View: 11780|Reply: 21
|
Novel : LELAKI EKSKLUSIF
[Copy link]
|
|
Wan Awliya Rayqal
Bab 1
WAN MUKRIZ memandang seorang demi seorang ahli keluarganya. Sejak ketibaannya petang tadi, sambutan yang diterima sama sekali tidak berubah. Sama seperti lapan tahun yang lampau. Awal-awal lagi Wan Mukriz sedia maklum bahawa kepulangannya bakal disambut hambar oleh ahli keluarga lain. Bukan dia tidak sedar. Dan dia juga bukan bodoh untuk menilai akan kepulangannya memang tidak dialu-alukan sejak mula. Akan tetapi dia sendiri tiada pilihan. Dia terpaksa berhadapan juga dengan orang-orang yang tidak pernah menyukainya kerana mereka adalah keluarganya sendiri.
Hanya mungkin ayah Wan Mukriz dan datuknya sahaja yang nampak gembira. Emak tirinya langsung tidak ambil peduli. Begitu juga dengan abangnya, Wan Ariff. Nenek apatah lagi. Memang sedekah pulut kuning la kalau mereka bertiga itu menyambut kepulangannya dengan senyuman. Makin terserlah kebencian buat Wan Mukriz. Dan seperti yang selalu Wan Mukriz pasakkan dalam hatinya sendiri bahawa dia sudah tiada masa untuk berkecil hati. Segala rasa itu hanya membuang masa. Kecil hati itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Dia sudah biasa. Sudah lali dengan itu semua.
“Dah puas hidup merantau?” Haji Wan Mohsin mula mengajukan soalan sebaik sahaja mereka mula makan malam. Makan malam yang dianggap istimewa sempena menyambut kepulangan Wan Mukriz.
Itu hanya tanggapan Wan Mukriz, tidak pada yang lain. Lelaki yang sudah nampak benar berusia dan bertubuh lebih kurus berbanding sebelum Wan Mukriz merantau itu menunjukkan rasa gembira menyambut kepulangannya. Hanya orang tua itu sahaja yang dilihat benar-benar menghargai kepulangannya selain ayah kesayangannya sendiri. Ah, jangan terlalu emosi, Mukriz... pesannya pada hati sendiri.
“Hujan emas di negeri orang tok, tak sama dengan hujan batu di negeri sendiri,” jawab Wan Mukriz tenang dan bersahaja. Cuba disembunyikan segala rasa yang terpendam sejak sekian lama. Ah, dendam tidak perlu ditanam dalam diri. Nanti boleh jadi racun yang memakan diri sendiri. Dia mahu menikmati hidup dengan rasa kasih sayang dan bahagia, jadi dia perlu buang semua perasaan negatif. Dia akan jalani kehidupannya dengan biasa-biasa sahaja.
“Baguslah, Riz. Lagipun kerja-kerja di syarikat makin hari makin bertambah. Riz dah balik ni, bolehlah bantu apa yang patut,” tokok si ayah, Encik Wan Amran. Senang hatinya menerima kepulangan Wan Mukriz.
“Apa yang banyaknya? Selama ni syarikat tu ada masalah ke?” Hajah Zakiah menyampuk. Wanita bertubuh gempal dan berkulit putih kuning itu kurang senang bila mendapat tahu Wan Mukriz akan diterima semula bekerja. Bencinya terhadap Wan Mukriz kian meluap-luap. Sedikit pun tidak berkurang walau sudah lapan tahun dia tidak melihat wajah cucu yang tidak pernah diiktirafnya itu.
“Awak apa tahu,” bidas Haji Wan Mohsin kasar. Dari dulu dia memang tahu isterinya itu langsung tidak sukakan Wan Mukriz. Apa sahaja tentang Wan Mukriz, pasti akan mendapat tentangan.
“Kalau tak tahu jangan nak menyibuk,” marah Haji Wan Mohsin lagi.
Last edited by PeminatNovel on 9-3-2013 12:44 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Wan Mukriz memandang datuknya. Makin tua makin tegas. Kalau tidak masakan Hajah Zakiah terus terdiam. Sesekali Wan Mukriz lihat ada juga wajah tua itu mencebik. Sudah biasa. Tiada apa yang mahu dihairankan. Dia sedia faham dan sedar bahawa dia masih lagi tidak disenangi. Bahkan tetap tidak diterima.
“Hmmm, bila Riz nak masuk syarikat?” soal Haji Wan Mohsin bila keadaan kembali tenang.
“Bila-bila pun boleh. Saya tak kisah.”
“Buat permulaan, atuk nak Riz masuk dulu bahagian penghantaran.”Encik Wan Amran memandang wajah Haji Wan Mohsin. Kenapa Wan Mukriz yang ada kelulusan dari universiti luar negara diletakkan di bahagian penghantaran? “Kenapa tak masukkan saja Riz ke bahagian pengurusan?” Encik Wan Amran seperti tidak bersetuju dengan keputusan ayahnya.
“Biar dia belajar dulu di bahagian tu. Kalau dah mahir nanti, kita masukkanlah ke bahagian pengurusan,” jawab Haji Wan Mohsin perlahan.
“Apa-apa pun tak tahu dah nak masuk bahagian pengurusan?” Hajah Zakiah mencelah sambil mencebik. Tetap tidak berpuas hati.
“Eh! Saya tak kisah di mana pun atuk nak letak. Janji saya dapat bantu atuk. Sekurang-kurangnya saya dapat balas jasa atuk terhadap saya selama ni,” jawab Wan Mukriz ikhlas sambil tersenyum.
“Nak balas apa pulak! Kalau nak dikira memang tak terbalas sampai ke mati. Dah banyak kami rugi sebab bela kamu.” Makin galak kata-kata Hajah Zakiah untuk menyakiti hati Wan Mukriz. “Dah elok duduk di luar negara, gatal pulak balik. Ini tak lain nak menghabiskan harta kita saja,” kata Hajah Zakiah lagi.
Wan Mukriz memaksa diri untuk tersenyum. Hatinya terluka lagi untuk kali yang entah ke berapanya. Luka yang sedia ada juga masih belum terubat, ditambah lagi dengan luka baharu. Namun Wan Mukriz cuba rawat sendiri setiap kelukaan itu. Perasaannya perlu ditenangkan sebaik mungkin. Nasibnya tetap begini. Dasar menumpang.
“Apa yang awak merepek ni? Budi apa yang dia nak balas? Dia cucu saya juga. Kalau dia terhutang budi, bermakna Ariff juga terhutang budi. Masing-masing sama cucu saya.” Haji Wan Mohsin menjeling tajam.
“Lain kali kalau tak berkenaan, jangan cakap. Tutup mulut. Makan saja. Karang saya mintak awak balas balik apa yang saya dah bagi awak makan, baru padan muka awak,” marah Haji Wan Mohsin pula.
Langsung Hajah Zakiah terdiam. Malu betul dia bila ditegur begitu. Sakit hati semakin menjadi-jadi. Nampaknya suami sendiri juga sudah berpihak kepada Wan Mukriz. Mana boleh begitu. Nanti suaminya termakan hasutan cucu tidak guna itu. Harta Haji Wan Mohsin sesen pun tidak boleh jatuh ke tangan Wan Mukriz. Dalam diam Hajah Zakiah menyabarkan perasaan sendiri. Dia tidak boleh bertindak melulu.
Wan Ariff menjeling Wan Mukriz dengan senyuman sinis. Datuknya benar-benar berpegang pada janji. Beberapa hari sebelum Wan Mukriz pulang, Wan Ariff ada memberitahu datuknya kalau Wan Mukriz ditempatkan di pejabatnya, dia akan tinggalkan syarikat. Wan Ariff rasa cukup bangga dengan keputusan datuknya itu. Setakat ini kedudukannya tidak tergugat lagi. Ah, kalau Wan Ariff mahu halau Wan Mukriz, sekelip mata sahaja dia boleh lakukan. Tetapi mana boleh singkirkan Wan Mukriz begitu sahaja tanpa mendera terlebih dahulu. Kau akan rasa, Wan Mukriz!
Puan Marina, ibu Wan Ariff dan ibu tiri kepada Wan Mukriz, walaupun tidak senang hati beberapa hari ini, sedikit berpuas hati dengan keputusan bapa mertuanya. Dia tersenyum sinis. Dia yang begitu bimbang dengan kepulangan Wan Mukriz rasa cukup lega kerana tindakan bapa mertuanya masih lagi memihak kepada anaknya, Wan Ariff. Kedudukan anaknya sebagai pewaris utama masih tidak tergugat. Itu yang harus dia pertahankan.
“Kalau macam tu, atuk rasa eloklah Riz mulakan kerja esok untuk sesuaikan diri dengan keadaan tempat kerja.”
“Saya tak ada masalah. Lagi cepat lagi bagus,” beritahu Wan Mukriz lagi.
“Errr… satu lagi. Aku dengan Sharina nak bertunang tak lama lagi,” kata Wan Ariff dengan nada sedikit angkuh. Bahasanya masih tidak berubah. Masih kasar. Ah, kasar dan Wan Ariff bukankah sudah serasi dan sebati?
“Sharina bukan main suka dengan Ariff. Ke mana saja berdua. Sampai tempat kerja pun nak sama dengan Ariff. Tak sanggup berpisah agaknya.” Terjuih-juih mulut Hajah Zakiah bercerita. Bersemangat sungguh untuk tumpang menyakiti hati Wan Mukriz.
“Hmmm, tahniah! Saya tumpang gembira,” balas Wan Mukriz selamba. Dia tersenyum selepas itu sambil mengangguk. Jauh sekali mahu tunjuk sebarang reaksi kecewa. Amat selamba dan bersahaja. Seolah-olah dia langsung tidak mengenali siapa Sharina itu, sedangkan suatu ketika dulu gadis itulah yang bertakhta di hatinya.
Encik Wan Amran dan Haji Wan Mohsin menjeling Wan Mukriz. Ingin melihat kalau ada tanda-tanda Wan Mukriz akan berkecil hati. Namun kerana bijak menyembunyikan riak wajah, Wan Mukriz kelihatannya seperti tidak kisah langsung dengan kata-kata Wan Ariff. Lelaki itu masih berwajah tenang.
“Mungkin majlisnya berlangsung tak lama lagi,” tokok Wan Ariff. Masih berusaha untuk membuatkan Wan Mukriz sakit hati.
“Baguslah. Kerja yang baik kenapa mahu bertangguh. Bagus, bagus. Aku tumpang gembira dengan berita ni,” kata Wan Mukriz lagi kepada Wan Ariff. Masih selesa ber‘aku’ dengan Wan Ariff. Wan Mukriz cuba menyembunyikan gelora perasaan dengan terus menyuap makanan ke dalam mulutnya yang menunjukkan dia berselera benar. Hakikat sebenarnya, dia sendiri sudah lama membuang Sharina dari hidupnya. Seolah-olah nama gadis itu tidak pernah wujud langsung dalam hidupnya sebelum ini. Yang pasti, Wan Mukriz tidak akan rasa apa-apa lagi.
“Sedap betul. Dah lama tak rasa masakan kampung. Masakan Mak Cik Leha masih power. Terima kasih, mak cik!” Wan Mukriz separuh melaung dan menoleh ke arah Mak Cik Leha, pembantu rumah yang hampir puluhan tahun bersama mereka yang sedang mencuci pinggan di singki.
