Syamsul Yusof Terkejut Netflix Nak Beli Mat Kilau RM7 Juta[size=0.8125]Oleh Farizan Zainal
15 Jul 2022, 11:07AM
Selepas 21 hari ditayangkan di pawagam, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencipta fenomena apabila mecatat kutipan RM71 juta. Lebih menjadi perhatian, filem Mat Kilau berjaya menarik minat platform penstriman popular dunia, Netflix.
Memetik Media Hiburan, pengarahnya, Syamsul Yusof bercakap ketika temu bual bersama pengkritik filem di saluran YouTube Zhafvlog berkata pihak Netflix dikhabarkan sedia membeli filem tersebut dengan harga RM7 juta untuk ditayangkan.
“Sekarang ni kita bercakap tentang tiada filem Melayu yang mereka sanggup bayar sampai RM7 juta sebelum ini. Saya pun terkejut pada awalnya,
“Maknanya , mereka semua ini nampak ada sesuatu pada filem ini dan sebab itu mereka tak kisah beri harga sedemikian. Kita boleh pergi jauh sebenarnya,” katanya.
Menurut Syamsul lagi, dia berharap dengan pencapaian filemnya itu mampu menaikkan semangat pengarah tempatan yang lain untuk menghasilkan filem yang hebat. “Syukur sekarang ini kita ada pelbagai platform penstriman. Segalanya berbalik kepada karya itu sendiri. Kalau karya itu baik dan mampu buktikan yang ia boleh sukses di negara sendiri, mereka pasti akan tawar harga yang baik. “Kita kena fokus pada produk dahulu. Tolak tepilah dulu Netflix, nak tayang atau menang anugerah di luar negara. Karya itu dahulu yang harus diutamakan. “Korang semua mungkin tidak akan percaya marketing filem Mat Kilau ni sampai RM300,000. Gilakan bunyinya. Saya bercakap perkara ini sendiri kepada ayah saya. “Kita tak perlukan bajet besar. Mungkin sesetengah orang kurang senang kalau saya kata sebegini. Saya bercakap bagi pihak para pembikin filem yang tiada bajet besar. Mereka juga boleh sukses sebenarnya,” katanya.
|