karya Syed Qutb dari bahasa Arab ke bahasa Parsi. Bukan itu sahaja, Syed Qutb pernah menjadi paparan di setem Iran suatu masa dahulu. Selain Syed Qutb, Iran juga meletakkan nama sebatang jalan sebagai Jalan Islambouli bersandarkan nama pembunuh bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat.

Hal peri nama jalan ini dirakamkan oleh Michael Chertoff dalam bukunya Homeland Security: Assessing the First Five Years. Menurut Chertoff, meskipun Iran adalah sebuah negara bermazhab Syiah, mereka nampaknya tidak teragak-agak atau segan untuk ‘menghargai’ atau mengenang ‘pahlawan-pahlawan Sunni’.

Beberapa tahun lalu ketika aku menghadiri sebuah konferens di Tehran, seorang rakan bernama Mehdi membawa aku naik sebuah teksi untuk menuju ke tempat persidangan. Teksi kami menempuh lebuh raya dengan nama Qutb tersebut. Memang aku teruja. Aku juga diselaputi keanehan kerana Sayyid Qutb dianggap pelopor Salafisme dalam aktivisme gerakan Islam. Bagaimana nama beliau dapat direkod serupa itu di sebuah negara yang bermazhab Syiah yang rimas dengan Salafisme?

Mehdi pula menjawab kehairanan akan soalanku itu. Pada beliau, apakah yang pelik pada nama jalan tersebut?

Beliau memberitahu, “Ya nama-nama itu diberi kerana kami melihat dunia sebagai yang menindas dan yang tertindas. Kami mahu menyebelah dan menyimpan memori mereka yang tertindas, mereka yang telah melakukan banyak untuk kemanusiaan.”

Tatkala itu aku rasa seperti ditampar-tampar, “nama jalan untuk mengenang mereka yang tertindas?”

Kemudian Mehdi bersuara lagi, “Jalan seharusnya bukan sahaja sebuah jalan. Ia adalah satu laluan untuk membawa kita kepada destinasi. Maka kawan, jalan harus menampung semangat dan roh mereka yang melampauinya. Jalan mesti memberi getar kepada kita yang melaluinya. Itu supaya kita dapat menyalin motivasi, pengorbanan dan keutuhan jiwa mereka yang disangkutkan namanya di situ.”

Serasa ada hunus dan toreh pisau belati di hati mendengar kata-katanya.

Mehdi menjelaskan lagi, “Nama jalan di sesebuah kota menunjukkan dan memberi pesan rupa bentuk, jiwa dan raga penghuni kota dan mereka yang melalui jalan tersebut. Kami pernah ada nama-nama jalan yang bersandar pemimpin Amerika Syarikat. Kami membuang semuanya kerana menganggap Amerika adalah penindas dan pembuli. Kami ingin memberitahu sesuatu dengan nama jalan.”

Teksi meluncur merentas Jalan Vali Asr. Aku terpaku. Kelu.
“Jadi nama sebuah jalan merakam nilai bangsanya?” Begitu aku memberi respon, masih tercengang-cengang.

Mehdi mengangguk, dan aku mengetap bibir memandang ke luar jendela. Daun-daun kuning sudah rontok dan akan gugur dari tangkai dahannya di musim luruh tahun 2008.

Empat puluh tahun sebelum aku di Tehran, pada tahun 1968, sarjana dan sosiologis terkemuka negara kita, Profesor Syed Hussein Alatas telah menjelaskan perihal orang Melayu dan psikologi feudal yang ditanggung mereka.

Dalam eseinya berjudul Feudalism in Malaysian Society: A Study in Historical Continuity, Allahyarham Syed Hussein menyatakan terdapat lapan jalan feudalisme. Lapan jalan atau takrif feudalisme ini sangat berkait dengan orang Melayu.

Profesor Alatas menulis, pertama, terdapatnya jurang besar antara kelas atau golongan kaya dan bangsawan dengan kelas murbawan atau rakyat jelata.

Kedua, orde politik dikuasai oleh golongan pemerintah yang mana kuasa itu kelak diturunkan kepada anak cucu dan cicit serta seterusnya, demi upaya untuk mereka terus kekal berkuasa.

Ketiga, terdapat sistem ekonomi yang memutuskan kaum tani, atau rakyat hendaklah mengerjakan tanah dan memberikan hasilnya kepada kaum atas.

Keempat, hierarki tertinggi dikuasai oleh seorang bangsawan atau kuasawan yang terselamat dan dilindungi undang-undang serta mempunyai imuniti penuh meski melakukan penyelewengan dan kezaliman.