“Terima kasih, Riz,” jawab Mak Cik Leha. Senang hati menerima pujian dan juga sangat gembira menerima kepulangan Wan Mukriz ke rumah agam ini semula. Anak yang penuh dengan sopan santun dan begitu menghormati orang lain, namun sering dipinggirkan.
“Ni yang sayang mak cik lebih,” kata Wan Mukriz sambil gelak perlahan. Serius, dia memang suka dengan masakan Mak Cik Leha.
Wan Ariff yang melihat, merasa sakit hati. Tidak terkesan langsung riak kecewa dan sakit hati yang terpamer di wajah tenang itu. Usahanya gagal untuk membuatkan Wan Mukriz marah dan memberontak. Wan Mukriz kelihatannya seperti biasa sahaja. Langsung tidak tunjuk apa-apa perubahan. Bukankah dia yang tergila-gilakan Sharina suatu masa dulu? Bukankah Sharina itu gadis pujaannya dan dia mencintai Sharina separuh nyawa? Tetapi kenapa pula dia seperti tidak kisah malah tidak peduli pun dengan apa yang Wan Ariff sampaikan?
“Errr, Riz jangan kecik hati pulak sebab Ariff dapat Sharina. Maklumlah, jodoh pertemuan itu sudah kehendak Tuhan. Mungkin Sharina tak sesuai untuk Riz.” Puan Marina mengapi-apikan lagi keadaan bila melihat Wan Mukriz seperti tidak kisah bila soal Sharina dibangkitkan. Kemudian senyum sinis seakan menyindir. Wanita yang kelihatan anggun dengan tubuhnya yang langsing, sangat sesuai dengan kebaya nyonya yang dipakai. Rambut pula dipotong pendek.
“Tak adalah, mak cik. Perkara tu dah lama. Impian zaman budak-budak. Saya pun dah lupakan dia. Memang betul kata mak cik tu, jodoh pertemuan di tangan Tuhan, mana tahu jodoh saya dengan gadis yang lebih cantik dan lebih baik daripada Sharina. Siapa tahukan?” Ketawa kecil menyusul seperti mentertawakan Wan Ariff dan Puan Marina sahaja bunyinya. Wan Mukriz tahu kedua-duanya sudah rasa terpanggang walau dia baru berkata begitu. Melihatkan air muka kedua-duanya sahaja Wan Mukriz sudah mengerti. Ah, jangan sekali-kali menjolok sarang tebuan, desis hati kecilnya puas.
“Pasal perempuan saja. Bukan masalah besar pun. Ariff dan mak cik jangan bimbang. Saya tak kisah pun semua tu. Yang penting Ariff akan bahagia dengan Sharina. Jangan sampai tak bahagia pulak sebab bahagia tak boleh dipaksa-paksa,” sindir Wan Mukriz pula. Kali ini Wan Mukriz tidak teragak-agak mahu menyindir. Tahu apa yang sedang berlaku di antara Wan Ariff dan Sharina sebenarnya. Hubungan itu tiada keikhlasan dan hanya sekadar mahu membalas dendam. Tidak mengapa, esok lusa dia akan beritahu Sharina hal sebenar. Oh! Wan Mukriz sekarang bukan lagi Wan Mukriz dulu yang akan hanya berdiam diri bila maruahnya diinjak-injak dan dipermainkan. Sudah cukup dia menjadi ‘mangsa belasahan’ selama ini, dia tidak mahu lagi jadi begitu. Dia akan memberontak, namun dengan caranya sendiri. Lemah lembut dan penuh sopan namun kesannya menggigit hingga ke dasar hati.
Sekali lagi Wan Ariff kecewa. Kenapa begitu berubah sikap Wan Mukriz? Apakah selepas bertahun di luar negara, Wan Mukriz sudah berjaya lupakan Sharina? Mungkinkah ada gadis lain yang lebih istimewa sudah mencuri hati Wan Mukriz? Apakah gadis itu lebih istimewa daripada Sharina? Api cemburu mula membara di benak Wan Ariff. Sekian lama api cemburu itu terpadam dan kini menyala semula sebaik sahaja diberitahu Wan Mukriz akan pulang. Melihatkan keadaan Wan Mukriz yang lebih baik dan nampak cukup matang membuatkan hati Wan Ariff bertambah sakit.
“Riz dah jumpa gadis lain?” soal Puan Marina ingin tahu. Hairan kenapa Wan Mukriz langsung tidak marah, malah masih mampu makan dengan penuh berselera. Sedang dulu Wan Mukriz begitu rapat dengan Sharina. Namun kini, langsung tiada tanda-tanda dia berkecil hati.
“Kita lepaskan Ariff dulu, mak cik. Lepas tu baru kita fikirkan tentang saya pulak. Lagipun saya baru saja pulang. Penat tak habis lagi,” jawab Wan Mukriz tenang, masih mengukir senyuman. Cuba memberikan senyuman paling cantik. Senyuman tanpa sebarang keraguan. Senyuman yang boleh menyembunyikan segala kedukaannya. Dan senyuman yang bakal membuatkan ramai sakit hati.
Wan Mukriz melangkah ke bilik sebaik sahaja selesai makan. Mahu rehatkan diri dan fikiran. Lapan tahun ini telah banyak mengajarnya erti kesabaran dan menerima semuanya sebagai satu ketentuan yang telah tertulis untuk dirinya. Akhirnya dia pasrah juga. Waktu melangkah meninggalkan rumah, usianya baru menginjak ke dua puluh dua tahun. Terlalu muda untuk menempuh cabaran hidup di negara orang, namun hatinya nekad dan dia tidak mahu berpaling lagi. Hati kecilnya sudah dipasakkan dengan kata-kata susah di negara orang tidaklah sesusah bila berada di tengah-tengah keluarga sendiri.
Namun begitu keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarga tetap tersemat di hati bila masanya tiba kelak. Tika dia telah bersedia untuk menjadi seorang lelaki yang sedia menerima cabaran dan bukan lelaki yang hanya tahu menjauhkan diri. Dan “bila masanya tiba kelak” itu adalah kini....
“Boleh ayah masuk?” soal Encik Wan Amran di muka pintu yang sudah sedia terbuka sejak mula.
“Masuklah ayah,” kata Wan Mukriz sambil memandang wajah lelaki yang tidak pernah gembira sejak lapan tahun dahulu. Susuk tubuh itu semakin kurus namun tampak masih segak dalam usia itu.
Wan Mukriz mempelawa Encik Wan Amran duduk di kerusi jati yang terletak di hujung bilik. Sesuai untuk mereka berbual dengan santai di situ.
“Ayah gembira Riz dah balik. Hilang juga rindu ayah pada Riz selama ni,” kata Encik Wan Amran sambil memegang tangan Wan Mukriz. Rindu pada anak seorang ini sudah tidak terucap lagi. Antara ketiga-tiga orang anaknya, Wan Mukriz lebih ceria dan lebih ramah berbanding arwah Wan Idham dan Wan Ariff sendiri.
“Sebab rindukan ayah, Riz pulang. Riz dah boleh terima kematian ibu dan abang,” tenang sahaja Wan Mukriz bila menyebut tentang arwah abang dan ibunya. Sungguh, rindu buat kedua-duanya masih tidak terkurang walau sedikit demi sedikit dia mula lupa akan kesedihannya.
“Alhamdulillah. Kita yang tinggal ni harus meneruskan kehidupan sebab yang pastinya, kita juga akan menyusul mereka nanti.”
“Memang betul, ayah. Ayah pun jangan lupa hidup dengan gembira. Riz tengok sejak dulu hinggalah ke hari ni, ayah tak pernah gembira.”
“Mana boleh ayah hidup gembira kalau kegembiraan ayah dah dibawa bersama.”
“Janganlah begitu, ayah.” Wan Mukriz sebak. Kemalangan yang meragut nyawa abang dan ibu melintasi ruang ingatan. Ketika itu abangnya yang berusia dua puluh empat tahun mahu menghadiri majlis pernikahan saudara terdekat mereka. Wan Mukriz dan Encik Wan Amran tidak dapat turut sama kerana masing-masing mempunyai urusan tersendiri. Kereta yang dipandu Wan Idham terbabas dan memasuki arah bertentangan lantas berlanggar dengan kereta dari arah hadapan. Kedua-duanya meninggal di tempat kejadian.
Encik Wan Amran menarik nafas panjang. Satu keluhan berat dilepaskan. Wan Mukriz tahu ayahnya menderita. Bukan sahaja kehilangan isteri dan anak sulung, tetapi tekanan yang diterima daripada Hajah Zakiah juga memaksa Encik Wan Amran terus-terusan bermurung. Perkahwinan kedua Encik Wan Amran hasil daripada ugutan Hajah Zakiah sendiri. Ketika itu Encik Wan Amran sangat bahagia bersama arwah ibu Wan Mukriz namun kerana ibu Wan Mukriz bukanlah menantu pilihan, Hajah Zakiah mendesak Encik Wan Amran mengahwini Puan Marina, sepupu Encik Wan Amran sendiri.
“Ayah sudah tawar hati akan semuanya, Riz.” Encik Wan Amran bangun. Wan Mukriz juga turut bangun.
“Jangan begitu, ayah. Ayah juga yang cakap tadi, hidup kita harus diteruskan. Kalau arwah mak dan abang tengok ayah macam ni, tentu mereka juga tak tenteram di sana.” Wan Mukriz cuba memujuk. Biar tahu kata-katanya itu tidak mampu untuk mengubat luka di dada Encik Wan Amran, namun jauh di sudut hati Wan Mukriz mahu melihat ayahnya gembira seperti dulu. Bahu Encik Wan Amran dipeluk erat dengan penuh kasih sayang.
Encik Wan Amran senyum tawar. Wajah Wan Mukriz yang tenang ditatap. Antara mereka bertiga, rasanya Wan Mukriz agak kurang dari segi paras rupa tetapi dia yang paling
manis.
“Betul Riz tak kisah kalau Ariff ditunangkan dengan Sharina?” Persoalan yang sama berbangkit semula. Encik Wan Amran sedar, sejak mula Wan Mukriz banyak beralah.
Wan Mukriz ketawa kecil. “Pasal tu ayah jangan bimbang. Riz dah lupakan semuanya.” Wan Mukriz ketawa kecil. Tidak sangka ayahnya masih juga mahu mengambil berat tentang soal tersebut.
“Ayah bimbang Riz akan kecil hati.” Ada seraut wajah gelisah terpamer.
“Tak adalah ayah. Soal perempuan saja... bukan masalah besar pun.” Ketawa kecil Wan Mukriz masih berbaki.
“Ayah doakan Riz akan bertemu dengan seseorang yang boleh membahagiakan hidup Riz nanti. Mungkin sudah tertulis Sharina bukan untuk Riz.”
“Mudah-mudahan, ayah. Riz pasti memang ada seseorang yang sedang menanti Riz. Riz cuma perlu tunggu.”
Encik Wan Amran memeluk erat anaknya itu penuh kasih sayang. Semoga nanti Wan Mukriz bertemu seseorang yang boleh membahagiakan hidupnya.
Wan Ariff yang berdiri di hadapan ruang tamu di tingkat dua itu hanya memerhatikan sahaja tingkah kedua-duanya. Melihat Wan Mukriz dipeluk erat, perasaan Wan Ariff terus mendidih. Dia benar-benar sakit hati melihat Wan Mukriz lebih disayangi oleh Encik Wan Amran. Kalau boleh dia mahu semua membenci Wan Mukriz. Tetapi nampak benar ayah mereka berat sebelah. Selama ini Encik Wan Amran bukan sahaja tidak berlaku adil, bahkan menunjukkan rasa tidak suka terhadap Wan Ariff.
