Sumber IG
Pencipta kandungan yang popular di TikTok dikenali sebagai Adik Jun tidak menyalahkan netizen yang mengkritiknya kerana kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Menerusi laporan mStar, Adik Jun menarik perhatian ramai apabila sering berkongsi kandungan mengenai tip penjagaan kereta dengan bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.
"Sebenarnya, masalah itu berpunca daripada saya sebab ketika masih bersekolah saya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar subjek bahasa Melayu.
"Jadi, kepada sesiapa yang menonton video saya ini harap kita dapat perbaiki bahasa Melayu kerana ia penting di Malaysia untuk menggunakan basa itu sebab kita berbilang bangsa dan semuanya menggunakan bahasa Melayu.
Adik Jun turut mendedahkan dia selalu menerima kecaman netizen dan paling menyedihkan apabila ada segelintir individu berbangsa Cina yang turut mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu dalam 'content' yang dikongsikan.
"Bagi saya, perkara seperti ini seharusnya dihentikan dan kita kena bersatu padu lagi pun kita sudah 65 tahun merdeka.
"Saya paling kecewa ramai orang Cina tanya kenapa saya berbangsa Cina tapi buat content dalam bahasa Melayu. Tapi mereka lupa yang kita kat sini dalam Malaysia, tanah Malaysia. Kita mesti nak faham, kita mesti guna bahasa Melayu supaya satu Malaysia faham.
"Saya memang nak orang Cina pun faham bahasa Melayu. Untuk semua anak Malaysia kita mesti pentingkan bahasa Melayu. Bukan saya tak nak cakap Cina, tapi untuk content saya guna bahasa Melayu untuk orang lain faham," katanya.
|