Kelima, hubungan antara kuasawan di atas dengan golongan bawah menunjukkan kaum yang berkuasa berhak melakukan apa sahaja, sehingga mempunyai hak untuk menafikan sebarang permintaan dan keperluan orang di bawah.

Keenam, kuasa pemutus untuk menentukan kekayaan tanah hanya ada di dalam tangan kuasawan. Ketujuh, di bawah kelompok kuasawan adalah lapis pahlawan (warriors) yang menjadi pembenteng untuk golongan di atas tersebut. Mereka adalah kelas pelaksana apa sahaja perintah kuasawan. Kelapan, taburan pembahagian kuasa dan fungsinya tidak berlaku dengan saksama serta tidak berpusat.

Menurut Syed Hussein (kanan), di dalam Sejarah Melayu, Bendahara Seri Maharaja sangat taat kepada pemerintah dan merelakan dirinya dibunuh asalkan tidak melanggar ketaatsetiaan kepada raja. Tanpa membantah, malah mencegah Tun Hasan anaknya untuk mempertahankan diri, beliau menyerah pasrah kepada titah Sultan Mahmud Shah supaya sekeluarga dibunuh.

Sebaliknya, dalam satu kejadian lain Syed Husein seterusnya menyatakan gejala ini bagaimanapun tidak kelihatan berlaku apabila Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang homoseks itu dibunuh oleh Megat Seri Rama.

Ternyata pernah ada, atau pernah terdapat satu keberanian untuk melakukan perubahan nilai yang besar dalam masyarakat Melayu, yang kemudian tidak berjaya dianjak atau digerakkan sepenuhnya. Syed Hussein berpandangan, walaupun feudalisme secara rasmi telah tamat dengan kemerdekaan tanah air akan tetapi bangsa Melayu, dan Malaysia amnya masih dibayangi oleh lapan jalan feudal ini.

Kesetiaan penuh itu kembali dalam bentuk psikologi feudal di mana orang Melayu tidak berupaya untuk mengkritik, taat membuta-babi, tidak berani bersuara, bahkan tidak mengambil peduli, mengelak untuk menentang dan akur dengan segala perah, penindasan serta penganiayaan pihak atasan terhadap mereka dengan begitu pasrah sekali. Justeru, tanda-tanda feudalisme ini kembali dalam masyarakat demi mengekang terus mereka dari bangun bertanya atau mempersoalkan. Nilai ini, nilai psikologi feudal itu terjelma dalam pelbagai bentuk, acuan, pendekatan, strategi dan dipaksakan.

Syed Hussein dalam artikel berjudul Feudalism in Malaysian Society: A Study in Historical Continuity itu turut mengutip ‘angka-angka penindasan’ di mana jumlah wang atau harta negara yang berhamburan diperuntukkan untuk merai para bangsawan. Beliau turut membawa contoh bagaimana tanah rakyat dijarah untuk dibina padang-padang golf, yang tambah beliau adalah gambaran yang tidak dapat dipungkiri sama sekali merupakan satu beban psikologi feudal.

Mungkin inilah nilai yang dirakam dalam masyarakat kita. Nilai ini terserlah dan terjelma untuk dibaca dan ditafsir oleh orang luar. Bahawa Melayu, dan feudalisme sangat sebati dan alamiah. Ketika aku tersepit di celah jalan-jalan atas nama syuhada di Tehran itu aku terhimbau kembali esei terkenal Profesor Syed Hussein Alatas, tentang lapan jalan feudalisme.

Seperti yang telah aku nukilkan, di Tehran, mereka yang pernah berjasa, memberi sumbangan besar seperti ikut terbunuh dalam satu-satu perjuangan suci dianggap memberi banyak erti. Maka tidak syak lagi mengenang mereka sangatlah penting untuk rakyat dan bangsa Iran, justeru nama-nama itu diberi dan dimasyhurkan, serta dibiar abadi di tengah kota. Bahkan mereka berbangga nama-nama itu disebut, dan terpampang pada alamat surat menyurat.

Kata Mehdi kembali bergema dalam telingaku, “Ya nama-nama itu diberi kerana kami melihat dunia sebagai yang menindas dan yang tertindas. Kami mahu menyebelah dan menyimpan memori mereka yang tertindas, mereka yang telah melakukan banyak untuk kemanusiaan.”

Dan aku masih ingat bagaimana memberi reaksi; “Jadi nama sebuah jalan merakam nilai bangsanya?”

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-4-2022 08:26 PM | Show all posts

Hmmm...

[AceHand SPECTaceLAR]

Kat Malaysia pong hada jer nama jalan yang tak sesuai...


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 09:03 AM GMT+8 , Processed in 0.040435 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list