Sudah puas Wan Ariff berusaha untuk menambat hati Encik Wan Amran, namun ternyata gagal. Selama lapan tahun ini apa yang tidak pernah Wan Ariff lakukan? Semuanya sudah namun gagal juga untuk meraih sebarang perhatian daripada seorang ayah. Hati Wan Ariff luka sebenarnya. Kerana luka itulah dia tambah benci dengan Wan Mukriz.
Encik Wan Amran hanya menjeling sekilas ketika lalu di hadapan Wan Ariff. Langsung tidak menyapa apatah lagi mahu mengucapkan selamat malam buat anaknya yang seorang itu. Dia bagaikan sedang bermusuh dengan anaknya sendiri. Wan Ariff sangat berkecil hati, sedang Wan Mukriz siap dipeluk bagai.
Membawa perasaan yang marak dengan marah dan dendam, Wan Ariff mengatur langkah ke bilik Wan Mukriz. “Kenapa kau tak berambus saja? Kau balik ni memang menyusahkan betul,” kata Wan Ariff. Terpandang sahaja wajah Wan Mukriz, memang berapi terus perasaannya, bagaikan lahar gunung berapi yang sedang memuntahkan lava.
“Kenapa? Aku tak boleh balik? Ini rumah aku jugak dan aku ada hak untuk balik.” Tenang sahaja Wan Mukriz menjawab kemarahan abang yang hanya tua enam bulan sahaja daripadanya. Mereka bukan sahaja berbeza tahun kelahiran, bahkan berbeza dari segi penampilan. Wan Mukriz tampak lebih santai berbanding Wan Ariff yang mementingkan gaya hidup mewah.
Wan Mukriz susun pakaiannya di dalam almari tanpa rasa tertekan sedikit pun dengan kehadiran Wan Ariff. Namun sikap tenang dan selambanya itu kian membuatkan abangnya itu sakit hati. Dadanya serasa panas dengan ombak kemarahan.
“Aku tahu kau balik ni sebab ada agenda tertentu, bukan? Kalau tidak kau takkan balik. Kau mahu rampas Sharina daripada aku, bukan? Jangan harap! Kau langkah mayat aku dulu.” Sedikit demi sedikit kerisauan Wan Ariff terpamer sendiri tanpa siapa pun yang memaksanya.
“Kau silap. Aku balik ni sebab aku rasa ayah lebih perlukan aku. Aku tak ada agenda lain dan aku mahu membina kehidupan aku sendiri. Aku pun dah tiga puluh tahun. Inilah masa yang paling sesuai untuk aku bina keluarga aku sendiri. Tentang Sharina, apa hebatnya Sharina sampai kau tergila-gilakan dia? Kau fikir aku masih ada hati dengan Sharina? Memang kau buat silap, Ariff. Aku tak hairan langsung pasal kau nak bertunang dengan Sharina.” Wan Mukriz ketawa perlahan. Lucu melihat kebodohan yang sedia terpamer pada diri Wan Ariff.
Wan Ariff pegang pintu dengan kuat, berusaha untuk menyabarkan perasaannya.
“Soal perempuan, soal harta, tu semua perkara lapuk. Janganlah jadi terlalu bodoh dengan fikir benda yang bukan-bukan. Sepatutnya kau kena fikir macam mana nak memajukan lagi syarikat atuk daripada kau fikirkan soal aku. Tak gitu, Wan Ariff?” Wan Mukriz tentang pula wajah Wan Ariff dengan senyuman yang tersungging di bibir.
Sepantas itu Wan Ariff tarik kuat pintu bilik Wan Mukriz. Sakit hatinya kian menjadi-jadi disindir begitu. “Kau tengoklah nanti, Mukriz. Kau tak kenal siapa aku lagi.
Aku akan pastikan kau rasa menyesal sebab balik. Kalau tidak, kau jangan panggil aku Ariff!” kata Wan Ariff sambil berlalu pergi. Mulai sekarang dia akan berusaha lebih keras lagi untuk memenangi hati Haji Wan Mohsin dan juga Encik Wan Amran. Dia akan lakukan. Itu tekadnya dan dia akan pastikan ia berjaya, bukan sekadar angan-angan kosong.
Wan Mukriz hanya tersenyum sinis. ‘Tak pernah berubah rupanya,’ desis hatinya kesal. |
|
|
|
|
|
|
|
Watak utama seorg lelaki sgt bagus... |
|
|
|
|
|
|
|
Teruskan letak n3 kat sini ... jgn terlalu lama berhenti....
intro menarik....
menunggu n3 seterusnya....
|
|
|
|
|
|
|
|
cantiknya cover
Last edited by qimi08 on 8-3-2013 10:23 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Kenapa fmily die tak suka kt die? Sian mukriz |
|
|
|
|
|
|
|
Wahhhh...dah masuk kat sini...bagus2....teruskan ye....chaiyok2!!! |
|
|
|
|
|
|
|
Best2 |
|
|
|
|
|
|
|
Wan Awliya Rayqal
Bab 2
NORA perhatikan alamat yang tertulis pada bungkusan yang harus sampai ke tangan si penerima sebelum pukul satu tengah hari. Sudah hampir sepuluh kali dia berlegar-legar mencari premis perniagaan yang menggunakan alamat tersebut, namun gagal.
“Eee... geramnya aku! Mana alamatlah manusia ni tinggal...” bebel Nora sambil matanya memerhatikan bangunan-bangunan berhampiran di mana dia memberhentikan motosikalnya. Waktu itu semuanya benar-benar menguji kesabarannya. Buat Nora berasap satu badan.
“Wei, hantu mana yang tulis alamat ni? Tak jumpa pun!” Nora menjerit sebaik sahaja panggilannya dijawab. Sudahnya terpaksa hubungi pejabat.
Wan Mukriz tergamam. Tiba-tiba sahaja dia dijerkah begitu. Pada hari pertama dia bekerja pula! “Errr… mintak maaf. Boleh cakap perlahan sikit? Saya kurang faham.” Wan Mukriz tergagap bersuara. Cemas juga dibuatnya. Mana tahu orang ‘tak cukup’ yang tersesat telefon pejabat penghantaran.
“Kita cakap bahasa Bangladesh ke sampai awak tak faham?” marah Nora lagi. Skema betul ayat yang digunakan oleh orang yang menjawab. Tidak pernah rasanya pejabat penghantaran guna bahasa Melayu tinggi. Semuanya guna bahasa pasar borong. Seperkara lagi, selepas Encik Mustafa berhenti, pejabat penghantaran semua didominasi oleh kaum perempuan. Mana sesat pula jejaka seorang ini?
Nak kata tu suara Abang Rosli geng budak gudang, tak pulak. Abang Rosli tu kalau dia pakai sari sekali pun, tetap orang kata dia jantan. Nora mula bingung.
“Tidak. Awak tak menggunakan bahasa Bangladesh. Awak masih bercakap dalam bahasa Melayu, tapi saya kurang faham apa yang awak cuba sampaikan,” suara Wan Mukriz masih lembut. Beralah.
Ah! Mamat ‘skema’ mana pulak ni...? Rimasnya! Bercakap macam peguam bela pulak. Mahu sahaja Nora ‘basuh’ cukup-cukup, tetapi disabarkan juga perasaan. Dia sudahlah panas, kena melayan mamat ‘skema’ pula. Lagilah buat badan Nora tambah berasap.
“Awak ni siapa? Kak nyonya mana? Mana mak cik tak guna tu pergi?” soal Nora lagi, geram. Lantaklah, mak cik ke, nyonya ke sama sahaja.
“Kak nyonya?” Wan Mukriz cuba mengingati kalau ada kakitangan di bahagian jualan yang berbangsa Cina.
“Kak Nurul, lah!” jerit Nora tanpa sabar bila Wan Mukriz masih teragak-agak. ‘Lembap betullah jantan ni!’
“Oh! Nurul. Dia pergi bilik air,” kata Wan Mukriz sambil tersenyum. Tidak tahu pula itu nama gelaran Nurul. Memang gadis itu putih melepak macam anak Cina.
“Ah! Kita balik ofislah kalau macam ni. Mati kau orang aku kerjakan nanti!” marah Nora sebelum mengakhiri perbualan.
Wan Mukriz tergamam. Agak kasar bahasa gadis tadi. Tetapi siapa dia? Salah seorang pekerja di sini?
“Siapa yang telefon, bos?” soal Nurul bila melihat Wan Mukriz termenung. Dia yang baru keluar dari bilik air agak hairan melihat wajah Wan Mukriz begitu. Ada yang tidak kenakah?
“Entah, tapi dia macam marah-marah. Mungkin awak dah salah tulis alamat. Sebab dia marah pasal salah alamat tadi,” jelas Wan Mukriz, memandang wajah Nurul yang memang ada gaya-gaya seperti nyonya.
“Aduh! Habis saya,” keluh Nurul.
“Kenapa?” soal Wan Mukriz. Wajahnya sudah menampakkan rasa ingin tahu yang menggunung.
“Itu mesti Nora. Habis saya macam ni. Bos, saya nak mintak cutilah. Saya nak balik. Teruk saya kena dengan Nora nanti.” Nurul mengeluh. Tahu benar kepantangan gadis bernama Nora Danisha itu. Jangan siapa-siapa salah tulis alamat, satu bakul kena sumpah dengannya.
“Yang awak risau kenapa? Bukankah saya ketua di sini?” Wan Mukriz cuba menyedapkan hati Nurul walaupun sebenarnya dia juga rasa sedikit cemas.
“Jangankan bos, datuk bos pun dia tak takut. Habis diamuknya satu ofis ni,” kata Nurul lagi.
Wan Mukriz masih senyum. Garang sangatkah gadis yang Nurul katakan itu sehingga wajahnya begitu cemas sekali? Segarang mana sekalipun, gadis itu masih bekerja di bawah Wan Mukriz. Wan Mukriz lebih berkuasa.
“Dia memang kerja di bahagian kita?”
“Hmmm, budak hantar surat dan dokumen syarikat,” kata Nurul lagi.
“Tapi kenapa tak diperkenalkan kepada saya?”
“Dia tu budak lagi, bos. Baru sembilan belas tahun. Kepala pun gila-gila. Suka hati dialah nak buat apa. Janji dia buat kerja. Bos kami dulu pun tak kisah. Sebab tu dia terbawa-bawa. Saya dah beritahu bos baru sudah datang, tapi dia buat tak tahu saja,” jelas Nurul.
Wan Mukriz terangguk-angguk. Mendapat sedikit gambaran tentang gadis yang menghubunginya sebentar tadi. Hmmm, kalau begitu... masih budak lagi. Padanlah darah mudah menggelegak.
“Bos, kejap lagi ada meeting di pejabat tuan haji,” beritahu Farah, setiausaha di bahagian penghantaran.
Wan Mukriz cuma angguk tanpa bersuara. Apa pun yang berlaku, Wan Mukriz hendak menanti juga gadis kepala angin itu. Ingin melihat segarang mana wajahnya.Suasana jadi sepi seketika. Masing-masing dengan kerja sendiri.
“Bos, meeting dah mula.” Sekali lagi Farah mengingatkan Wan Mukriz. Panggilan daripada setiausaha pejabat Haji Wan Mohsin buat kali kedua membuatkan Wan Mukriz sedikit terganggu.
