Neelofa semasa menemubual Upiak Isil di program Meletop
Gara-gara menyuruh tetamu jemputannya diam dan gagal berkomunikasi dengan baik ketika menemubual penyanyi tular Tak Tun Tuang, Upiak Isil di program Meletop, Neelofa teruk dihentam netizen.
Rata-rata netizen menganggap Neelofa berperwatakan kasar dan kurang profesional kerana tidak membuat raptai dengan penyanyi tersebut sebelum temuramah dijalankan.
Menurut netizen, apabila Neelofa menyuruh penyanyi tersebut diam dan sering mengulang perkataan tidak faham, Upiak Isil kelihatan terpinga-pinga dan hilang tumpuan. Ini menimbulkan perasaan kurang senang pada penonton.
Neelofa ketika menghadiri pertujukan pakaian dalam Victoria Secret
Bagaimanapun, Neelofa semasa ditemubual oleh Berita Harian dalam majlis memperkenalkan telefon bimbit keluaran terbaru Oppo semalam, menepis dakwaan tersebut dan memberikan penjelasan bahawa temubual itu sebenarnya diadakan dalam suasana santai dan dia merasakan Upiak Isil amat menghiburkan dan berperwatakan lucu.
"Jika diikutkan, ketika mengacarakan program itu bersama Nabil Ahmad, kami sangat seronok menemubualnya. Kami ketawa kerana dia memang seorang yang kelakar dan spontan. Saya sendiri tergelak besar apabila dia memaklumkan sudah ada 19 album, tetapi satu saja yang laku.
"Cuma, ketika program itu bersiaran, saya dan Nabil tidak faham bahasa yang digunakan kerana loghat penyanyi dari Bukit Tinggi, Padang, itu sangat pekat, hinggakan saya sendiri terpaksa ulang soalan dan apa yang diperkatakannya berkali-kali. Saya cuba memahami apa yang dituturkan olehnya sebaik mungkin sebelum melontarkan soalan seterusnya.
"Karakter dia sendiri sangat berwarna. Saya sebagai pengacara pula cuba memberikan reaksi terbaik terhadap setiap tetamu yang diundang ke program itu. Jika ada yang salah anggap dan nampak diri ini kasar atau bersikap kurang ajar, saya dengan rendah hati memohon maaf," katanya kepada Berita Harian.
Tidak mahu perkara tersebut berlarutan, Neelofa juga dengan merendah diri memohon maaf jika ada netizen yang menganggap dirinya berlagak dan menegaskan dia dan Nabil hanya memeriahkan program itu yang berkonsepkan hiburan dan santai.
Neelofa menghadiri majlis memperkenal telefon bimbit jenama Oppo.
Nampaknya bukan sahaja baru-baru ini corak pengacaraan Neelofa ditegur, sebelum ini juga terdapat penonton yang kurang berminat dengan cara Neelofa mengendalikan program tersebut.
Sehingga ada kalangan netizen yang mahu Astro menukar pengacara. Namun begitu, kecaman netizen tidak berbekas buat Neelofa dan Astro kerana rancangan tersebut masih mendapat rating yang tinggi dan popular. - CARI |