Edited by JoyahMengayah at 16-12-2023 06:36 AM
PETALING JAYA – Khabar angin lockdown bagi mengekang penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat di Malaysia menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di media sosial, kebanyakan orang ramai tidak bersetuju dengan kemungkinan lockdown bakal dilaksanakan kembali.
Menurut orang ramai, mereka bimbang dengan kesan ekonomi dan sosial yang akan berlaku, termasuk kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan kecil dan kemerosotan dalam kesejahteraan keseluruhan.
“Kes makin naik tapi secara peribadi aku tak nak lockdown. Aku baru nak ada hidup baru aku dgn berniaga kecil-kecilan. Cukuplah dulu sahaja, aku sampai rasa mcm tak berguna dalam hidup ini,” kata Hidayah.
Seorang pengguna media sosial yang dikenali dengan nama Ikhwan berkata Malaysia tidak lagi mampu melaksanakan sekatan pergerakan atau sekatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Ekonomi negara dan kehidupan rakyat terjejas jika kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ bagi memerangi kes jangkitan Covid-19 yang tinggi ketika ini,” ulasnya.
Ikhwan dengan jujur menyuarakan pendapatnya, dia berasa geram dengan tindakan sesetengah rakyat yang mahu kembalikan lockdown.
“Saya rasa geram buka media sosial tengok orang asyik bercakap tentang ‘apa korang nak buat kalau lockdown lagi’.
“Orang yang tak rasa susah masa lockdown memang tak akan faham. Duduk goyang kaki dekat rumah, makan semua orang bagi, bolehlah tak risau kena lockdown,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak bersetuju dengan keperluan untuk kembali kepada perintah berkurung sekiranya bilangan kes Covid-19 terus meningkat.
“Jangan sebab bukan ahli keluarga sendiri yang meninggal sebab covid, korang tak nak duduk rumah.
“Jangan pentingkan diri sendiri bila rasa tak dapat nak sambut raya. Fikirkan tentang keselamatan orang di sekeliling juga,” luah Qai.
|