“Kejaplah,” jawab Wan Mukriz ringkas. Peduli apa dia!
“KAK NYONYA mana?” jerit Nora sebaik sahaja sampai.Nurul cuba menyorokkan mukanya dengan kalendar meja. Takut campur nak gelak. Takut sebab sah kena marah, nak gelak sebab gaya Nora yang ala-ala tomboy itu.
“Dah, jangan nak menyoroklah. Muka pun besar talam, nak menyorok bagai!” kata Nora bila nampak Nurul cuba sorok muka dengan kalendar meja.
Wan Mukriz tahan gelak. Lawak rupanya. Ingatkan tadi garang sangat!
“Tak guna betul! Akak ni sekolah ke tidak?” serang Nora. Langkah rancak menghala ke meja Nurul.
Farah cuit bahu Wan Mukriz dan berbisik perlahan. “Bos, lebih baik kita beredar. Kalau tidak, dengan kita-kita sekali jadi mangsa.”
Wan Mukriz tidak berganjak. Dia mahu lihat sendiri suasana itu. Agak meriah. Terhibur juga hatinya yang sejak tadi dikelilingi oleh suasana yang serius.
“Duduk dalam air con pun boleh salah tulis? Bukan duduk bawah pokok. Yang Nora ni berhujan berpanas naik motor.” Nora duduk berhampiran meja Nurul dan menyilangkan kaki di atas meja. Gaya ala-ala samseng. Sampul surat yang dikatakan tersalah tulis alamat itu dicampak ke atas meja Nurul.
“Akak salin balik alamat tu betul-betul. Lepas tu akak hantar surat tu sendiri. Surat tu top urgent. Bos kat atas tu nak surat jemputan tu sampai hari ni jugak.” Nora memberi arahan pula. Kemudian dengan perlahan Nora membuka topi keledarnya.
Hmmm… seraut wajah itu Wan Mukriz tatap. Subhanallah, comelnya dia! Mata bulat. Pipinya gebu. Bibirnya seperti warna merah jambu dan kebasahan, cuma sayangnya rambut pendek serupa lelaki.
“Eleh, salah satu huruf aje. Itu pun nak bising. Akak salah tulis jalan je. Bukan jauh jugak pun. Bunga Matahari. Akak tertulis Bunga Matahati. Itu je. Yang Nora angin sangat ni kenapa?” Nurul berani-berani ayam menjawab.
“Akak tanya lagi Nora angin kenapa? Cuba akak bawak motor sekali. Tak payah jauh. Dari sini sampai Bangsar. Nora nak tengok akak boleh pergi ke tidak. Entah-entah tak sampai Bangsar akak dah ada bawah lori.” Suara Nora hampir kedengaran di seluruh pejabat. Lantang dan kuat.
“Hmmm… mulut perempuan ni memang tak ada insurans langsung,” bebel Farah perlahan.Wan Mukriz tergelak kecil. Meriah sungguh suasana pejabat bahagian penghantaran. Rasanya hanya mereka bertiga sahaja perempuan di bahagian ini tetapi kecohnya macam pasar pagi.
“Alah, sayang. Masalah sikit je. Nanti gaji akak belanja Nora makan KFC. Janganlah marah. Akak tulis semula, okey!” Nurul mendekati Nora. Digosok perlahan belakang Nora dengan mesra. Untuk memujuk kononnya.
“Kak Farah jadi saksi. Gaji nanti Kak Nurul nak belanja makan KFC. Nora nak jenis yang ada tiga puluh dua ketul. Akak ingat tu. Kalau mereka bagi mainan free, Nora punya,” kata Nora kepada kedua-dua temannya.
“Akak tak nak jadi saksi sebab kau orang berdua memang jenis tak boleh pakai,” jawab Farah selamba tanpa memandang kedua-duanya seraya menyambung semula tugasnya.
Wan Mukriz tersenyum lagi. Nora? Namanya Nora? Nora saja?
“Hoi! Kau nak makan ke nak melantak?” Nurul bercekak pinggang.
“Akak nak suruh Nora hantar ke tidak?”
“Okey, okey. Akak janji!” Nurul gelak perlahan.Nurul segera membetulkan alamat pada surat jemputan tersebut. Malas melayan kerenah Nora. Bimbang juga kalau Nora bertegas tidak mahu mengirim surat itu. Sebelum dia ubah fikiran, lebih baik Nurul ikutkan sahaja kemahuan Nora.
“Oh ya! Sebelum Nora pergi tu akak nak kenalkan, inilah bos baru kita... Encik Wan Mukriz. Tu pasal akak suruh Nora tunggu tadi. Nora degil.” Farah memperkenalkan Wan Mukriz yang Nora sendiri tidak sedar akan kehadirannya.
“Wan Mukriz Asraf bin Wan Amran.” Wan Mukriz perkenalkan diri.
“Nora Danisha.”
Wan Mukriz senyum. Hmmm, sedap namanya. Nora Danisha. Orangnya tidaklah sebesar mana. Kecil molek, tetapi suaranya di talian alahai, anak gergasi pun kalah.
“Bos yang jawab panggilan Nora tadi?” soal Nora. Dijeling juga lelaki yang baru bergelar bos itu. Emmm... ada rupa, paras kurang, putih dan nampak manis juga. Bolehlah.
“Hmmm….” Angguk Wan Mukriz.
“Maaflah. Nora ingat Bangla mana tadi yang tak faham bahasa Melayu.” Nora ukir senyum tawar. Betul juga kata orang, terlajak perahu boleh diundur-undur, terlajak kata, buat bodoh ajelah. Nasib baiklah lelaki bergelar bos itu tidak menghamburkan kata-kata yang kurang menyenangkan. Kalau tidak, lagi panaslah badan Nora yang sudah sedia panas ketika itu.
Sekali lagi Wan Mukriz rasa dia terkena. Bicara bersahaja Nora memang seperti mahu menyindir Wan Mukriz. Tetapi yang anehnya, sedikit pun hati Wan Mukriz tidak terasa. Bahkan lebih selesa begitu. Mampu juga buat Wan Mukriz tersenyum tanpa dipaksa-paksa. Ah! Lama benar dia tidak menikmati rasa gembira. Dan pagi ini dia mula senyum kembali.
“Tak sayang mulut betul perempuan ni,” kata Farah sambil menggeleng.Wan Mukriz terpanggil untuk memandang Farah. Dan kemudian Wan Mukriz tersenyum kepada Farah.
“Sesedap mulut dia nak cakap apa,” tokok Farah sambil memandang Wan Mukriz juga. Mujurlah bos mereka itu seorang lelaki yang agak pemalu dan serba pendiam. Mungkin langsung tidak kisah digelar Bangla. Kalau lelaki lain rasanya hari ini adalah hari terakhir Nora bekerja di situ.
Wan Mukriz tidak henti-henti tersenyum. Susah untuk dia percaya di dalam dunia ini ada juga perempuan jenis begini. Makin tidak percaya bila dia boleh banyak tersenyum walau baru beberapa jam sahaja di pejabat ini. Selama ini bukan mudah untuk dia tersenyum. Ya, dia akui senyumannya sememangnya amat mahal.
Nurul menyerahkan semula surat yang sudah dibuat pembetulan kepada Nora.
Nora sambut dengan menampar belakang Nurul. “Dapat gaji jangan lupa KFC,” kata Nora selepas itu.
Nurul buat tidak tahu. Sudah terbiasa dengan perangai selamba Nora.
“Nora pergi dulu,” kata Nora lagi sambil memakai topi keledar semula. Secepat itu Nora hilang daripada pandangan mereka.
“Bos tak pergi meeting?” Farah cuba mengingatkan Wan Mukriz yang kelihatan seperti tergamam.
“Allah! Saya terlupa.” Wan Mukriz bergegas berlari menuju pintu. Di pertengahan jalan dia terlanggar Nora.
“Wei, agak-agaklah. Jalan pakai lesen L ke?” tegur Nora dengan suara yang agak kuat tanpa melihat wajah orang yang melanggarnya.
“Maaf.” Wan Mukriz tersenyum.
“Oh! Bos, maaflah.” Nora sedikit terperanjat. Orang yang diherdik sebentar tadi rupanya bos sendiri. Ingat tadi budak gudang yang suka cari fasal dengannya.
Wan Mukriz ketawa kecil pula selepas itu. Lucu melihat tingkah gadis yang bernama Nora Danisha itu. Kerana sudah kesuntukan masa, sebenarnya sudah terlalu lewat, Wan Mukriz terus berlari dengan pantas menuju bilik mesyuarat. Tahu ramai yang sedang menantikannya memandangkan hari ini hari pertama dia bertugas di syarikat datuknya.
Tiba di bilik mesyuarat, Wan Mukriz lihat semua sudah sedia menunggu. “Maaf, maaf,” ujarnya kemudian. Wan Mukriz duduk di sebelah Encik Wan Amran. Kemudian Encik Wan Amran tepuk bahu Wan Mukriz perlahan sambil tersenyum. Kasihan pula melihat anaknya itu termengah-mengah.
Dari tempat duduknya, Wan Ariff sekadar menjeling Wan Mukriz dengan perasaan berbuku. Kalau ikutkan hati Wan Ariff, mahu sahaja dia tinggalkan mesyuarat itu. Sakit hati melihat layanan istimewa yang diterima Wan Mukriz daripada ayah mereka.
Haji Wan Mohsin juga menjeling Wan Mukriz yang kelihatan termengah-mengah. Nampak seperti penat. Namun tidak mahu menegur kerana hari itu merupakan hari pertama Wan Mukriz memulakan kerja. Mungkin belum biasa.
“Dalam syarikat ni ada peraturan. Ada undang-undang. Kalau rasa-rasa tak boleh nak ikut, baik jangan kerja di sini. Buat menyusahkan orang saja.” Tiba-tiba Wan Ariff bersuara. Sengaja hendak menyakiti hati Wan Mukriz bila merasakan kelewatan Wan Mukriz tiada siapa mahu menegur.
Wan Mukriz buat tidak dengar. Seperti sindiran itu bukan ditujukan kepadanya. Alah bisa tegal biasa. Sudah tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Alah, sejak kecil memang itu sahaja makanannya, mengada-adalah kalau sudah sebesar ini mahu terasa hati pula. Malah kalau Wan Ariff hendak menyindir sampai ke petang pun, sindirlah sesuka hati. Tak ada apa yang luak pun.
“Riz bukankah masih baru. Biarlah dia biasakan dulu dengan keadaan. Bukan lewat sampai berjam-jam,” kata Encik Wan Amran. Wajah Wan Ariff langsung tidak dipandang. Tahu Wan Ariff hanya mahu mencari salah Wan Mukriz sahaja.
Wan Ariff mengetap bibir, geram. Dadanya serasa berbahang panas. Jawapan daripada Encik Wan Amran itu bersifat berat sebelah. Mahu menangkan anak kesayangannya sahaja.
“Baiklah. Semuanya sudah ada. Kita mulakan sekarang.” Haji Wan Mohsin mula bersuara. Cuba menjernihkan keadaan yang sentiasa keruh itu. Kalau dibiarkan, mahu berpanjangan pula sedang Haji Wan Mohsin sendiri tidak tahu untuk berpihak kepada siapa. Kedua-duanya itu tetap cucunya. Dari itu lebih baiklah dia mulakan sahaja mesyuarat mereka.
