Edited by cik_sssara at 21-9-2018 11:32 AM
“SAYA bukan tak mahu berikrar sebagai penderma organ. Memang ramai pesakit memerlukan organ baharu, cuma saya risau apa akan jadi jika penerima organ saya nanti bukan orang Islam atau penjenayah yang semakin rancak melakukan dosa selepas sihat dengan organ saya? Tambahan pula saya pernah dengar nabi melarang menyeksa tubuh mayat. ”
Dialog tersebut selalu menjadi ‘konkrit penghalang’ dalam bicara berkaitan derma organ. Stigma itu memiliki kesan berantai. Akibatnya, senarai pesakit kronik semakin panjang, manakala angka pengikrar derma organ tidak menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Sabtu, 18 Februari lalu, saya dijemput sebagai panelis forum dalam program Organ For Life anjuran University of Malaya Medical Society, Pusat Transplan Nasional dan beberapa badan lain diFakulti Perubatan Universiti Malaya. Forum ini bertujuan merungkai pandangan berbagai agama tentang hukum menderma organ.
Saya bersama tiga tokoh agama lain iaitu Kristian, Hindu dan Buddha. Dalam forum tersebut saya merungkai beberapa stigma negatif berkaitan derma organ, iaitu:

STIGMA NEGATIF DERMA ORGAN
1. Penderma menanggung dosa penerima organ yang melakukan dosa?
Prinsip mudah apabila berbicara tentang dosa atau pahala, Allah menegaskan bahawa seorang manusia tidak akan menanggung dosa orang lain: Firman Allah:
”Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain,” (al-An’am [6:164], al-Isra’[17:15] dan Fatir[35:18]).
Seseorang itu hanya menanggung dosa jika ia berpunca daripada ajakannya. Ia ditegaskan Allah dalam Surah al-‘Ankabut [29:12-13]).
Dalam Islam, derma atau sedekah bersifat ‘buta agama atau bangsa’. Allah menurunkan ayat 272 Surah al-Baqarah menegur sebahagian sahabat Nabi SAW yang berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan pahala sedekah tetap dijanjikan Allah tanpa mengira siapa yang menerima sedekah. Ayuh kita ikuti kisah yang diceritakan Rasulullah SAW ini:
“Seorang lelaki (daripada Bani Israil) berkata, malam ini aku akan bersedekah. Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya telah bersedekah kepada seorang penzina. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang penzina. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagi-Mu. (Tanpa kusedari) Aku telah bersedekah kepada seorang penzina. Lelaki tersebut berkata lagi: malam ini aku akan bersedekah lagi.
Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya telah bersedekah kepada seorang kaya. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu diberikan kepada seorang kaya. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagi-Mu. (Tanpa kusedari) Aku telahbersedekah kepada seorang kaya. Lelaki tersebut berkata lagi: malam ini aku akan bersedekah lagi.’
Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang pencuri. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagi-Mu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina, seorang kaya dan seorang pencuri. Kemudiannya, seseorang datang kepadanya (dalam mimpinya) dan berkata, semua sedekah yang engkau berikan sudah diterima (Allah), berkenaan si penzina, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya daripada terus berzina,berkenaan si kaya, sedekahmu itu mungkin bakal menyedarkannya serta mendorongnya agar membelanjakan hartanya pada jalan Allah, berkenaan si pencuri, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya daripada terus mencuri,” -Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dalam Islam kita tidak menanggung dosa orang lain, tetapi tetap menikmati pahala yang berpunca daripada diri kita (secara berterusan) walaupun selepas meninggal dunia. Inilah keistimewaan Islam. Prinsip ini menjadikan hidup kita dipenuhi pelangi kebajikan. Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang sentiasa berjalan pahalanya), ilmu yang diambil manfaat daripadanya atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya,” - Riwayat Muslim.
Bayangkan berapa banyak pahala bakal diperoleh jika penerima organ beribadat kepada Allah atau berbakti kepada agama dan masyarakat. Ia akan terus berpanjangan selagi penerima organ hidup dalam kebaikan.
2. Mayat terseksa jika pendermaan organ dilakukan
Secara tepatnya Rasulullah SAW melarang mematahkan tulang mayat: “Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkannya ketika dia masih hidup,” - Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah.
Ini menunjukkan betapa Islam menghormati manusia walaupun selepas mati. Namun, perlu diketahui bahawa proses mengambil organ daripada tubuh penderma yang meninggal dunia tidak dilakukan secara kasar seperti ‘melapah lembu’. Ia dibuat secara teliti sebagaimana dijelaskan Pusat Transplan Negara. Tambahan pula pengambilan organ untuk menolong pesakit kronik termasuk dalam usaha menyelamatkan nyawa.
Dalam Islam, menjaga nyawa adalah antara prinsip utama agama. Buktinya, sebarang pembunuhan akan dikenakan hukuman keras seperti qisas atau bunuh balas. Oleh itu, penderma organ sebenarnya memberikan anugerah kehidupan dan kegembiraan kepada orang lain merangkumi ahli keluarga pesakit, masyarakat dan negara.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya,” (al-Ma’idah [5:32]).
Sumber: Utusan Online | baca artikel penuh di sini
Shenzen, Cina - Para doktor menunduk hormat kepada seorang remaja lelaki berumur 11 tahun yang didiagnosis dengan kanser otak yang berjaya menyelamatkan beberapa nyawa dengan mendermakan organ-organnya ke hospital yang sedang dirawatnya tidak lama sebelum kematiannya.
|