PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) menguruskan hampir RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bilion setahun bayaran balik 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman dengan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.
Jumlah pinjaman keseluruhan berubah-ubah setiap masa kerana setiap hari ada pinjaman habis dibayar dan terdapat permohonan baharu diluluskan kepada peminjam.
Lima lagi agensi yang menguruskan pinjaman kakitangan awam ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Yayasan Ihsan Rakyat (YIR), CoShare Holdings Berhad, I.Destinasi (IDSB) dan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, kebanyakan pinjaman yang diambil penjawat awam tanpa mengira gred adalah pembiayaan peribadi.
Katanya, pinjaman baharu penjawat awam lazimnya meningkat menjelang sesi pembukaan sekolah, kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi dan menjelang musim perayaan.
“Contoh menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, jumlah kakitangan memohon pinjaman baharu meningkat 10 peratus atau tambahan 10,000 dari 30,000 kepada 40,000 orang,” kata beliau, baru-baru ini.
Abdul Fattah berkata, faktor lain yang turut menyumbang permohonan kakitangan penjawat awam meningkat kerana masalah kos sara hidup yang meningkat.
Dalam pada itu, kata beliau, Angkasa adalah salah satu daripada enam agensi yang menguruskan potongan gaji penjawat awam.
“Ada enam agensi yang membuat potongan gaji seperti Angkasa. Jika pinjaman yang dibuat oleh industri lain kemungkinan mereka agensi yang berlainan menguruskan pinjaman tersebut.
“Pemberian kod potongan gaji hanya diberi oleh Akauntan Negara. Penjawat awam tidak semestinya perlu membuat potongan gaji dari Angkasa malah mungkin mereka membuat potongan gaji mengikut syarikat lain tetapi konsepnya sama,” kata beliau.
“Jumlah keseluruhan penjawat awam yang melakukan pemotongan gaji melalui Angkasa adalah sekitar 800,000 orang dengan jumlah bulanan sekitar RM1.2 bilion setahun kira-kira RM14.4 bilion,” katanya.
Tambahnya, Angkasa membangunkanSistem Potongan Gaji Angkasa untuk mengawal had keberhutangan isi rumah terutama dalam kalangan penjawat awam.
“Melalui sistem ini, elemen yang membabitkan jumlah potongan lama dan jumlah potongan baharu diambil kira dalam pengiraan had keberhutangan.
“Pada 2017, Angkasa sudah menghantar cadangan kepada kerajaan supaya semua agensi yang mendapat kod potongan gaji hendaklah diletakkan di bawah sistem potongan gaji Angkasa (BPA) supaya had keberhutangan isi rumah dapat dikawal secara sistematik dan berpusat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, setiap penjawat awam tidak boleh membuat pinjaman melebihi 60 peratus daripada gajinya.
“Kebanyakan yang membuat pinjaman adalah untuk persiapan perkahwinan, urusan pendidikan anak-anak dan penambahbaikan rumah.
“Pihak bertanggungjawab akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya penjawat awam tersebut membuat pinjaman melebihi 60 peratus dari gajinya,” katanya.
Abdul Rahman berkata, penjawat awam yang terlibat dalam masalah hutang yang serius akan dipanggil bagi membincangkan jalan penyelesaian.
“Kita khuatir terdapat segelintir daripada mereka yang terdesak mendapatkan wang sanggup mengambil rasuah,” katanya. – UTUSAN
|