Banyak isu berbangkit dan semua untung rugi syarikat dibentangkan untuk diberi perhatian kepada semua yang menghadiri mesyuarat tersebut.
Dalam kesungguhan Wan Mukriz memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap minit mesyuarat, wajah Nora mencelah juga. Mengusik dengan tingkah lucunya. Wan Mukriz sendiri tidak sedar kenapa dia boleh terbawa-bawa. Gadis berwajah comel itu cukup biasa dan amat sederhana. Langsung tiada ciri-ciri kewanitaan. Tetapi senyuman serta wajah comelnya siapa yang boleh lupa. Lebih-lebih lagi dengan tutur bicaranya yang bersahaja mampu merubah suasana. Wan Mukriz senyum sendirian bila teringat gelaran “Bangla” yang diberikan kepadanya. Calang-calang orang siapa yang berani memberi gelaran begitu kepada seorang ketua. Tambahan pula ketuanya itu cucu majikannya sendiri. Gembira sungguh dapat berkenalan dengan gadis ceria itu.
Last edited by PeminatNovel on 9-3-2013 12:45 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiba-tiba Wan Ariff terpandang wajah Wan Mukriz yang sedang mengukir senyuman. Wan Ariff seperti melihat wajah lelaki yang begitu gembira dan nampak bahagia. Kenapa Wan Mukriz boleh memiliki perasaan begitu sedangkan dia sendiri sedia maklum gadis yang suatu ketika dulu menjadi kegilaan Wan Mukriz bakal bertunang dengannya? Apa yang menyebabkan Wan Mukriz langsung tidak kecewa? Atau Sharina sudah bermain kayu tiga? Masih menjalin hubungan dengan Wan Mukriz? Wan Ariff pandang pula Sharina yang sedang tekun mendengar penerangan Haji Wan Mohsin. Kalau betul, nahas kedua-duanya.
“Hmmm Riz, bagaimana kerja di bahagian penghantaran, sesuai?” soal Haji Wan Mohsin, sekali gus mematikan lamunan Wan Mukriz. Bermakna mesyuarat hari itu sudah berakhir dan ini juga bermakna Wan Mukriz tidak mendengar apa-apa berkaitan mesyuarat tadi. Fikirannya ternyata sudah melayang jauh. Seketika dia tertanya-tanya sendiri. Cuba menyalahkan diri sendiri kerana membiarkan perasaan diganggu dengan perkara yang bukan-bukan.
“Tak ada apa-apa masalah, tok. Setakat ini tak ada sebarang masalah yang besar. Semuanya masih boleh diatasi,” jawab Wan Mukriz.
“Baguslah kalau begitu. Atuk nak Riz belajar semuanya,” kata Haji Wan Mohsin lagi.
“Insya-Allah. Saya akan lebih berusaha di masa akan datang,” ujar Wan Mukriz dengan wajah kembali serius. Nora, mahu dilupakan seketika. Nanti-nanti boleh sambung ingat dia, bisik hati lelakinya sendiri.
“Alhamdulillah. Lega atuk dengar,” kata Haji Wan Mohsin sambil menepuk perlahan bahu Wan Mukriz. Bukan Haji Wan Mohsin tidak sedar akan ketidakadilan dalam melayan Wan Mukriz selama ini, namun apakan daya. Haji Wan Mohsin terpaksa akur terhadap kehendak Hajah Zakiah walaupun jelas-jelas menunjukkan betapa gagalnya dia menjalankan tugas sebagai seorang datuk dan ketua keluarga.
Wan Mukriz angguk. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyenangkan hati Haji Wan Mohsin selepas ini. Apa pun yang bakal berlaku kelak, dia akan bertabah dan tidak akan merungut apa-apa lagi.
Sebaik sahaja semuanya selesai, Wan Mukriz cepat-cepat bangun. Sudah naik kebas punggungnya kerana duduk terlalu lama. Dia melangkah perlahan tanpa menunggu sesiapa. Terasa lega sedikit.
“Eh! Riz, bila awak balik?” soal Sharina bila sama-sama beriringan keluar dari bilik mesyuarat.Wan Mukriz menoleh untuk memandang suara yang menegurnya. “Kelmarin. Tak tahu ke?” soal Wan Mukriz pula. Wan Mukriz sendiri tidak sedar akan kehadiran Sharina di dalam bilik mesyuarat tadi. Nampaknya Sharina masih tidak berubah. Tetap cantik. Dan kini baru dia sedar, Sharina sangat padan buat Wan Ariff.
“Tak ada orang beritahu pun,” kata Sharina tetapi matanya mencari Wan Ariff.
“Hmmm… yalah. Saya sedar siapa saya. Pergi tak dinanti, pulang tak dialu-alukan,” kata Wan Mukriz, mahu berseloroh. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Sharina. Kalau boleh mahu bergurau seperti dulu.
“Errr, lain kali kita berbual lagi ya. Nak jumpa Ariff kejap. Ariff!” Sharina sedikit menjerit memanggil Wan Ariff dan dia mengejar Wan Ariff selepas itu.
Wan Mukriz memandang sahaja tingkah Sharina. Dulu mereka sangat rapat. Dan rasanya terlalu rapat. Namun kini ternyata Sharina sudah jauh berbeza. Mungkin kerana kedudukan Wan Ariff yang agak stabil di syarikat membuatkan Sharina lebih selesa memilih untuk bersama Wan Ariff.
Wan Mukriz mengeluh panjang. Namun dia tersenyum juga. Manusia hidup berasaskan banyak perkara. Keselesaan juga asas utama. Wan Mukriz tidak menyalahkan Sharina seratus peratus dalam perkara tersebut. Sebagai manusia, Sharina berhak untuk memilih yang terbaik buat dirinya. Dan mungkin pilihan Sharina kali ini adalah yang tepat. Apa pun Wan Mukriz berharap diberi peluang untuk menyedarkan Sharina sebelum terlambat.
Wan Mukriz benar-benar ingin memberitahu Sharina bahawa sesungguhnya gadis itu sekadar dipergunakan sahaja. Wan Mukriz begitu mengenali hati budi abangnya. Sekalipun mereka berbeza ibu, namun dari segi pertalian, Wan Ariff tetap sebagai abang. Walaupun hubungan itu tidak diakui sendiri oleh Wan Ariff, Wan Mukriz tahu hanya dia yang lebih memahami Wan Ariff. Wan Ariff bukanlah bersungguh dengan Sharina. Sekadar untuk berebut dengannya sahaja. Sudahnya Sharina akan ditinggalkan kelak.
Wan Mukriz tarik nafas panjang. Tidak tahu bagaimana dengan nasib Sharina kemudian nanti.
“AKU tak suka kau bercakap dengan budak tak tahu diuntung tu. Sekali lagi aku nampak kau bercakap dengan dia, kau tahulah apa aku nak buat,” marah Wan Ariff. Rasa marahnya membuak bila melihat Sharina berbual dengan Wan Mukriz.
“Sha tanya khabar dia saja sebab Sha tak tahu pun dia dah balik Malaysia. Itu pun salah ke?” soal Sharina dengan manja. Cemburu juga rupanya. Ingatkan tidak cemburu tadi. Cemburu tandanya sayang. Suka Sharina kalau betul Wan Ariff cemburu.
“Memang salah, dan aku tak suka. Kau faham ke tidak? Aku tak suka kau bercakap dengan dia, apatah lagi rapat. Kau faham ke tidak?” tengking Wan Ariff pula sambil memandang Sharina dengan pandangan tajam. Marah yang terbawa-bawa dari bilik mesyuarat lagi sudah dilampiaskan kepada Sharina.
Sharina tidak terkata. Perasaannya tersentap bila dimarahi begitu. Sangkanya sekadar cemburu, rupanya benar-benar marah. Tahu benar akan sikap panas baran Wan Ariff.
Pantang silap sedikit, pasti ada sahaja yang tidak kena. Salah dia juga, sudah tahu Wan Ariff itu begitu, masih mahu menyapa Wan Mukriz. Menyesal sungguh Sharina kerana telah membangkitkan kemarahan Wan Ariff.
“Kau kena pilih, Sharina. Kalau kau pilih aku, kau dengar cakap aku dan jangan sesekali buat perkara yang aku tak suka. Tapi kalau kau pilih budak tak guna tu, kau boleh pergi. Aku tak kisah,” ugut Wan Ariff.
“Ariff, kenapa cakap macam tu? Bukan ke sejak awal lagi awak tahu siapa pilihan Sha? Kenapa nak persoalkan kejujuran Sha? Tadi tu Sha sekadar bertanya khabar saja, tak lebih daripada tu. Berapa kali Sha nak beritahu, Sha dengan Riz memang tak ada apa-apa hubungan? Kenapa susah sangat nak percaya?” Sharina mula berang apabila kesetiaannya diragui. Sedangkan Wan Ariff sendiri sudah jelas siapa yang menjadi pilihan Sharina ketika itu. Masih juga dipersoalkan.
Wan Ariff tidak jawab, terus sahaja melangkah pergi. Dia masih marah dan rasanya marah Wan Ariff akan menjadi bertambah marak nanti. Wan Ariff yakin kepulangan Wan Mukriz kali ini ada agenda tersendiri. Wan Ariff pasti benar akan itu. Namun tidak semudah itu untuk dia mengalah. Dia akan pastikan Wan Mukriz akan berputih mata kali ini.
Bab 3
PAGI nan indah. Hari itu Nora tidak sabar-sabar mahu ke pejabat. Selalunya tidak begitu. Memang malas amat mahu ke tempat kerja. Tetapi sejak akhir-akhir ini lain macam betul semangatnya. Rasa tak sabar-sabar mahu ke tempat kerja. Kalau boleh Nora nak tidur dalam pejabat sahaja.
Ah! Kenapa semuanya seperti berbunga-bunga saja? Pelik ni! Nora mana pernah macam ni. Ke dia dah gila? Lah, kenapa kejap ini jugak dia nak dengar lagu Hindustan? Nora senyum sendiri.
Oh, lupa! Sekarang ini di tempat kerja ada seorang lelaki. Lelaki yang kurang kacak, tetapi segak. Macam mana tu? Kurang kacak tetapi segak? Ah, apa-apa ajelah. Akan tetapi lelaki kurang kacak itulah yang menjadi bualan hangat pekerja perempuan sekarang ini. Kata mereka, lelaki itu ada senyuman yang boleh buat bongkah ais Kutub Utara jadi cair. Puas juga Nora hendak faham, akhirnya dia akui bila petang semalam ketika bersiap mahu pulang, lelaki kurang kacak itu tersenyum kepadanya. Memang cair perasaan Nora waktu itu. Dan disebabkan senyuman itulah, semangat Nora jadi lain macam hari ini.
Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, Nora toleh kereta yang berhenti betul-betul bersebelahan motosikalnya. Masa itulah Nora nampak pemandunya buat tanda peace. Rasa macam hendak gugur jantung. Cermin tingkap kereta diturunkan dan jejaka itu jengah muka.
“Selamat pagi!”
Mulut Nora terbuka sedikit. Tidak tahu hendak cakap apa. Ketika itu lampu isyarat sudah bertukar warna hijau, tanpa berlengah dia terus pecut sambil bawa perasaan tidak tentu arah. Tidak pernah rasa dia rasa seperti ini. Wajah jejaka di dalam kereta tadi seperti menumpang sama dalam kepala Nora. Terkenang-kenang, terbayang-bayang.
