|
Presiden MBM baharu hujung minggu ini
MESYUARAT Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-63 akan berlangsung di sini pada 16 hingga 18 Januari.
Pada mesyuarat itu, akan turut berlangsung pemilihan anggota Jawatankuasa Kerja MBM baharu yang akan berkhidmat untuk tempoh dua tahun akan datang.
Setiausaha agungnya, Mohd Zaidi Aziz berkata, pemilihan itu akan turut melibatkan jawatan presiden, naib presiden dan bendahari kehormat.
"Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu ini manakala pengundian akan dilakukan pada Ahad," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi dalam satu kenyataan berkata ucapan dasar presiden pada mesyuarat itu bakal menggariskan isu dan cabaran yang sedang dan bakal dihadapi oleh pergerakan belia sebagai panduan kepada barisan kepimpinan MBM yang baharu.
Tambahnya, di bawah pimpinan Mohamed Maliki Mohamed Rapiee selaku presiden bagi sesi 2012-2014, MBM berjaya melaksanakan transformasi dalam sistem penyampaian, pentadbiran dan aktivitinya.
Selain itu, MBM juga berjaya meneroka hubungan dan kerjasama dengan pelbagai organisasi belia antarabangsa seperti Sekretariat Komanwel, London dan Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu, New York. - Bernama
sinar harian
|
|