|
Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak berpengalaman, Ebby Yus 57, bersyukur apabila dia masih boleh berpuasa penuh biarpun berhadapan dengan masalah kesihatan kerana menghidap beberapa penyakit.
Sekitar 2019 lalu, Ebby pernah mendedahkan dia mengalami penyakit gastrik kronik, termasuk lemah jantung dan buah pinggang yang menyebabkan tidak boleh terlalu aktif bekerja kerana cepat berasa penat.
Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata apapun, hingga kini dia masih mampu berpuasa penuh dan belum meninggalkannya walau sehari di atas faktor kesihatan diri.
"Sebenarnya, saya sangat bersyukur kerana masih mendapat peluang daripada Allah untuk berpuasa penuh walaupun keadaan kesihatan saya tidak menentu. Tapi, alhamdulillah buat masa ini saya memang baik-baik saja.
"Saya pun tak sangka dan anggap ini adalah rezeki. Apabila Allah dah bagi semula kesihatan ini, saya akan terus berpuasa penuh selagi mampu. Malah, tinggal berapa hari saja lagi sebelum hari raya," katanya kepada Harian Metro.
Ebby berkata dia seboleh-bolehnya mencuba tidak mahu meninggalkan puasa Ramadan ini. Katanya, peluang berpuasa sebegini hanya setahun sekali dan dia mahu memanfaatkan sebaiknya peluang diperoleh itu.
"Saya tahu keadaan kesihatan diri dan tidak memaksa. Namun, alhamdulillah untuk Ramadan kali ini keadaan kesihatan saya berada pada tahap agak baik dan bolehlah berpuasa penuh macam orang lain.
"Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada peminat atau sesiapa sahaja yang sudah mendoakan yang baik-baik buat saya terutama kesihatan. Semoga Allah membalasnya," katanya.
Terdahulu, Ebby ditemui ketika muncul pada sidang media virtual sitkom JKK Raya 2021 lakonannya yang akan disiarkan TV3 pada 13 Mei ini, jam 11 malam.
Ebby yang melakonkan watak Pak Din, turut beraksi dengan pelakon lain seperti Ropie, Ain Idruce, Issey Fazlisham, Shuk Sahar, Salman dan Jiggy. Sitkom JKK atau Jenaka Kampung Kalut kini memasuki musim ketujuh penerbitannya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|