Oi Nora! Jangan berangan! Selamba je kang kau cium buntut kontena, jerit suatu suara dalam dirinya.
Ya, ya, aku sedar ni... balas Nora sendiri. Serius lelaki itu kurang kacak tetapi senyumnya manis taraf tak ingat. Aduhai….
TIBA di pejabat, Wan Mukriz dapati hanya Farah dan Nurul yang ada di pejabat. Nora tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin Nora sudah tiba awal dan sekarang sudah memulakan tugas penghantaran dokumen penting atau ada surat-surat yang perlu dipos segera. Jauh di sudut hati Wan Mukriz benar-benar berharap agar Nora akan segera muncul di pejabat. Biar pejabat yang serba sunyi itu kecoh dibuatnya. Biarlah dia hendak bertekak atau menjerit sekalipun, dia tidak akan ambil peduli. Dia sudah puas hidup di dalam serba kesunyian. Lantaran itu dia inginkan pejabat itu ceria seperti ketika adanya Nora. Sekalipun Nora akan memanggilnya dengan apa juga gelaran, Wan Mukriz juga tidak akan ambil hati.
Seumur hidup belum pernah perasaannya terusik begitu, kali ini biarlah dia menikmati hidup sebagai manusia yang hidup dalam kelompok yang benar-benar bergelar manusia.
Hendak diharapkan Farah dan Nurul bergurau senda seperti Nora, mungkin payah. Kedua-dua gadis itu agak serius. Langsung tidak serupa dengan Nora.
“Nora tak masuk ofis?” soal Wan Mukriz.
“Dah, dia kena hantar surat jemputan. Kejap lagi dia masuk ofis semula,” jawab Nurul.
“Selalunya bila dia masuk ofis?”
“Tak tahulah. Tak boleh nak agak. Tahu-tahu ajelah budak Nora tu. Bukan boleh pakai sangat. Buatnya dia pergi melepak dengan geng-geng dia, memang tak balik ofislah jawabnya,” jelas Nurul.
“Boleh pulak macam tu?” Hairan juga Wan Mukriz. Buat seperti ofis bapak sendiri aje. Suka-suka hati nak buat apa. Aku, cucu tuan punya ofis pun tak seberani dia....
Nurul senyum separuh. Hendak buat macam mana. Sudah macam itu perangai Nora sejak dulu. Ikut kepala dia sahaja. Mana boleh sorok-sorok. Karang lagi banyak masalah yang timbul kalau dia cuba berbohong untuk melindungi kesalahan temannya itu.
Wan Mukriz cuba fokus pada kerjanya semula. Namun hatinya tidak di situ. Hanya separuh sahaja tumpuannya di situ, manakala separuh lagi asyik teringatkan Nora. Apa dah jadi ni? Kenapa sejak hari tu asyik ingat dia? Sikit pun tak boleh lupa sampai terbawa-bawa ke bilik tidur. Haru macam ni.... Dia mengeluh sendiri sudahnya.
“Selamat pagi semua!” Nora jerit dari muka pintu. Dia nampak Wan Mukriz angkat kepala sambil pandang ke arahnya dengan pandangan tajam. ‘Kenapa pandang aku macam tu? Aku dah salah sebut ke tadi? Aku ada sebut selamat petang ke?’ soal Nora dalam hati. Kalau tidak disebabkan hendak pandang muka itu, tidak mahunya Nora balik awal ke pejabat. Mahu petang karang baru dia balik. Kan separuh syer ofis ni bapak dia punya! Heheh.
“Selamat pagi, bos. Bos handsomelah pagi ni.” Nora angkat tangan. Buat selamba, walau dalam dada ada seribu rasa.
“Selamat pagi. Saya memang hari-hari handsome,” balas Wan Mukriz. Mahu berseloroh sama. Apa, dia serupa tunggul kayu yang tidak tahu berseloroh? Namun jawapan daripada Wan Mukriz itu sudah mengundang rasa tanda tanya buat Nurul dan Farah. Biar betul bos boleh jawab macam tu? Sedangkan sebelum ini masing-masing sedia maklum akan perangai Wan Mukriz. Serba diam dan pemalu. Kena dengan Nora, bukan main ramah lagi.
Mata Nora tak sudah memandang wajah Wan Mukriz. Ah, perasan pulak bos mata sepet ni. Baru puji sikit dah perasan habis. Tapi seriuslah, dia memang tak kacak tapi tak jemu pulak untuk dipandang.
Nora terus ke meja Nurul tanpa mempedulikan Wan Mukriz. “Selamat pagi, kak.” Nora peluk bahu Nurul dan cium pipi gebunya.
“Ah! Gelilah….” Nurul tolak pipi Nora perlahan.
“Mimpi apa Nora masuk pejabat hari ni? Menang loteri?” Farah bertanya dari tempat duduknya
“Iyalah, nampak semacam aje.” Nurul tolak badan Nora. Rimas dipeluk begitu.
“Hari hujan. Tak boleh keluar.” Nora beri alasan. Takkan hendak cakap mahu tengok muka bos yang kurang kacak tu! Mahu kena gelak satu hari nanti. Jadinya terpaksalah Nora buat macam biasa.
“Oh! Sukalah kalau hari hujan,” kata Nurul lagi.Tanpa membalas kata-kata Nurul, Nora ke meja Farah pula. “Wah! Cantiklah Kak Farah hari ni. Macam bidadari.” Nora mencari fasal dengan Farah pula.
“Eh! Akak memang hari-hari cantik. Nora baru perasan?” jawab Farah sambil menjeling tajam. Budak ini aku bagi sebijik karang. Tak sedar ke ada bos tu? Geram sahaja Farah dibuatnya.
Nora mencebik. Dasar tak boleh dipuji. Kembang setaman. Nora melangkah pula ke tempat Wan Mukriz.
“Ada apa-apa yang boleh Nora bantu bos?” tanya Nora sebaik sahaja menghampiri meja Wan Mukriz. Wajah lelaki itu Nora tatap. Mencari di mana letaknya kurang kacak itu.
Matanya sepet. Rambutnya lurus. Nora kurang pasti sama ada pagi ini Encik Wan Mukriz ini sikat rambut ataupun tidak. Kedudukan rambutnya sama sahaja seperti semalam.
|
|
|
|
|
|
|
|
Lawak betul! Karang kalau dia bantai gelak, sah dituduh kurang ajar. Tetapi memang lawak. Rambut Aliff Aziz pun kalah kalau macam ni. Emmm, mungkin hanya hidungnya saja yang istimewa sikit kut. Taklah sekembang mana. Masih ada mancungnya. Eh, pasal apa aku sibuk sangat mencari kurangnya lelaki ni? Tak pentingkan? Tetapi, itulah yang Nora buat ketika itu.
“Tak ada apa-apa yang boleh Nora bantu,” jawab Wan Mukriz. Suaranya macam tidak keluar sahaja. Seperti tersangkut di kerongkong. Rasa berdebar semacam. Tetapi seronok pun ada. Serius, hatinya memang terlonjak suka bila terpandang Nora tadi.
“Tolong tengok boleh?” soal Nora bersahaja. Nora nampak Wan Mukriz tersenyum.
‘Murah betul senyuman dia. Memang cantik. Jangan kata bongkah ais, bongkah batu gunung pun boleh hancur kalau macam ni,’ desis hati Nora.
‘Eh, Nora jangan buat lawak boleh? Tu bos awaklah. Jangan nak melebih!’ Mujur ada suatu suara halus entah dari sebelah mana di hatinya yang tolong ingatkan Nora, kalau tidak memang entah ke mana lepasnya Nora menerewang.
“Hesy! Buat lawak pulak,” kata Wan Mukriz perlahan. Senang hati.
“Woi budak kecik, kau ingat hari hujan kau boleh melepak sesuka hati? Kerja dalam gudang tu berlambak.” Abang Rosli menjerit dari muka pintu dengan tiba-tiba.
“Abang Rosli ni memang tak senang langsung tengok orang relaks sikit, ada aje nak suruh buat kerja. Dengki tak habis-habis,” ujar Nora namun dia masih tidak berganjak dari tempatnya tadi. Masih tekun meneliti wajah Wan Mukriz.
“Eh! Kau ingat syarikat ni nenek moyang kau punya? Bos anak tauke pun tak macam kau ni,” balas Abang Rosli.
“Bos tak cakap apa pun,” jawab Nora.
“Habis kalau bos tak bercakap maknanya dia tak marah?” Abang Rosli masih tidak berpuas hati bila Nora masih tidak berganjak.
“Yalah, yalah... sekejap lagi Nora datang.” Nora mengeluh. Dia melangkah perlahan menuju ke pintu.
“Hah! Padan muka.” Farah pula mengusik.
Nora langsung tidak mengendahkan kata-kata Farah.
Wan Mukriz sedikit kecewa. Marah juga kepada Abang Rosli kerana memanggil Nora tadi. Dada Wan Mukriz masih diasak debaran. Perasaannya juga belum puas untuk dihuru-harakan. Apa salahnya Nora berada lebih lama lagi di pejabat? Apalah sangat kerja di bahagian gudang itu. Bukankah masih ramai pekerja lain, namun kenapa Nora juga yang dicari? Kurang senangkah melihat Nora berlegar-legar di pejabat Wan Mukriz? Sakit hati sangatkah melihat Nora berdiri di hadapannya? Semua soalan itu berhimpun di benak Wan Mukriz membuatkan dia benar-benar tidak senang hati. Nafasnya masih turun naik. Dan jantungnya…
Spontan Wan Mukriz letak tangan di atas dadanya. Kenapa dengan jantungnya kali ini? Kenapa berdenyut tidak seperti selalu?
“Kerja berkira, kalau rehat tak pulak nak berkira!” Abang Rosli tolak badan Nora sebaik sahaja Nora tiba di muka pintu.
“Abang Rosli pun sama.” Nora tolak pula badan Abang Rosli.Dari jauh Wan Mukriz hanya melihat mereka saling tolak-menolak sambil bergurau. Gurauan mereka memang kasar. Kalaulah Wan Mukriz juga boleh begitu... Kalaulah Nora juga menolak badannya seperti dia menolak Abang Rosli... Kalaulah Nora boleh bergurau dengannya seperti dia bergurau dengan teman lain... Kalaulah Nora boleh memeluk bahunya seperti dia memeluk bahu Nurul... Dan kalaulah semua kalau itu boleh terjadi, rasanya Wan Mukriz lebih rela jadi kuli. Biar setaraf dengan mereka yang Nora senangi. Biar tidak bergelar bos. Biar tidak bergelar cucu orang kaya, Wan Mukriz rela. Asalkan Nora lakukan semua itu kepadanya.
“Bos, saya harap bos jangan berkira sangat dengan budak Nora tu. Dia tu masih mentah lagi. Fikiran tak matang. Dia anggap semua orang kawan-kawan dia. Saya rasa dengan bos pun dia akan anggap begitu. Jadi, janganlah bos berkeras sangat dengan dia,” ujar Farah ketika menyerahkan beberapa dokumen yang memerlukan pengesahan daripada Wan Mukriz.
Wan Mukriz pandang wajah Farah. “Saya tak kisah. Saya biasa saja. Janji awak semua buat kerja masing-masing. Yang lain tu suka hatilah nak buat apa,” jelas Wan Mukriz tentang sikapnya.
“Bukannya apa bos, kami cuma bimbang bos tak faham dengan perangai Nora. Walaupun macam tu, Nora tu sensitif sangat. Mudah terasa. Kuat merajuk. Hidup dia senang. Kalau kena tegur sikit, dia mula cari kerja lain. Kalau dia tak ada, pejabat ni sunyi sangat. Kita anggap saja dia tu macam badut. Badut yang boleh menceriakan suasana.” Nurul menokok. Cuba menyokong pendapat Farah.
Wan Mukriz senyum. Baru dia tahu kenapa Nurul dan Farah saling berubah wajah setiap kali Nora muncul di pejabat. Mereka bimbangkan sesuatu rupanya. “Jangan bimbang. Saya pun senang jugak dengan sikap dia tu.” Wan Mukriz akui kebenaran itu. Siapa lagi yang mampu membuatkan dia tersenyum dan ketawa kalau tidak budak seorang itu. Dan yang lebih penting ialah, sebelum ini tiada siapa yang berani cuba-cuba untuk mengusik hatinya. Aneh sungguh perasaan manusia. Suka benar kepada perkara yang bukan-bukan.
Wan Mukriz menyambung tugasnya yang terhenti gara-gara Nora sebentar tadi. Kemudian dia bangun. “Kalau ada sesiapa cari saya, beritahu saya ada di bahagian gudang,” kata Wan Mukriz kepada Farah sebelum beredar. Langkahnya dipercepatkan. Bagai ada sesuatu yang istimewa menanti di sana.
Di luar, hujan turun mencurah. Mujur laluan menuju ke bahagian gudang berbumbung. Kalau tidak, mahu basah kuyup dibuatnya. Wan Mukriz tolak pintu masuk gudang. Sebaik sahaja terbuka, Wan Mukriz lihat beberapa pekerja yang bertugas di bahagian tersebut sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing.
Wan Mukriz melangkah. Setiap kali bertembung dengan pekerja lain, ucapan hormat diberikan kepadanya. Wan Mukriz balas juga dengan rasa hormat. Sambil itu matanya tercari-cari seseorang.
“Abang Rosli mana?” soal Wan Mukriz kepada seorang pekerja. Sebenarnya Wan Mukriz ingin sekali bertanyakan tentang Nora, namun yang menjadi penyelia di bahagian gudang bukan Nora, terpaksalah dia bertanyakan Abang Rosli. Agak ganjil kalau dia mencari Nora. Apa pula kata mereka nanti.
“Abang Rosli?” Pekerja itu juga tercari-cari. Didongakkan kepalanya agar lebih tinggi. “Di sana…” tunjuk pekerja tersebut ke arah Abang Rosli di penjuru dinding. Kelihatan Abang Rosli yang bertubuh sasa sedang bercekak pinggang mengarahkan sesuatu. Dan orang yang kena arah itu pula…
Ah! Wan Mukriz perlu segera ke sana.
“Terima kasih,” kata Wan Mukriz kepada pekerja tersebut sambil mula mengatur langkah. Ketika dia menghampiri Abang Rosli dan Nora, Abang Rosli sedang mengarahkan sesuatu.
“Lepas susun semua kertas, Nora susun pulak semua barang yang nak dilupuskan,” arah Abang Rosli.
“Itu kerja bahagian Abang Rosli. Nora tak kerja bahagian tu.” Nora cuba melawan.
“Kau melawan cakap aku, kau melawan?” Abang Rosli masih bercekak pinggang.
“Tak, tak, Nora pergi buat sekarang,” jawab Nora. Malas mahu bertekak. Sekalipun bertekak, belum tentu menang.
“Eh, bos!” kata Nora yang terperanjat melihat Wan Mukriz di belakang Abang Rosli.
“Bos,” Abang Rosli juga terperanjat.Wan Mukriz serahkan dokumen yang dibawanya kepada Abang Rosli.
“Bos tak perlu hantar sendiri. Saya boleh masuk pejabat nanti. Menyusahkan saja,” kata Abang Rosli sambil melihat isi kandungan dokumen tersebut.
“Terlanjur saya nak tengok sini, saya bawa sekali,” kata Wan Mukriz. Matanya menjeling Nora yang sedang menyusun timbunan kotak-kotak. Kasihan juga melihat gadis bertubuh kecil itu terpaksa membuat kerja berat. Walaupun hatinya berat untuk tinggalkan ruang gudang, mustahil dia boleh menunggu Nora di situ. Memang ganjil dilihat orang. Hendak atau tidak terpaksalah dia beredar juga.
Di luar, hujan masih sama. Masih mencurah-curah. Sudah hampir sebelas pagi namun hujan masih belum berhenti. Wan Mukriz berjalan agak cepat untuk mengelak tempias hujan mengena bajunya.
“Tepi, tepi…” pintas seseorang.
“Eh! Nora nak ke mana?” tanya Wan Mukriz.
“Apa lagi, nak hantar baranglah. Bos ingat Nora nak pergi shopping?”
“Hujan ni….”
“Kenapa? Bos nak ikut ke kalau tak hujan?”Wan Mukriz tersenyum. Cepat betul menjawab. “Tunggulah hujan berhenti dulu…” cadang Wan Mukriz.
“Hujan air, bukan hujan batu.”
“Menjawab pulak tu! Kalau demam siapa yang susah?”
Nora tersengih. Dia melangkah laju menuju ke tempat parkir motosikal tanpa menanti bebelan Wan Mukriz seterusnya.
“Hati-hati…!” jerit Wan Mukriz sudahnya sambil tersenyum juga. Nora angkat tangannya sebelum sekelip mata hilang daripada pandangan. Wan Mukriz masih berdiri di tempat dia melihat Nora tadi. Hujan yang mencurah tiba-tiba sahaja menggusarkan Wan Mukriz. Bagaimana gadis itu bermotosikal dalam keadaan begini? Keselamatannya tentu sahaja tidak terjamin. Dia bakal terdedah dengan pelbagai bahaya. Dan dalam rasa bimbang, Wan Mukriz memohon sesuatu. Memohon gadis itu tidak ditimpa kecelakaan. Namun apa yang paling penting, Wan Mukriz benar-benar bermohon dia akan melihat lagi senyuman gadis itu.
Setelah sekian lama tercegat di situ, Wan Mukriz masuk ke pejabat semula. Ingin menyambung semula kerja yang ditinggalkan sebentar tadi.
“Hujan lebat betul,” kata Wan Mukriz sebaik sahaja tiba di tempat duduknya.
Nurul menoleh memandang bos mereka. Kemudian dia kembali dengan kerjanya.
“Bos, jangan lupa jamuan makan malam ni,” pesan Nurul.
“Jamuan? Saya tak tahu apa-apa pun?” kata Wan Mukriz kehairanan.
“Abang Rosli tak cakap apa-apa ke?” soal Farah pula.
Wan Mukriz geleng. “Hmmm, dia lupalah tu,” ujar Farah. “Malam ni kita orang nak ajak bos keluar makan ramai-ramai dengan geng gudang. Adalah dalam sepuluh orang macam tu,” jelas Farah kemudiannya.
Ringan sahaja mulut Wan Mukriz mahu bertanya sama ada Nora turut serta bersama mereka. Tetapi mustahillah dia boleh bertanya begitu. Karang nak letak muka celah mana?
“Hmmm, insya-Allah.... Kat mana tu?” Sudahnya Wan Mukriz beri kata putus.
“Tempat makan biasa saja bos. Sebelum balik nanti saya beritahu kat mana.”
“Hmmm, okey juga tu.” Hati Wan Mukriz tiba-tiba berlagu ceria. |
|
|
|
|
|
|
|
Tajuknya pun dh rs nk bc... |
|
|
|
|
|
|
|
dah baca kat p2u sampai bab 10. memang best |
|
|
|
|
|
|
|
Wan Awliya Rayqal
Bab 4
WAN MUKRIZ mengenakan T-shirt putih dan seluar jean. Tampak santai. Sambil menyikat rambut, dia menyanyi kecil. Gembira benar hatinya. Entahlah, tiba-tiba sahaja rasa seronok. Semangat sudah berkobar-kobar. Berkali-kali dia menyikat rambut yang sudah sedia kemas. Setelah benar-benar berpuas hati, Wan Mukriz segera keluar dari bilik.
“Riz nak ke mana pulak ni?” soal Encik Wan Amran sebaik sahaja melihat anaknya sudah bersiap untuk keluar, sedang mereka sudah sedia untuk menikmati makan malam.
“Budak-budak tempat kerja ajak makan sempena Riz masuk kerja. Nak tolak, takut apa pulak kata mereka nanti. Jadi kenalah ikutkan jugak,” jelas Wan Mukriz, ceria. Terasa berbaloi pula kepulangannya kali ini. Setidak-tidaknya jumpa seseorang.
“Oh begitu. Jadi Riz tak makan di rumah?” Haji Wan Mohsin pula bertanya. Tumpang sama gembira melihat Wan Mukriz ceria begitu.
“Taklah atuk. Saya makan dengan dia orang saja. Sesekali keluar dengan mereka,” balas Wan Mukriz.
“Hmmm, bergaullah dengan orang baik-baik, Riz. Ambil hati mereka. Tak ada bezanya ketua dengan kuli. Sama saja.” Tidak tahulah Encik Wan Amran sebenarnya sedang memberi nasihat atau sedang menyindir seseorang.
Tetapi Wan Ariff mula rasa tidak senang hati. Sedikit terasa. Yalah, di dalam syarikat itu siapa yang tidak kenal dengan Wan Ariff. Jarang bergaul dengan orang bawahan, bahkan memang terkenal dengan sikap sombong.
“Saya pergi dulu.” Wan Mukriz tidak menunggu lama lagi. Harus beredar segera kerana bimbang pekerja lain sudah menunggu.
“Hati-hati memandu,” pesan Encik Wan Amran perlahan.
“Baik, ayah.” Terus sahaja Wan Mukriz mengatur langkah.
Wan Ariff hanya menjeling tajam. Kurang senang juga kalau-kalau Wan Mukriz lebih disenangi pekerja nanti. Apa pun, dia perlu lebih berhati-hati.
WAN MUKRIZ tercari-cari restoran yang telah menjadi pilihan anak buahnya. Melihatkan deretan motosikal yang menjadi milik syarikatnya, Wan Mukriz tahu mereka ada di tempat berhampiran. Kawasan gerai makanan yang terletak di Kelana Jaya itu dipenuhi dengan pelanggan yang turut menjamu selera. Nampak meriah dan suasana hingar bingar.
“Bos!” jerit dua tiga orang daripada mereka.
Wan Mukriz menoleh. Kelihatan beberapa orang sedang melambai ke arahnya. Wan Mukriz segera mengatur langkah menghampiri mereka.
“Maaf, saya sesat tadi.” Wan Mukriz memberi alasan di atas kelewatannya dan mengambil tempat bersebelahan Nora. Sengaja dia pilih situ walau tempat lain masih ada yang kosong. Mahu ambil kesempatan.
“Maklumlah, bertahun merantau... mestilah sesat,” kata Abang Rosli selaku pekerja paling berusia di situ. Faham dengan keadaan Wan Mukriz.
“Jalan banyak yang berubah. Saya sendiri pun jadi keliru. Mujur ada GPS,” kata Wan Mukriz lagi. Wajah Nora dijeling sekilas.
‘Diam pulak dia ni. Kenapa? Sebab duduk dekat? Takkan takut duduk dekat dengan bos. Mengadalah budak ni. Macam tak biasa pulak!’
“Emmm, dah pesan makanan?” soal Wan Mukriz.
“Bos jangan bimbang, semua kami sudah uruskan,” jawab Nurul.
Nora rasa kurang selesa bila Wan Mukriz duduk bersebelahan dengannya. Seperti menghalang kebebasan untuk bersuara. Jadinya Nora pilih untuk berdiam diri sahaja,
sedangkan teman-teman lain galak bergurau senda.
“Hmmm, kenapa senyap saja? Tak biasa?” soal Wan Mukriz perlahan. Rasa pelik juga bila Nora langsung tidak bersuara.
“Sakit tekak,” Nora beri alasan.
“Jangan cakap macam tu. Karang betul sakit tekak baru padan muka,” balas Wan Mukriz pula. Rasa lain betul Nora malam ini. Diamnya buat Wan Mukriz mahu ketawa. Rasa pelik betul kalau budak ni senyap.
Nora rasa Wan Mukriz tidak percaya dengan alasan yang diberikan. Tetapi memang tekak Nora rasa perit sedikit. Mungkin perubahan cuaca yang tidak menentu.
Masing-masing berbual sesama sendiri sementara menantikan makanan dihidangkan. Nora yang masih berdiam diri membuatkan Wan Mukriz rasa sedikit bosan.
|
|
|
|
|
|
|
|
“Tak nak tanya saya apa-apa ke?” soal Wan Mukriz perlahan seperti berbisik. Sengaja mahu mencuri perhatian Nora ketika pekerja lain seakan tidak menghiraukan mereka berdua.
“Nak tanya apa?” soal Nora, juga seakan berbisik. Dia memandang wajah Wan Mukriz yang nampak ceria malam itu. Penampilannya sederhana, tidak nampak gaya seorang bos
langsung.
“Tanyalah, saya dah kahwin ke belum.”
Nora tergelak perlahan. ‘Lawak betul! Boleh lagi suruh orang tanya dia dah kahwin ke belum. Suruhlah tanya soalan lain?’
“Kenapa gelak pulak?” soal Wan Mukriz. Dia tumpang sama tersenyum melihat ketawa Nora. ‘Hmmm, boleh pun ketawa. Ingat nak diam sampai balik!’
“Bos dah kahwin ke belum?” Nora tanya soalan tak berapa cerdik itu.
“Belum, borang permohonan calon sedang diedarkan. Tak nak cuba-cuba isi?” seloroh Wan Mukriz. Suka hati dapat berbual begitu dengan Nora.
“Nora tak layak. Rasanya peringkat saringan pun dah kena tendang.”
“Tak cuba tak tahu,” makin galak Wan Mukriz berseloroh.
“Tak apalah, Nora tak sanggup nak ambil risiko.”
“Sebenarnya tak ada siapa yang sudi isi borang.”
“Oh ya? Kesiannya.” Nora pandang lagi wajah Wan Mukriz.
“Kan? Kesian sangat!” Wan Mukriz buat muka sedih pula.
Nora sudah tidak tahu untuk berkata apa, sudahnya dia senyum sahaja. Mujurlah waktu itu makanan yang mereka pesan sampai. Masing-masing bersedia untuk menjamu selera.
Wan Mukriz ambilkan lauk ikan siakap lalu diletakkan atas pinggan Nora.
“Amboi Nora! Mengadanya,” tegur Abang Rosli.
Nora malu sendiri. Anehnya perasaan malam ini. Tidak pernah dia rasa begini sebelum ini. Siap rasa malu lagi. ‘Huhu... akukah ini?’
“Hmmm, sesekali Nora nak manja dengan saya apa salahnya, bukan orang lain pun. Bos dia jugakkan,” ujar Wan Mukriz sambil senyum.
“Mana ada nak manja dengan bos, bos yang nak ambilkan,” bantah Nora.
“Tak nak manja dengan saya pun tak apa. Saya sedar siapalah saya ni. Nak suruh isi borang tak nak, nak suruh tumpang manja pun susah,” Wan Mukriz buat nada merajuk.
“Bos, kita sedang cakap apa ni?” soal Nora.
‘Melalut pulak dia ni, sampai nak isi borang bagai. Muka tu nampak macam serius saja, tapi tak sangka pulak boleh cakap benda-benda macam tu.’
“Kita sedang cakap ada jualan murah kat Sogo,” perli Wan Mukriz. Sudahnya Nora gelak juga hingga menarik perhatian teman-teman lain.
“Kenapa?” soal Nurul sambil angkat kepala. Hairan kenapa Nora ketawa tiba-tiba. Tadinya diam macam orang hilang mulut sahaja lagaknya.
“Bos buat lawak bodoh.” Selamba sahaja Nora bercakap. Kemudian dia toleh memandang wajah Wan Mukriz.
“Sumbat dengan tulang ikan tu karang, baru tau...” kata Wan Mukriz pula. Suka dia melihat Nora ketawa begitu.
Selesai acara makan-makan itu, Wan Mukriz terus pulang ke rumah. Dia menyanyi kecil ketika menaiki anak tangga. Tiba di ruang tamu tingkat atas itu, Wan Mukriz terpandang ahli keluarga lain sedang menonton TV. Yang tidak kelihatan hanya Hajah Zakiah sahaja. Mungkin sudah masuk tidur.
“Assalamualaikum,” sapa Wan Mukriz. Senyuman masih kekal terukir di bibir.
“Waalaikumussalam. Gembira saja anak ayah ni,” jawab Encik Wan Amran.
“Biasa saja, ayah,” jawab Wan Mukriz. Sempat juga dia memerhatikan Wan Ariff dan Puan Marina yang langsung tidak menoleh. Masing-masing masih terpaku memandang skrin TV. Tetapi dia tahu, masing-masing tidak mahu ambil tahu tentang dirinya.
“Saya masuk bilik dulu ayah, selamat malam.” Wan Mukriz fikir elok dia cepat beredar meninggalkan ruang tamu. Nanti disindir dengan kata-kata yang menyakitkan, buat hilang mood sahaja.
“Selamat malam,” balas Encik Wan Amran.
Wan Mukriz menjejaki bilik yang telah banyak menyaksikan suka dukanya selama ini. Dia lantas memutuskan untuk menunaikan solat isyak dahulu, takut kalau sudah tergolek atas katil, mahu terbabas. Subuh esok baru sedar.
Malam terasa cukup hening dan damai dari balkoni biliknya. Langit malam juga sangat cerah menampakkan bintang yang bertaburan. Suasana damai itu membawa ingatan Wan Mukriz kepada Nora. Ah! Gembiranya tadi. Ringan sahaja tangannya menekan nombor telefon milik Nora. Sempat lagi saling bertukar nombor telefon masa makan tadi.
“Assalamualaikum.” Lembut suara Wan Mukriz memberi salam. Mula membayangkan wajah Nora yang comel. Membayangkan juga gelak tawa serta sikap nakalnya. Ah, semuanya cukup menyenangkan Wan Mukriz.
“Waalaikumussalam, bos tak tidur lagi ke?”
“Kalau saya tidur, macam mana saya call Nora?”
“Hesy, klise punya jawapan.”
“Habis Nora nak saya jawab macam mana?”
“Jawab ajelah bos tengah panjat pokok pisang ke...”
Jawapan Nora buat Wan Mukriz ketawa besar. Terus sahaja lampu dari bilik Wan Ariff menyala. Mungkin ketawa Wan Mukriz sudah sampai ke bilik Wan Ariff.
“Saya terlupa tadi, kalau saya cakap saya sedang panjat pokok tauge pun kira okey jugakkan?”
Giliran Nora pula ketawa di sebelah sana. “Tau tak apa,” jawab Nora selepas itu.
“Nora ni nakallah. Mampu buat saya ketawa.”
“Apa bos ingat Nora badut?”
Sekali lagi ketawa Wan Mukriz berderai.
“Tengok tu, cakap macam tu pun bos nak gelak. Malaslah nak cakap dengan bos lagi.” Nora buat gaya merajuk.
“Okey, okey. Saya serius. Emmm, esok pergi kerja naik apa?”
“Kereta kebal!” jawab Nora laju dan laju sama ketawa Wan Mukriz terburai. Sudah tidak boleh dikawal lagi.
“Dahlah bos, menyampah cakap dengan bos. Asyik nak gelak. Okey bos, jumpa esok. Selamat malam.”
“Selamat malam, Nora. Mimpi indah nanti.”
“Okey bos, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam….”
Suara Nora hilang dan yang tinggal hanya ketawa yang masih berbaki. Lamanya dia tidak ketawa begitu. Alhamdulillah, rupanya dia masih boleh ketawa. Dan harap-harap dia akan selalu ketawa nanti. |
|
|
|
|
|
|
|
Tahniah novel dah terbit.........
Novel terbaru bulan MAC 2013 - LELAKI EKSKLUSIF terbitan Karyaseni.
Tajuk: Lelaki Eksklusif
Penulis: Wan Awliya Rayqal
ISBN: 978-967-0246-43-7
Harga: RM18 (Semenanjung) // RM21 (Sabah & Sarawak)
Terbitan: Karya Seni.
Sinopsis:
NORA hanya gadis biasa-biasa saja. Tak serupa perempuan langsung. Tapi di mata Wan Mukriz, Nora sangat istimewa. Jadi tak salah dia serahkan hati dan perasaan buat gadis comel itu. Namun sangka Nora, Wan Mukriz sekadar bergurau. Apalah yang diharap pada gadis sepertinya. Jadi Nora buat bodoh saja.
“Kalau saya cari girlfriend, saya cari macam Nora.”
“Uiks, kalau macam tu ambik Nora saja tak boleh?”
“Serius?”
“Ngee, melampau bos ni.”
“Nora, saya serius ni.”
“Ya ke?”
Kemesraan yang terjalin, menjadi halangan apabila Wan Ariff , abang sebapa Wan Mukriz juga menaruh hati terhadap Nora. Mahu memiliki Nora tanpa mempedulikan perasaan Wan Mukriz.
Akhirnya, Wan Mukriz ambil keputusan untuk menikahi Nora tanpa pengetahuan sesiapa. Dan Nora terima lamaran Wan Mukriz demi menyelesaikan masalah peribadinya.
Mereka bahagia, namun bahagia mereka bersulam resah. Wan Ariff tak sudah datang mengganggu tanpa disedari yang menjadi idamannya itu ialah adik ipar sendiri.
Mampukah mahligai bahagia yang dibina dalam rahsia itu bertahan sedangkan Wan Mukriz tidak sanggup untuk berpisah dengan Nora?
Last edited by qimi08 on 13-3-2013 10:32 AM
|
|
|
|
|
|
|
|
qimi08 posted on 13-3-2013 10:30 AM
Tahniah novel dah terbit.........
Novel terbaru bulan MAC 2013 - LELAKI EKSKLUSIF terbitan Kary ...
lady pun baru terbaca kat fb karyaseni. TAHNIAH penulis.
|
|
|
|
|
|
|
|
ladyFinger12 posted on 13-3-2013 10:39 AM
lady pun baru terbaca kat fb karyaseni. TAHNIAH penulis.
Rasanya macam dah ada kat MPH.....
Ahad lepas saya ada ke MPH mcm npk je novel ni.....hu hu hu...
kalau tahu terus beli je...ni nak kena tunggu minggu dpn pulok.....
Baca sinopsis menarik.........
|
|
|
|
|
|
|
|
Patut la tadak update...dah kuar rupanya...lambat lg la nak buleh baca ni huhu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|